Ketika ditemui pemberita di perkarangan balai polis, Tan dan peguam beliau N. Surendran memberikan beberapa kenyataan kepada pihak media.
Tan juga turut menceritakan bagaimana SPRM mahu beliau membuat pengakuan palsu menyalahgunakan wang peruntukan yang diberikan kerajaan negeri.
Sewaktu berada dalam tahanan Tan mendakwa, dua pegawai SPRM yang menyoal siasatnya, cuba mendapatkan pengakuan palsu daripadanya, dengan memaksanya menafikan telah membekalkan 1,500 ribu bendera Malaysia bagi satu majlis sambutan hari Kemerdekaan di DUN Sri Kembangan.
Sewaktu sesi soal siasat tersebut, katanya, pegawai berkenaan menggunakan teknik 'polis baik dan polis jahat' iaitu pada mulanya bersikap baik tetapi kemudiannya bertindak kasar dan memaksanya berdiri selama empat jam dari pukul 10 malam hingga 2 pagi.
Tan berkata, beberapa kali beliau diancam dengan keganasan fizikal, malah ada pegawai SPRM yang telah menuding ke dahinya dan berkata ingin memukul beliau sekiranya tidak bercakap benar.
Malah kelemahannya bercakap Bahasa Melayu turut menjadi bahan untuk mempersendakannya.
Beliau juga telah dilabel dengan perkataan-perkataan kesat oleh pegawai SPRM yang menjalankan penyiasatan ketika itu.
Apa yang lebih teruk katanya, mereka juga turut melakukan ancaman yang bersifat penderaan mental apabila mengugut akan melibatkan keluarga Tan jika beliau enggan bercakap benar.
Sementara itu, N. Surendran berkata, pihaknya sedang mengumpulkan beberapa butiran sebelum menfailkan saman kepada kepada SPRM dan kerajaan Malaysia kerana telah menggunakan cara yang salah dalam melakukan soal siasat dan melakukan penderaan mental kepada anak guamnya.
Beliau dalam kenyataannya kepada media menegaskan, teknik soal siasat dan penderaan mental yang diambil oleh SPRM sama sekali tidak melambangkan sikap profesionalisma dalam menjalankan tugas demi membanteras rasuah di negara ini.
Dalam pada itu, beliau menambah jika beginilah cara yang diterima oleh Tan, apakah agaknya layanan yang telah diterima oleh setiausaha politik exco kerajaan Selangor, mendiang Teoh Beng Hock yang telah disoal siasat pada hari yang sama dengan Tan.
Turut hadir bersama Tan untuk ketika membuat laporan polis ialah ADUN Kinrara, Teresa Kok, Exco Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu dan beberapa yang lain.
Sementara itu, Ronnie menambah, pihaknya masih meminta pihak SPRM dan polis untuk menyerahkan telefon bimbit milik mendiang Teoh yang masih belum dipulangkan.
Beliau menambah telefon bimbit tersebut begitu penting untuk membantu kes penyiasatan kematian mengejut setiausaha politik itu. Walaupun pihak polis dan SPRM menidakkan telefon tersebut berada dalam simpanan mereka, namun Ronnie enggan mempercayainya.
Menurut SPRM, Teoh dipanggil pada jam 6 petang 15 Julai dan disoalsiasat sehingga 3.45 pagi. SPRM berkata Teo bagaimanapun enggan balik dan mahu berehat melepaskan lelah di SPRM. Mayatnya ditemui mati jam 1.30 tengahari di bumbung bangunan bersebelahan Plaza Masalam.