Ikuti Blog ini

PILIHANRAYA UMUM MENGEJUT BAKAL DIADAKAN?



Umno/BN sedang mengatur strategi licik dan sulit untuk mengembalikan kuasa mutlak mereka di negara kita. Setelah mereka dikejutkan dengan kejayaan PR menafikan majoriti 2/3 di Parlimen, BN memerah otak untuk menyerang dan melemahkan lawannya PR.

Tidak semena-mena BN mendapat 'tongkat' baru iaitu mempopularkan istilah kerajaan perpaduan dengan menyatakan bahawa PAS mahu bergabung atau bekerjasama dengan Umno untuk menggagaskan kerajaan perpaduan.

Lebih malang lagi ada dakwaan menyatakan bahawa pimpinan kita sendiri seolah-olah seronok dan terliur untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno. Malah tiada penafian secara rasmi dan tegas dibuat oleh pimpinan samada benar atau tidak kerajaan perpaduan hendak dibentuk.

Akhirnya isu kerajaan perpaduan ini menjadi barah kepada PAS dan PR antara simptom yang kita dapat lihat ialah :-
  • Rakan-rakan dalam PR mula sangsi kepada PAS
  • Rakyat Malaysia yang bukan Islam mula 'confuse' dan hilang keyakinan kepada PAS
  • Ahli-ahli PAS dan penyokong PAS terkeliru, pening dan tertanya-tanya benarkah PAS mahu membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno.

Simptom di atas akan merebak jika tidak dibendung dengan cepat. Jika ianya merebak dan membarah, saya yakin BN akan mengambil kesempatan dan akan membubarkan parlimen kerana mereka yakin rakyat sudah sangsi kepada PAS/PR dan mereka akan menang dengan mudah kerana PR sendiri berada dalam kemelut dalaman yang hebat.

Untuk itu saya sekali lagi menyeru pimpinan atasan PAS membuat kenyataan segera berhubung ISU KERAJAAN PERPADUAN demi untuk memadamkan api dalam sekam yang kelihatan mula berkelip-kelip dalam diam dan tersembunyi.

Api ini jika tidak dipadam segera kemungkinan akan membakar sekam tersebut malah akan membakar bangsal dan rumahnya sekali. Pada masa itu siapa yang hendak dipersalahkan?

Dengan rasa rendah diri dan dengan hati yang tulus ikhlas saya mohon pimpinan supaya membuat tindakan cepat dan tangkas untuk mematikan isu ini dengan membuat kenyataan tegas bahawa PAS TIDAK PERNAH DAN TIADA CITA-CITA UNTUK MEMBENTUK KERAJAAN PERPADUAN DENGAN UMNO.

Jika ini tidak dilakukan saya yakin isu ini akan semakin merebah dan membarah.




Walaupun benci kepada Umno dan Barisan Nasional, janganlah kita jauhinya daripada menyampaikan dakwah kepadanya.


Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Hassan menaruh kepercayaan dan harapan terhadap Ucapan Dasar Presiden PAS yang menggalakkan Pemuda PAS memainkan peranan sebagai semak dan imbang agar landasan perjuangan PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat terus berjalan sebagaimana tuntutan Islam dan harapan rakyat.


Beliau yang berucap dalam membahaskan penggulungan muktamar berkata 103 perkara penting yang disebut dalam Ucapan Dasar Presiden itu memerlukan buruh untuk berkerja.
Justeru katanya, barisan Pemuda PAS bersedia menjadi pejuang-pejuang dan petugas yang akan membawa Islam memimpin perubahan.

"Saya ingin menegaskan tentang harapan Presiden itu. Harapan tersebut telah diikat oleh Rasulullah. Pemuda pada zaman Rasulullah bersama-sama berjuang dengan Baginda.
"Pemuda PAS sentiasa menjadi penyokong yang hebat dalam perjuangan Rasullullah.

Mereka menyatakan, kami tidak akan menjatuhkan air muka Rasullullah. Justeru Pemuda juga tidak akan mencemar wajah Presiden dan Mursyidul Am.

"Dewan Pemuda PAS akan memelihara manhaj ketulinan perjuangan dan akan menjaga indentiti dan jati diri parti dengan dakwah, tarbiyah, siasah, fundamental, kontemporari dan futuristik," katanya.

Dalam pada itu, Nasruddin turut menegaskan Pemuda PAS akan sentiasa segar dan tegar untuk memberi kritikan kepada pemimpin yang mana dalam masa yang sama kami juga bersedia untuk dibimbing.

"Saya tertarik dengan ingatan PAS Kelantan bahawa Umno berpecah belah dan dikenali sebagai spesis yang berbahaya tidak diberi ruang untuk menghancurkan perjuangan," katanya.

Sementara itu, Nasruddin turut mengingatkan seluruh ahli PAS, walaupun benci kepada Umno dan Barisan Nasional, jangan keciciran daripada menyampaikan dakwah.
"Kalau Allah pernah mengutuskan Nabi Musa untuk bertemu dengan Firaun, kita juga berharap dapat mengembangkan dakwah untuk mereka kembali kepada Islam bagi mengemuka perubahan,"
katanya.



Henti Polemik Kerajaan Perpaduan, Tumpu Pada Manek Urai



Pengarah Pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali hari ini menggesa semua pihak untuk menghentikan polemik mengenai cadangan diadakan rundingan antara PAS-UMNO, mahupun saranan penubuhan kerajaan perpaduan Barisan Nasional-Pakatan Rakyat.

Mustafa sebaliknya mahu semua pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat memberi tumpuan memastikan gagasan itu mengekalkan kerusi DUN Manek Urai pada pilihanraya kecil bulan depan dengan majoriti menyakinkan.

Idea penubuhan kerajaan perpaduan BN-PR dilontar oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menjadi antara isu yang hangat dibahaskan pada muktamar parti itu di Shah Alam minggu lalu.

Datuk Mustafa berkata PAS tidak mencari sebarang kerjasama politik dengan UMNO, malah mempersiapkan diri untuk menghadapi tonggak Barisan Nasional itu pada pilihanraya kecil Manik Urai 14 Julai ini.

Mustafa berkata Abdul Hadi telah melontar ideanya itu pada Jawatankuasa Kerja Pusat tetapi cadangan mengenai kerajaan perpaduan itu tidak dibincangkan secara terperinci atau diangkat sebagai agenda rasmi parti PAS.

Idea itu masih wujud tetapi hanya “sebagai satu konsep,” kata Mustafa.

Mustafa berkata PAS tetap komited untuk memperkasakan Pakatan Rakyat dan menolak sebarang bentuk kerjasama politik dengan UMNO.

Beliau berkata cadangan Abdul Hadi hanyalah untuk diadakan muqabalah dan “kami akan terus mengadakan muqabalah dengan semua pihak,” tambah Mustafa.




Tahniah kepada yang terpilih .

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama-sama barisan kepimpinan parti yang baru, Timbalan Presiden Ust. Nasharuddin Mat Isa (dua dari kiri). Bagi jawatan Naib Presiden YB. Salahuddin Ayub (kiri), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (dua dari kanan) dan Datuk Mahfuz Omar (kanan) pada Muktamar PAS di Stadium Malawati Shah Alam.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .