Ikuti Blog ini

Dr Mohd Asri dipelawa menyertai Pemuda PAS


KUALA LUMPUR, 1 Dis - Dewan Pemuda PAS Pusat mengajak bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul menyertai PAS bagi memudahkan beliau melaksanakan misi dan visi menyebarluaskan ajaran Islam kepada masyarakat.

Harapan itu dinyatakan oleh Timbalan DPPP, Ustaz Nasharuddin At-Tantawi ekoran berakhirnya jawatan Mufti pada 30 November lalu yang diamanahkan kepada Dr Asri selama dua tahun.

Menurut beliau, sebelum ini Dr Asri pernah mencuba satu ruang bersama pihak kerajaan melalui Jabatan Mufti memainkan peranan membawa fahaman Islam kepada masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan kekangan daripada pihak kerajaan apa yang dihasratkan itu tidak terlaksana.

"Kenapa Dr Asri tidak mencuba satu peluang bersama gerakan Islam (PAS) untuk memperjuangkan Islam. Mudah-mudahan beliau lebih berpeluang untuk melaksanakan misi dan visi membawa Islam kepada masyarakat," tegasnya.

Nasharuddin turut melahirkan kekecewaan kepada pihak Utusan Malaysia yang tidak membenarkan ruangan Mufti disambung oleh mufti lain sebaliknya diganti dengan Awang Selamat.

"Kenapa tidak dikekalkan ruangan itu untuk diisi dengan mufti lain. Sepatutnya pandangan mufti diletakkan diatas bukan hanya berdiam dan menanti atau melihat orang politik membuat keputusan negara," tegasnya.

Sepatutnya tambah beliau mufti perlu berperanan mendahului pandangan dan berani mengeluarkan pendapat berhubung dengan isu negara.

Walaupun Dr Asri gagal melaksanakan misi dan visinya, Nasharuddin tetap mengucapkan tahniah kepada beliau kerana berjaya membawa isu agama walaupun menimbulkan kontrversi.

Tambah beliau, tetapi sekurang-kurangnya ia mengundang dan menghidupkan perbahasan dikalangan tokoh-tokoh agama.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .