Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mencabar kerajaan Malaysia supaya memberikan royalti kepada kerajaan Kelantan sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas mahu menolong rakyat khususnya orang Melayu di negeri itu.
DPPM melihat kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bahawa Kelantan belum lagi layak mendapat royalti minyak kerana Ordinan Darurat baru sahaja dibatalkan dan perlu menunggu sehingga enam bulan adalah alasan beliau semata-mata. Bagi DPPM, jawapan tersebut merupakan alasan terknikal yang diguna bersandarkan kepada undang-undang. Sepatutnya Datuk Seri Nazri Aziz menjawab dengan usaha mempertimbangkan tuntutan kerajaan Kelantan untuk memberikan royalti tanpa menunggu tamatnya Ordinan Darurat. Kerajaan juga perlu memberi jaminan untuk mengusahakan pemberian royalti itu kepada kerajaan Kelantan pada waktu yang sepatutnya.
Isu royalti Kelantan menunjukkan belang sebenar pemimpin UMNO dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu di negara ini. Selama ini berdegar-degar suara mereka di seluruh pelusuk dunia kononnya hanya UMNO sahaja pejuang bangsa Melayu. UMNO adalah tempat berpaut orang Melayu dan UMNO sahaja mampu membantu orang Melayu di negara ini.
Namun demikian, dalam isu royalti minyak di Kelantan, tindakan kerajaan UMNO-BN seakan dwi standard terhadap kerajaan Kelantan. Sedangkan rakyat mengetahui bahawa Kelantan diperintah oleh orang Melayu beragama Islam. Majoriti rakyat di Kelantan pula adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Soalnya, apakah orang Melayu Kelantan berbeza dengan orang Melayu di negeri lain? Adakah orang Melayu Kelantan tidak berhak menikmati kemudahan seperti mana perjuangan yang dilaung-laungkan oleh pemimpin UMNO? Mengapa tiada usaha serius dilakukan oleh kerajaan pusat bagi membantu rakyat dan negeri itu dalam keadaan mereka mengetahui bahawa rakyat Kelantan ada yang hidup dalam keadaan susah?
DPPM hairan bagaimana UMNO boleh bermimpi untuk menawan Kelantan dalam keadaan pemimpin mereka menyekat hak yang patut dinikmati oleh rakyat di negeri itu. Ini menunjukkan pemimpin UMNO sendiri tidak ikhlas membantu rakyat di negeri itu kerana tidak turut sama berjuang memberikan hak kepada Kelantan tanpa mengira siapa pemerintahnya. Rakyat Kelantan kini lebih mengenali siapa pemimpin sebenar untuk diangkat sebagai pemerintah yang jujur dan ikhlas dan siapa pula yang hanya berpolitik dan mahu mengambil kesempatan di negeri itu.