Ikuti Blog ini

Anwar akan ke balai polis petang esok


KUALA LUMPUR, 15 Julai: Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk memberikan keterangan secara sukarela kepada polis petang esok jam 2 petang di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.

Kesediaan beliau itu dinyatakan kepada para pembantunya ketika mereka membuat persiapan untuk debat antara beliau dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, tengahari tadi.

"Kita pergilah," kata Anwar kepada para pembantunya yang sedang berbincang itu.

Anwar dijadualkan memberikan keterangan kepada polis di IPK Kuala Lumpur semalam. Namun kerana tekanan yang diberikan oleh polis terhadap beliau dan keluarganya, Anwar memutuskan untuk tidak pergi ke balai polis itu.

Beliau diminta memberikan kenyataan berhubung dengan aduan yang dibuat oleh Saiful Bukhari Azlan. Saiful, dalam laporan polisnya, mendakwa Anwar meliwat beliau.

Difahamkan, Anwar mempunyai dua pilihan iaitu polis datang ke rumah beliau untuk mengambil keterangan atau beliau ke balai polis untuk memberikan keterangan.

Namun selepas polis berhujjah, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sendiri ke Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah untuk memberikan keterangan di atas dakwaan yang dibuat ke atas mereka, kenapa Anwar tidak boleh pergi ke balai polis untuk memberikan keterangan.

Atas alasan itulah, Anwar difahamkan sedia ke balai polis untuk memberikan keterangan.
Pada peringkat awalnya, Anwar bersetuju untuk ke balai polis Khamis ini selepas membatalkannya semalam, namun dengan perbincangan beliau dengan polis dan peguamnya, beliau bersetuju pergi petang esok.

Ustaz Azizan Razak bakal bergelar Datuk Seri


Menteri Besar Kedah, Ust. Azizan Abdul Razak merupakan antara 72 penerima darjah dan bintang kebesaran sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun Pemerintahan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Ust. Azizan yang mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah pada 9 Mac lalu selepas pakatan pembangkang menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, pula dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah (SPMK) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun mendahului senarai 72 penerima darjah dan bintang kebesaran itu apabila dianugerahkan Darjah Kerabat Halimi (DKH).

Anugerah tersebut turut dikurniakan kepada dua lagi kerabat Diraja Kedah iaitu Tunku Bendahara Kedah, Datuk Seri Tunku Anuar Sultan Badlishah dan Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Bimbang jadi perangkap kedua - Mursyidul Am


Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bimbang kesediaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berunding dengan PAS berhubung isu kepentingan Islam dan Melayu dijadikan sebagai perangkap kedua.

"Saya bimbang benda ini jadi seperti perangkap. Dahulu kita sudah masuk perangkap dan tidak kan hendak masuk perangkap pula.

"Umno minta hendak bergabung (runding) ketika dia dalam keadaan terdesak. Pengalaman 13 Mei 1969 di mana Umno terdesak benar-benar jadi dia minta hendak bergabung dengan PAS.

"Sekarang Umno sekali lagi terdesak sungguh sehingga sudah hilang majoriti dua pertiga di parlimen dan parti itu juga diserang bermacam-macam dalam blog," katanya kepada media di kediamannya di Pulau Melaka, hari ini.

Perdana Menteri hari ini dilaporkan menyambut baik cadangan Presiden PAS untuk berbincang dengan parti itu mengenai isu-isu berkaitan orang Melayu dan Islam.

Abdullah berkata parti itu sedia berbincang dengan PAS untuk mewujudkan persefahaman supaya perbalahan berkait dengan Melayu dan Islam dapat dikurangkan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, kenyataan kesediaan Perdana Menteri hendak jumpa dengan pemimpin PAS itu hanya bersifat peribadi.

"Kalau kita hendak muzakarah, kena parti dengan parti dan bukan peribadi tertentu sahaja. Pemimpin Umno sekarang dalam keadaan terhoyong-hayang.

"Orang di bawah dagu Umno pun sudah mendesak Perdana Menteri berundur, sudah lama timbul isu tersebut dan Datuk Seri Abdullah telah tetap tarikh hendak berundur.

"Benda-benda begini saya teringat balik cerita semasa Allahyarham Tun Razak meminta bersatu dengan PAS dalam keadaan mereka begitu tertekan," ujarnya.

Beliau berkata, perkara itu berlaku dalam keadaan pemimpin Umno yang beriya-iya hendak bersatu dengan PAS.

Menurutnya ketika itu Tun Razak Hussien yang mempelawa hendak bersatu dengan PAS sehingga PAS akhirnya berpecah tiga.

Sedangkan kata beliau Tun Razak seorang tokoh yang kukuh pendiriannya dan sehingga sekarang pun tiada orang berani mencemuhnya.

Beliau juga berkata, sebagai pejuang Islam tiada niat hendak berbalah dan melawan sesiapa kerana kita yakin Islam itu betul.

"Kami hendak benar-benar diadakan muzakarah, namun jangan pula berulang sejarah hitam yang lepas.

"Saya setuju perjumpaan di antara Datuk Seri Abdullah dengan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi, tetapi biar kemaslah. Bagaimanapun saya tidak nampak Umno boleh kemaskan dirinya," kata beliau.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, selepas pilihan raya umum lalu nampak sangat Umno begitu lemah, namun masih lagi angkuh sehingga menarik balik projek pelancongan bernilai RM8 juta di bandar baru Pasir Mas.

Katanya, tidak masuk akal kalau Umno benar-benar ikhlas tetapi dalam masa yang sama menarik balik kelulusan projek tersebut yang hanya bernilai RM8 juta dan bukannya RM8 bilion.

Beliau berkata, kerajaan negeri susah payah mencari tanah untuk membina projek tersebut, tiba-tiba kerajaan pusat menarik balik.

Biar pun dianggap orang berprasangka buruk terhadap pemimpin Umno, namun katanya, biarlah mereka meminta maaf sungguh-sungguh kepada PAS terhadap banyak kesalahan yang dilakukan.

"Minta maaf tidak pernah dilakukan pemimpin Umno. Dan kedua mengapa tarik balik peruntukan kepada Kelantan, nampak sangat ego dia,"ujarnya.

Sementara itu, seorang pemimpin di Kelantan memberitahu tidak pernah ada sebarang keputusan dibuat PAS untuk diadakan pertemuan dengan Umno dalam masa terdekat ini.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .