Sebahagian dari pemandu teksi yang hadir
PETALING JAYA 28 DISEMBER: Pemandu teksi memainkan peranan penting
dalam membawa perubahan politik di negara ini berikutan merekalah antara
kelompok yang paling dekat dengan rakyat, kata Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
“Sebab itu saya ‘salute’ pemandu teksi. Mereka inilah yang
menyampaikan derita rakyat,” katanya sambil ‘tabik’ kepada 400 pemandu
teksi pada Himpunan Raksasa Pemandu Teksi bersama Pakatan Rakyat di
Dewan Svik, Petaling Jaya, malam tadi.
“Saya
tahu orang teksi benci kezaliman. Dari 1998 sampai sekarang, ketika
TV3, Utusan tutup berita tentang kita (pembangkang), pemandu teksilah
yang sebar cerita sebenar,” katanya yang menyifatkan isu berkaitan
pemandu teksi bukan perkara kecil walaupun selalu dipandang enteng oleh
pemimpin Umno BN..
“Sebab ini isu ‘human dignity’, soal maruah manusia. Untuk pemimpin
BN, pemandu teksi seolah-olah tidak ada harga. Mereka (BN)
bermati-matian pertahan kontrak berbilion.
“Pemandu teksi tak minta balak, IPP, kontrak. Hanya mahu permit.
Permit pun mahu disapu pemimpin Umno-BN!” katanya disambut teriakan
Reformasi.
Beliau
juga mengulangi hasrat Pakatan untuk mengembalikan hak pemandu teksi
dengan pemberian permit individu sebaik sahaja menawan Putrajaya.
“Sebaik kita tawan Putrajaya, kita umum harga minyak turun. Dan dalam
beberapa minggu, kita umum segera permit untuk setiap pemandu teksi,”
katanya.
Ketua Umum KEADILAN itu berkata, peranan pemandu teksi, meskipun
bukan ahli mana-mana parti gabungan Pakatan Rakyat tetap besar dalam
perjuangan.
“Kalau tak boleh edar risalah, tak mengapa. Mungkin bahaya sebab nanti polis periksa kereta. Tapi boleh gunakankan suara.
“Pemandu teksi orang yang paling bijak dan sabar. Berpuluh-puluh
penumpang setiap hari. Sebab itu kita hormat mereka kerana menjadi ejen
perubahan,” katanya. -KD