Ikuti Blog ini

AHLI PAS DIMINTA BERTENANG, TUNGGU ARAHAN RASMI




Idris Ahmad.

SEMUA ahli PAS diminta bertenang dalam menghadapi ujian yang begitu mencabar dalam kepimpinan parti. Semua ini akan menguji kematangan pemimpin untuk menguruskan krisis.

Insya-Allah PAS yang mempunyai bahtera yang kuat dan kukuh mampu untuk menghadapi semuanya ini. Kalau Umno-BN yang mempunyai bala tentera dan kewangan daripada "qarun-qarun" yang ada di atas muka bumi ini pun kita mampu hadapi.

Maka sudah barang pastilah masalah yang berlaku pada hari ini, insya-Allah dapat diatasi dengan baik dan elok.

Saya yakin bahawa ahli PAS yang matang dalam sepak terajang politik akan merasa tenang apabila kita tahu kekuatan yang ada pada PAS dan organisasinya.

Ini kerana PAS adalah milik kita semua. Ia tidak boleh dimonopoli oleh sesiapa pun. PAS ada peraturan dan perlembagaan yang kemas dan teratur.

Iltizam kita ialah bersama dengan Pakatan Rakyat dan berhadapan dengan Umno-BN dalam apa suasana sekalipun.

Media cuba memainkan isu bahawa PAS hendak mewujudkan perpaduan Melayu. Secara tidak langsung mereka cuba melontarkan fitnah bahawa PAS hendak meninggalkan Pakatan Rakyat. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato' Setiausaha Agung pada 17 Jun lalu telah menjelaskan kekeliruan ini.

Kerajaan Perpaduan hanyalah lontaran idea sahaja daripada Presiden PAS. Sebarang keputusan dan polisi parti yang hendak dibuat akan dibincang terlebih dahulu dalam parti.

Insya-Allah, segala keputusan yang diputuskan itu akan kita sampaikan kepada semua pihak sehingga ke peringkat akar umbi melalui majlis taklimat khas.

Yakinlah firman Allah SWT, yang bermaksud: "Hendaklah kamu bermesyuarat dalam urusan kamu." Dan maksud sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Berjamaah itu rahmat."

Oleh itu kita boleh berbincang untuk mendapat maklumat sahih melalui mesyuarat, muzakarah, usrah, liqa. Inilah mekanisme parti yang paling baik untuk kita menyuarakan masalah dan kritikan kepada parti. Sekarang zaman canggih, maka bolehlah kita hubungi pimpinan untuk mendapat penjelasan.

Bersandarkan nas syara'

Segala keputusan politik yang PAS buat selama ini semuanya bersandarkan kepada nas syara' dan fiqh siasi.

Kita bertahalluf dengan parti bukan Islam dan ideologi yang berbeza, semuanya merujuk kepada nas syarak. Bukan senang hendak meyakinkan ahli bagaimana kita dibenarkan mengundi calon bukan Islam yang bertanding atas tiket parti yang bertahalluf dengan kita.

Semua ahli PAS perlu berhati-hati dalam menghadapi isu ini. Ini kerana musuh sentiasa memasang perangkap untuk menjayakan misi mereka bagi memecah-belahkan di kalangan ahli dan pimpinan.

Dapatkan maklumat rasmi daripada akhbar rasmi Harakah, laman web Harakahdaily dan akhbar Siasah supaya tidak menimbulkan kekeliruan.

Tunggu dan sabarlah untuk mendapatkan penjelasan rasmi daripada pimpinan dalam isu ini. Rapatkan saf jamaah supaya syaitan tidak menyusup masuk ke dalam parti kita. (harakahdaily)
Ustaz Idris ialah Ketua Penerangan PAS Pusat

PEGUAM DS NIZAR FAILKAN RAYUAN HARI INI




Peguam Dato Seri Nizar akan memfailkan Rayuan Kes Menteri Besar Perak di Makhamah Persekutuan hari ini.

Sama-sama kita berdoa agar Allah swt memudahkan kerja kita dan membantu para Peguam.Dan kita berharap ia akan diselesaikan secepat mungkin agar Perak ini kembali
ber MENTERI BESAR yang SAH !!!


APABILA MUKHRIZ BERCAKAP TENTANG HUKUM ISLAM




Oleh: WFAUZDIN NS

NAIK terputus urat kentut saya menahan ketawa apabila menonton berita malam tadi. Terpaculnya Mukhriz Tun Mahathir di muka TV dan bercakap seperti Ketua Pemuda Pas lagaknya yang membicarakan tentang hukum `perpaduan' di dalam Islam. Saya ingatkan Mukhriz ni tahu pasal `berpadu' sahaja (seperti gambar di atas), rupa-rupanya anak Tun Mahathir ini juga boleh dianggap `ustaz' kalaupun bukan Ulamak.

Beliau memberikan `dakwah'nya untuk memperingatkan terutamanya orang-orang Pas bahawa perpaduan di dalam Islam itu WAJIB. Tidak pula beliau sebut samada perpaduan itu merangkumi semua bangsa dan agama. Masakan beliau hendak sebut begitu kerana beliau sendiri ada berkata tidak perlulah Pas hendak berbincang dengan Umno jika dibawa sekali PKR dan DAP. Mengapa takut sangat jika Pas mahu berbincang dengan Umno disertai juga oleh PKR dan DAP? Umno juga boleh menjemput sama MCA, MIC, GERAKAN dan lain-lain parti komponen mereka untuk sama-sama berbincang. Tentu ada `udang di sebalik batu' atau `kutu di sebalik serban'.

Beliau juga menganggap perpaduan itu penting dan disuruh oleh agama, ini bermaksudyang menentang perpaduan itu menyalahi agama. Wah! hebat syarah calon Ketua Pemuda Umno yang tewas ini. Mukhriz mungkin merasakan rakyat lupa siapakah tokoh pemecah belah rakyat terutamanya orang-orang Melayu dan Islam selama ini. Umno berpecah sehingga diharamkan suatu ketika dahulu di bawah siapa Presidennya? Wujudnya perpecahan Melayu yang besar sehingga tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46 angkara siapa? Kemudian, siapakah yang menzalimi dan memfitnah tokoh politik Melayu DS Anwar Ibrahim sehinggakan beliau dipecat dari Kerajaan dan parti seterusnya mengakibatkan umat Melayu berpecah dengan lebih teruk lagi? Tahukah Mukhriz, betapa Kelantan sebuah negeri yang hampir 100 % Melayu Islam ini telah dianak tirikan ketika negeri tersebut mulai diperintah oleh Pas sehingga sekarang, dan siapakah pemimpin yang terlalu berusaha untuk merampas Kelantan? Di bawah siapakah ketika kerajaan merampas royalti minyak di Terengganu sewaktu Pas berkuasa? Bukankah Terengganu sebuah negeri Melayu yang seharusnya dibantu oleh kerajaan?

Jika Mukhriz tidak tahu atau sudah lupa siapakah tangan yang punya angkara semua itu, beliau boleh bertanya kepada ayahandanya Tun Mahathir. Mukhriz juga boleh bertanya kepada ayahandanya siapakah yang memecah-belahkan Umno sehingga terpaksa Presiden Umno ketika itu Pak Lah mengundur diri. Adakah ini diertikan dengan perpaduan pada pandangan Mukhriz? Jika inilah yang dimaksudkan dengan perpaduan, amat tepat dan bijak sekali Pas menolak untuk bersama-sama Umno bagi merealisasikan Kerajaan Perpaduan itu. Kecualilah Pas mempunyai agenda lain, Wallahu Aklam.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .