GUA MUSANG, 17 Jan: Selepas lebih 30 tahun berdepan  dengan pelbagai tekanan sehingga kebajikan terabai, akhirnya peneroka  Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) menyerah memorandum menuntut  hak mereka.
Memorandum yang mengandungi 15 tuntutan peneroka daripada sembilan  rancangan kemajuan (RKT) tanah Kesedar diserah Pengerusi Badan Bertindak  Pewaris Bumi Wilayah (Waris) Kesedar Kelantan, Hamdan Jusoh pagi tadi.
Memorandum setebal tiga muka surat itu diterima Pengurus Besar  Kesedar, Arshad Ismail selepas majlis dialog dengan wakil-wakil  peneroka.
Sebelum itu lebih 1,000 peneroka daripada sembilan RKT terbabit  berarak bermula di Pejabat Agama Gua Musang menuju ke ibu pejabat  Kesedar di Bandar Baru Gua Musang.
Mereka hadir beramai-ramai sebagai memberi sokongan kepada Waris bagi  membela nasib mereka, selepas mendakwa sekian teraniaya di bawah  pengurusan Kesedar.
Perarakan sejauh kira-kira 200 meter diketuai Hamdan. Hadir sama  Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan, Mazlan Aliman, Pengerusi  Waris Pusat, Ruslan Ismail dan Penyelia Parlimen Gua Musang, Ustaz  Abdullah Hussin.
Antara tuntutan yang dikemukakan Waris termasuk menghapus hutang  peneroka Kesedar seperti mana yang dijanjikan, Kesedar hendaklah berlaku  adil dalam setiap pembahagian peruntukan projek dan bantuan.
Selain itu Kesedar harus memberi 10 ekar kepada peneroka, peneroka perlu tahu ke mana wang hasil ladang sawit dan getah.
Ketika ditemui pemberita selepas itu Ruslan berkata, Kesedar perlu  memberi penjelasan terperinci kos yang ditanggung peneroka bagi proses  tanam semula.
“Peneroka ingin tahu ke mana hasil ladang Kesedar diurus oleh Kesedar  Dagang. Kesedar juga perlu menjelaskan ke mana wang pampasan yang  dibayar kerajaan untuk tanah peneroka yang terlibat dengan jalan, kabel  elektrik dan sebagainya.
“Kesedar juga perlu menjelaskan kos tanam semula bagi setiap hektar  kebun. Kami juga memohon Kesedar membayar balik wang lebihan dan hutang  yang telah dibayar melalui potongan bayar kembali (BK),” katanya.
Selain itu kata beliau Kesedar perlu menyerah balik jawatan pengerusi Kesedar kepada Menteri Besar Kelantan.
Salinan memorandum yang sama diserah kepada Sultan Kelantan,  Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Menteri Besar Kelantan  dan pengurus Pejabat Operasi RKT Kesedar.
Perhimpunan aman yang diadakan di kawasan ibu pejabat Kesedar  mendapat permit polis. Ada beberapa anggota polis berkawal di pintu  masuk ke pejabat Kesedar.
Hanya lima wakil peneroka dan kepimpinan Anak dan Waris sahaja dibenarkan masuk.
Sejurus selepas selesai majlis tersebut, seorang peneroka dari Paloh  3, Hamid Awang Kechik, 54 membuat laporan polis ekoran kebun sawitnya  seluas ditebang Kesedar biar pun beliau tidak mengizinkan bagi projek  tanaman semula.
Sebahagian peneroka yang hadir turut hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang bagi memberi sokongan kepada Hamid.
Hamid juga meluahkan rasa bimbang perjanjian kedua yang diminta  ditandatangani setiap peneroka menyebabkan kebun diusahakan selama ini  hilang begitu sahaja. 
-Hrkh