Ikuti Blog ini

MB Terengganu merasuah pelajar cemerlang.

KUALA TERENGGANU, 25 Dis: "Dari semua bantuan dan sumbangan yang kerajaan buat ini, saya tidak minta perkara besar dari tuan-tuan, hanya ada satu permintaan kecil sahaja iaitu bagilah undi tuan puan untuk BN dalam pilihan raya akan datang."

Ungkapan di atas dikeluarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di Dewan Besar, Wisma Darul Iman semalam.

Ia dibuat di hadapan ibu bapa dan para pelajar seluruh Terengganu yang menerima hadiah kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu.

Inilah kemuncak bagi 'segala kerja baik' dari kerajaan negeri kepada rakyat iaitu 'satu undi untuk BN'. Namun kali ini ia tidak diminta secara 'berlapik' lagi tetapi secara terus terang.

Seorang bapa kepada seorang pelajar yang menerima hadiah itu terkejut besar dengan ungkapan itu.

Ini kerana, sepanjang kerier beliau sebagai seorang pegawai kerajaan negeri tidak pernah Menteri Besar sebelum ini mengeluarkan ungkapan seterang itu.

"Kalau dia nak minta kita sokong BN pun, dia berlapik sikit...berkias-kias...tetapi MB yang ini terus kepada undilah BN," kata beliau kepada Harakahdaily.

Melalui program ini, Yayasan Terengganu telah membelanjakan lebih RM10 juta untuk memberikan hadiah kepada pelajar cemerlang ini yang bermula sejak tahun 1980 lagi.

Tahun ini, 6,740 pelajar menerima sumbangan ini yang melibatkan peruntukan sebanyak hampir RM1 juta.

Kerajaan negeri tidak meminta perkara besar dari semua sumbangan yang sangat banyak ini cuma 'satu undi untuk BN' bagi setiap rakyatnya yang layak mengundi sahaja.

"Kalau begitu, ini rasuahlah," kata bapa kepada pelajar berkenaan.

Tok Guru Nik Aziz: Isu enjin jet hilang, Najib perlu bertanggungjawab.

MENTERI Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu bertanggungjawab mengenai isu kehilangan dua buah enjin jet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Tok Guru berkata kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguannya di perkarangan bangunan Perhubungan PAS Kelantan di Kota Bharu, 25 Disember 2009.

Enjin jet hilang dosa kepada rakyat, kata Nik Aziz

Pihak-pihak terlibat dalam insiden kehilangan enjin jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk dipercayai didalangi warga kerjanya telah berdosa kepada setiap rakyat negara ini, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Orang yang terlibat bukan saja berdosa dengan Tuhan, tapi berdosa juga dengan rakyat. Kalau rakyat Malaysia ini ada seramai 30 juta, maka orang itu berdosa dengan 30 juta rakyat.

“Sebab enjin itu adalah hak kerajaan dan bila sebut kerajaan ia termasuk lah semua rakyat,” kata Menteri Besar Kelantan ketika menyampaikan kuliah mingguannya di Dataran Ilmu di sini hari ini.

Dengan nada yang sinis Nik Aziz berkata mustahil enjin itu boleh hilang dengan begitu mudah jika tidak ada dalang atau pengatur skrip di sebalik tragedi itu memandangkan prosedur kawalan ketat di pangkalan TUDM.

Baru-baru ini insiden kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E milik TUDM mengejutkan banyak pihak.

Sistem kawalan keselamatan negara dipandang rapuh apabila Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi mendedahkan di samping enjin beberapa peralatan kelengkapan lain juga didapati hilang.




Sampai putus urat tumit, berjuang....

KOTA BARU — Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerusi Perupok, Kelantan Datuk Omar Mohamad kini menerima rawatan di Hospital Pakar Perdana Kota Baru di sini akibat terputus urat tumit kaki kirinya sejak seminggu lalu.
Bekas ketua penerangan PAS pusat ini memberitahu kesan daripada itu beliau terpaksa menjalani rawatan fisioterapi mengikut jadual ditetapkan pihak hospital.
Semasa kunjungan The Malaysian Insider di wad rawatannya di hospital tersebut hari ini keadaannya kelihatan stabil.

“Pada awalnya saya rasa macam sesuatu tersentak di tumit, tetapi saya tidak jangka urat putus sebab tidak rasa sakit, tambahan pula pada masa itu saya boleh berjalan seperti biasa.
“Sehari kemudian baru tiba-tiba saya tak boleh berjalan (melangkah) lalu saya dihantar untuk pemeriksaan. Di situlah baru sedar bahawa urat tumit kaki putus,” katanya.

Omar yang juga bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kini berkhidmat sebagai wakil rakyat kerusi Perupok selama enam penggal.
DUN Perupok merupakan antara satu bahagian dalam Parlimen Bachok yang disandang Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa.

Ditanya punca kejadian, beliau berkata akibat keletihan yang keterlaluan.
“Punca utama ialah disebabkan keletihan. Bukan saya kata, tapi doktor yang beritahu saya begitu,” katanya.

Sebelum ini Omar pernah dimasukkan ke hospital kerana keletihan dan kelesuan akibat tidak cukup rehat.

MAHATHIR : SIASAT JUGAK RM270 BILION ZAMAN PAK LAH



Tidak cukup mempertahankan dirinya, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyalahkan seorang lagi mantan perdana menteri berhubung isu salah guna wang negara seperti didakwa dalam sebuah buku terbaru.

Mengulas dakwaan beliau menghanguskan RM100 bilion sepanjang 22 tahun pentadbirannya, Dr Mahathir meminta kerajaan turut menyiasat penggunaan wang RM270 bilion sepanjang lima tahun kepemimpinan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kelmarin, pelopor Wawasan 2020 mencabar kerajaan agar menubuhkan suruhanjaya bebas menyiasat dakwaan terhadapnya yang dimuatkan dalam buku Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times, karangan Barry Wain.

Menulis di blognya hari ini, Dr Mahathir berkata syarikat petroleum negara Petronas hanya menyerahkan wang RM126 bilion kepada kerajaan sepanjang kekuasaannya tetapi RM270 bilion semasa dipimpin Abdullah, yang popular dipanggil Pak Lah.

Kursus mencuri enjin jet



Sebuah syarikat pelabur di dalam sektor pembelian besi buruk dari luar negara akan mengadakan satu kursus mencuri enjin jet kepada syarikat bumiputera tempatan.Menurut sumber,kursus tersebut bakal diadakan pada suku ke enam tahun hadapan.

Menurut Ketua Pengarah Bukan Eksekutif Tapi Memakai Tali Leher, Mr John Kiss Banana kursus yang julung kali diadakan itu diadaptasi daripada kisah benar yang terjadi di negara ini.Kursus yang bakal diadakan kelak bakal melahirkan lebih ramai graduan yang mampu mencuri enjin jet pesawat yang lebih canggih daripada F5E.

Kursus yang bakal diadakan akan dikendalikan sepenuhnya tenaga pengajar tempatan yang diberi kepercayaan buat kali ke 18 oleh syarikat tersebut.

Menurutnya lagi,orang ramai yang berminat untuk mengikuti kursus ini bolehlah melayari bahtera menyusuri Sungai Kinabatangan dan bukannya melayari laman web sepertimana kehendak sesetengah portal berita.

PAS Sokong Terengganu Tuntut Royalti Sepenuhnya

KUALA TERENGGANU – PAS menyokong penuh tindakan kerajaan negeri Terengganu menuntut sepenuhnya wang royalti petroleum supaya dikembalikan kepangkuan rakyat dan kerajaan.

http://buletinonline.net/images/stories/berita17/drsyed.JPGAhli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Burok) berkata, pihaknya berharap Kerajaan Persekutuan mengembalikan wang tersebut kepada Kerajaan Negeri secepat mungkin.

(Gambar - Dr Syed ketika bangun berucap dalam Sidang DUN semalam)

Beliau mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad Said yang telah memberikan jawapan secara terbuka berkenaan perkara tersebut dalam Sidang Dewan Undangan Negeri semalam.

Namun katanya, beliau agak terkejut dan kesal kerana ratusan juta ringgit wang tersebut telah dibelanjakan oleh kerajaan persekutuan.

“Penjelasan dibuat adalah sesuatu yang mengejutkan apabila wang dibelanjakan untuk pembangunan Persekutuan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menggunakan wang royalti lebih RM700 juta, ini amat kita kesal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Sidang semalam.

Semalam, Ahmad ketika menjawab soalan Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang) telah mengumumkan pihaknya masih berunding dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha penyelesaian pembayaran balik royalti petroleum kepada Terengganu.

Katanya, Kerajaan Negeri menuntut sebanyak RM2.792 bilion, namun Kementerian Kewangan masih tidak berganjak dengan keputusan awal untuk membayar balik RM1.686 bilion sahaja.

Syed Azman yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat berharap Kerajaan Negeri dapat mempertahankan pendirian dalam memastikan tuntutan tersebut dipenuhi Pusat.

“Kita mengharapkan ia dapat disegerakan Kerajaan Pusat terutama Perdana Menteri bersesuaian janji beliau pada 13 Disember 2008 bahawa wang royalti Terengganu akan dikembalikan dan dimasukkan terus dalam Perbendaharaan Negara setiap tiga atau empat bulan sekali,” katanya.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .