Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengekalkan hukuman penjara enam
tahun dan denda RM400,000 terhadap Anggota Parlimen Sabak Bernam Datuk
Abdul Rahman Bakri dan pembantunya Rosli Busro yang didapati bersalah
atas lapan pertuduhan melakukan tuntutan palsu melibatkan RM80,000 empat
tahun lepas.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu
selepas menolak rayuan mereka untuk mengetepikan sabitan dan hukuman
yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Azhaniz Teh Azman
Teh pada 1 Mac lepas.
Akhtar turut menolak permohonan Abdul
Rahman dan Rosli untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sebaliknya
memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Dalam
penghakimannya, Akhtar berkata Abdul Rahman menghadapi lapan
pertuduhan membuat tuntutan palsu ketika menjadi ADUN Sungai Air Tawar
sementara Rosli didakwa bersubahat dengannya melakukan kesemua kesalahan
itu.
Beliau berkata peguam perayu berhujah bahawa keterangan
dua saksi terpenting dalam kes itu iaitu Mohd Harmizar Sulaiman dan
Rizam Ismail tidak sepatutnya diterima oleh mahkamah atas alasan
kedua-dua mereka merupakan rakan sejenayah.
"Saya telah baca
keterangan kedua-dua saksi itu dan saya tidak anggap bahawa mereka rakan
sejenayah. Mereka lebih merupakan pak turut atau menurut apa-apa yang
diminta oleh tertuduh pertama (Abdul Rahman) dan tertuduh kedua (Rosli).
Kalaupun
kedua-dua saksi ini dikatakan sebagai rakan sejenayah tetapi keterangan
mereka telah disokong oleh keterangan saksi bebas lain.
"Justeru
saya berpendapat Hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan kesilapan
apabila menerima keterangan kedua-dua saksi ini. Jelas daripada
keterangan mereka bahawa kedua-dua tertuduh jelas mempunyai niat untuk
membuat tuntutan palsu," katanya.
Akhtar berkata perkara itu
terbukti apabila wang yang diterima bukan digunakan untuk program atau
aktiviti seperti dalam tuntutan tetapi lebih kepada untuk kegunaan
sendiri.
"Peguam tertuduh juga berhujah bahawa tuntutan
berkenaan bukan palsu kerana program berikut telah diadakan tetapi bukan
di tempat yang dinyatakan seperti dalam tuntutan itu. Bagaimanapun saya
lebih cenderung menyatakan ia adalah tuntutan palsu.
"Dalam
rayuan ini saya puas hati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen tidak membuat
sebarang kesilapan bila mendapati kedua-dua tertuduh bersalah atas semua
tuduhan dan hukuman juga adalah setimpal dengan kesalahan serta jawatan
kedua-dua tertuduh. Justeru rayuan terhadap sabitan serta hukuman
ditolak dan hukuman dikekalkan," katanya.
Abdul Rahman dan
Rosli diwakili peguam Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah dan Badrul
Munir Mohd Bukhari sementara Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa dan Timbalan
Pendakwa Raya Mohd. Zaki Salleh mewakili pihak responden.
Abdul
Rahman, 47, didakwa menggunakan dokumen peruntukan palsu iaitu Surat
ADUN mengandungi butiran bagi tuntutan program dan aktiviti yang tidak
pernah dijalankan.
Tuntutan itu membabitkan pembelian hadiah,
cendera mata dan jamuan Program Motivasi Pelajar Peringkat Dewan
Undangan Negeri Sungai Air Tawar; Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga
di Dewan Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar (BNO); Program Forum Perdana
Peringkat Mukim BNO; Program Mesra Rakyat dan Sambutan Maulud Nabi dan
Program Mesra Rakyat Hari Keluarga Guru Kemas.
Semua tuntutan palsu itu membabitkan RM10,000 setiap satu.
Abdul Rahman didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Sabak Bernam antara 21 Jan dan 12 Feb, 2008.
Bagi
setiap pertuduhan, beliau didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta
Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama
yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang
lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika
sabit kesalahan.
Rosli, 44, pula didakwa bersubahat dengan Abdul Rahman melakukan kesemua kesalahan itu.
- Bernama