Ikuti Blog ini

SPRM serbu pejabat NFC


Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat National Feedlot Corporation (NFC) hari ini berhubung skandal Fidlot yang membabitkan keluarga menteri kabinet, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Enam pegawai penguatkuasa dari SPRM Putrajaya memasuki pejabat di Solaris Mont Kiara pada sekitar 2.50 petang, dengan disaksikan oleh petugas media yang berkumpul di situ.
Pegawai berkenaan, diketuai pengarah siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali, dilihat keluar daripada premis berkenaan kira-kira dua jam kemudian.

Semalam, SPRM mengumumkan penubuhan pasukan khas untuk menyiasat skandal tersebut.
Projek NFC yang diusahakan suami Shahrizat, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail dan juga anak-anak mereka, meraih kontroversi apabila projek berkenaan ditimbulkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2010.
NFC didakwa menyeleweng pinjaman mudah RM250 juta itu untuk perbelanjaan tidak berkaitan, termasuk membeli dua unit kondominium mewah di Bangsar. -M'kini

Mufti Perlis tempelak JPN, Anaknya bukan warganegara Malaysia


KUALA LUMPUR - Mufti Perlis Dr Juanda Jaya hari ini membidas perkhidmatan awam dan Putrajaya selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan taraf warganegara Malaysia kepada anaknya.

Kejadian itu berlaku pada awal pagi tadi apabila Juanda, yang berbangsa Melanau, cuba untuk memperbaharui kad pengenalan anak perempuannya yang berusia 12 tahun itu di pejabat JPN di Kuching.

"Anak saya tanpa kerakyatan! Sistem jenis apakah ini? Adakah kita berada di Afrika atau Zimbabwe yang huru-hara?" katanya dalam satu kenyataan.

"Dalam masa begitu ramai warga asing dikatakan telah diberikan kewarganegaraan, anak perempuan saya yang berbangsa Melanau, Bumiputera Sarawak yang berhak mendapat kerakyatan yang jelas dipelihara di dalam Perlembagaan, tiba-tiba dikatakan bukan seorang warganegara Malaysia."

Juanda berkata walaupun isterinya adalah seorang warganegara Indonesia, tidak ada sebab anaknya harus menjadi mangsa, lebih-lebih lagi kerana di dalam rekod JPN sendiri telah mengenalpasti kanak-kanak itu sebagai berbangsa Melanau.

Beliau berkata anak perempuannya telah menziarahi saudara-maranya di Jakarta awal bulan ini menggunakan pasport Malaysia, jadi bagaimana dia mungkin boleh ditandakan sebagai bukan warganegara bukan dalam sistem JPN ini.

"Bagaimana anda rasakan jika, sebagai seorang Bumiputera yang jelas disebut dalam Perlembagaan sebagai pribumi ... dalam negara ini dimana hak perlembagaannya terjamin, tetapi anda secara tiba-tiba telah dinafikan hak-hak oleh sistem negara tercinta ini?

"Ini hak minimum untuk kewarganegaraan. Bukannya hak untuk mendapatkan lesen pembalakan atau projek-projek durian runtuh. Tambahan lagi, bahawa hak ini dinafikan oleh sistem yang sedia ada," katanya.

Juanda, yang menuntut di pusat pengajian berprestij Universiti Al-Azhar Kaherah, juga menyamakan interaksi beliau ketika berurusan dengan pegawai JPN Kuching bagaikan seorang pegawai Mesir di bawah Hosni Mubarak semasa permohonan visa tahunan beliau ketika beliau menuntut di sana suatu ketika dulu, dan beliau turut mempersoalkan dakwaan-dakwaan kerajaan bahawa perkhidmatan awam mereka kini lebih cekap .

Beliau berkata telah diberitahu oleh seorang pegawai JPN di sana untuk mengemukakan sijil perkahwinan, walaupun pada hakikatnya ia bukanlah satu keperluan dan tidak pula dinyatakan pada mana-mana papan kenyataan di sana, dan (dokumen) itu tidak pernah diminta ketika dia membuat permohonan untuk kad pengenalan anak perempuannya sebelum ini.

"Kenapa begini? Menteri Dalam Negeri boleh memberikan taraf kewarganegaraan kepada warganegara asing tetapi anak kelahiran Malaysia sendiri dinafikan hak kewarganegaraan?

"Apa yang berlaku kepada sistem negara kita? Siapa yang akan membantu anak perempuan saya mendapatkan kerakyatan beliau?," tambahnya.


Kredit : TMI

Qazaf : Audit sahkan Jamil dan MAIWP guna wang zakat


Laporan Audit Negara mengesahkan RM63,650 telah dikeluarkan dari dana zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom dan dua yang lain.Kos guaman itu bersabit kes tuntutan qazaf ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menamakan Jamil; pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwanya, Shamsuddin Hussain, sebagai responden.

Menurut laporan tersebut, Che Mat telah meluluskan bayaran interim berjumlah RM31,500 menggunakan peruntukan sumber am bagi perkhidmatan perundangan pada 28 Januari 2010, daripada peruntukan zakat terlebih dahulu kerana geran kerajaan belum diterima pada tarikh tersebut.

Menurutnya lagi, pada 29 April 2010, MAIWP membuat pembayaran baki kos guaman berjumlah RM32,150 juga menggunakan peruntukan sumber zakat terlebih dahulu,lapor Malaysiakini semalam.
Jumlah itu hanya dikembalikan selepas MAIWP menerima geran RM700,000 pada Jun 2010 daripada kerajaan untuk perbelanjaan lain selain daripada agihan zakat, seperti perkhidmatan perundangan, pentadbiran, elaun mesyuarat dan penyenggaraan kenderaan.

Laporan itu menyebut, MAIWP melantik firma guaman Zainul Rijal Talha dan Amir mewakili mereka atas pegangan jawatan mereka dalam MAIWP.

Laporan Audit Negara menjawab soalan yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) yang dipengerusikan Datuk Seri Azmi Khalid, oleh tiga ahli parlimen – Saifuddin Nasution Ismail (Machang), Datuk Kamaruddin Jaafar (Tumpat) dan Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai).

Jawapan Azmi yang melampirkan laporan Audit Negara itu bertarikh 14 Disember, dan disiarkan dalam blog Nurul Izzah.

Laporan itu menyebut bahawa peruntukan wang zakat yang didahulukan itu, telah dibayar balik sebelum penutupan akuan MAIWP tahun 2010 dan telah disahkan oleh pihak audit.

Propaganda musuh terhenti, fokus kemungkaran BN

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) merasa yakin, polemik dalaman PAS yang dicipta oleh propaganda musuh sudah terhenti dan fokus rakyat kini terarah kepada semua kemungkaran yang dilakukan oleh kerajaan BN hari ini.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, media seperti mahu menimbulkan prejudis terhadap PAS dengan menimbulkan polemik yang sengaja direka-reka.

“Sebaliknya media mahu lensa rakyat melupakan isu-isu besar yang sedang melingkari negara ini seperti penyelewengan dana rakyat, penyalahgunaan kuasa, rasuah, krisis kepercayaan dalam parti pemerintah, serta polisi dan undang-undang yang membelenggu rakyat.
“Kesemua ini adalah isu yang perlu dihadapkan kerana melibatkan kepentingan rakyat yang lebih utama,” ujarnya.

Katanya, DPP Malaysia dan rakyat tentunya tidak sabar menunggu perubahan yang bakal dijelmakan dalam PRU ke 13 nanti bersama Pakatan Rakyat membina sebuah negara yang adil, aman dan sejahtera.

Sehubungan itu, ujarnya DPP Malaysia menghargai keikhlasan dan tekad yang ditunjukkan Ustaz Nasharudin Mat Isa yang bertegas mempertahankan Islam melalui PAS dengan tiada niat sedikitpun mahu menyertai Umno seperti yang ditohmah.

Bagi DPP Malaysia, tambahnya itu adalah satu contoh terbaik buat semua pendukung PAS betapa kentalnya iltizam yang ditunjukkan oleh bekas Timbalan Presiden PAS itu.

Menurutnya, meskipun difitnah dari pelbagai pihak, beliau masih tetap teguh berpegang kepada perjuangan PAS yang selama ini didukungnya, malah segala tohmahan yang dilemparkan tidak sedikitpun merencatkan perjuangan beliau.

“Sudah tentu kenyataan terbuka beliau untuk terus bersama dengan perjuangan Islam dalam PAS menyejukkan dan melegakan hati seluruh penyokong dan pendokong perjuangan Islam ini.
“Keperibadian yang tinggi ini adalah natijah dari proses tarbiyah yang ada dalam PAS selama ini,” katanya lagi.

Katanya, kejayaan proses tarbiyah PAS bukan menjadikan seseorang itu hebat penampilannya, lebih dari itu menjadikan akidah perjuangannya kental dan tidak mudah goyah walau apa pun ujian yang melanda.
Beliau menambah, proses tarbiyah PAS membina setiap diri ahli dan anggota berjiwa besar dalam menghadapi segala macam tribulasi.

Kerana itulah, ujarnya PAS terus bertahan sehingga sekarang meskipun diserang dari pelbagai penjuru dan ruang.

Justeru, tegasnya DPP Malaysia menganggap semua tohmahan terhadap Nasharudin merupakan mainan media yang mahu melaga-lagakan perpaduan yang kukuh dan ukhwah yang erat di kalangan pemimpin PAS. -Hrkh

Rasuah: Khir Toyo dihukum penjara setahun


Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mendapati bekas menteri besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo bersalah atas tuduhan rasuah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara berkuatkuasa hari ini, serta memerintahkan harta terbabit dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.

Hukuman penjara itu dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan berkuat kuasa mulai hari.
Perintah melucuthak harta tersebut pula dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1997.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Mohtaruddin Baki berkata hukuman yang berat adalah perlu kerana dalam kes-kes yang melibatkan kepentingan awam dan swasta, kepentingan awam perlu diberi keutamaan.

Bagaimanapun, Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut.

Sebelum itu, Mohtaruddin berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap ADUN Sungai Panjang itu tanpa sebarang keraguan yang munasabah.

NONEKhir didakwa mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan - tuduhan rasuah yang lebih ringan, berbanding dengan tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah dan Akta baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Khir berdepan dengan kemungkinan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Jika denda itu melebihi RM2,000, Khir boleh hilang kelayakannya sebagai ADUN dan tidak boleh bertanding dalam pilihan raya akan datang.
Turut hadir ialah isterinya, Zaharah Kechik dan kira-kira 40 penyokongnya - ada yang duduk dan ada yang berdiri di dalam bilik mahkamah yang padat.

Khir diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai oleh Jahaberdeen Yunoos, M Athimulan dan Kamarul Hisham Kamaruddin.

DPP Abdul Wahab Mohamed menjalankan pendakwaan.

Khir tiba di mahkamah seawal jam 9.15 pagi.
Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, daripada pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditmas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

khir toyo mansion 060709 06Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga ADUN Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, di Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Pada 8 Ogos lalu, Hakim Mohtaruddin memerintahkan Khir membela diri atas tuduhan itu selepas mendapati pendakwa sudah membuktikan kes prima facie ke atas pemimpin politik itu.

Dua puluh lima saksi pendakwa dan lima saksi pembela, termasuk Khir, memberi keterangan dalam perbicaraan tersebut. -M'kini

TG Nik Aziz belum Nazak lagi.........................


KOTA BHARU, 23 Dis: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pihak tertentu agar tidak menyebarkan fitnah berhubung keadaan kesihatan dirinya yang menjalani rawatan baru-baru ini.

Katanya, dakwaan bahawa beliau berada dalam kritikal sehingga menerima rawatan intensif semasa berada di Hospital Universiti Malaysia (HUSM) baru-baru ini adalah tidak betul.

Menyangkal dakwaan itu Nik Aziz, 80, berkata, sudah menjadi rutin dia akan membuat pemeriksaan berkala di hospital terbabit supaya keadaan kesihatan sentiasa stabil dan memuaskan.

“Sudah menjadi kebiasaan saya buat pemeriksaan di hospital tiga bulan, ada( dakwaan) kata saya sakit, itu kerja orang yang tidak kenal dosa, ” katanya ketika ditemui media di kediamannya di Pulau Melaka, semalam.

Isnin lalu Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS telah dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan dan dibenarkan pulang pagi semalam.

Bagaiamanapun, maklumat yang tersebar luas di internet menyatakan beliau berada dalam keadaan kritikal.

Semalam juga beliau turut mengeluarkan kenyataan menyatakan pendirian berhubung isu dalaman parti membabitkan bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip.

Dalam responya beliau menasihatkan semua pihak di dalam parti tidak lagi menggunakan media massa milik musuh politik PAS untuk memperkatakan tentang masalah dalaman parti.

Beliau juga menyokong keputusan Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat untuk memanggil ketiga-tiga individu tersebut memberikan penjelasan.

Ceramah Terkini!!!! DSA dan Mat SabuI!!!! (video)




Tok Guru Nik Aziz Seru Pimpinan Pas Tidak Menggunakan ' Media Musuh '

KOTA BHARU : “Saya juga menyeru kepada semua pihak di dalam parti tidak lagi menggunakan media massa milik musuh politik PAS untuk memperkatakan tentang masalah dalaman parti,” kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mursyidul Am PAS itu itu menyeru supaya perselisihan pandangan diselesaikan melalui mekanisme dalaman parti dan tidak memberikan peluru kepada musuh.

“Saya yakin, apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa.

“Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya Allah,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons berkaitan dengan Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat malam semalam yang memutuskan untuk memanggil bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit mutakhir ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyokong sepenuhnya keputusan itu dan menganggap ia sebagai satu langkah yang terbaik untuk meredakan kemelut yang sedang berlaku sejak kebelakangan ini.

“Selaku Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya suka memberikan jaminan bahawa Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada parti sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak,” tegasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Justeru, jelasnya dakwaan yang menyatakan bahawa Negara Berkebajikan yang disebut oleh Datuk Seri Presiden di dalam ucapan dasarnya di dalam Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini sudah tersasar dari perjuangan asal PAS adalah merupakan dakwaan yang tidak berasas.

“Di pihak Majlis Syura, kita menganggap idea Negara Berkebajikan yang disebut oleh Datuk Seri Presiden bukannya menggelincirkan PAS dari landasannya bahkan lebih mendekatkan masyarakat Malaysia kepada perjuangan PAS yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan,” ujarnya.

Dalam hal ini, katanya negeri Kelantan yang telah 21 tahun ditadbir oleh PAS menjadi rekod dan testimoni yang nyata terhadap cita-cita murni PAS itu. -Hrkh

Adam Adli: Turun Bendera PM Tanda Kemenangan


Pemimpin pelajar, Adam Adli berkata tindakannya menurunkan bendera memaparkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di ibu pejabat Umno dilakukan sebagai satu simbol kemenangan kepada siswa pada hari tersebut.

Dalam temubual disiarkan akhbar Sinar Harian hari ini, Adam berkata, perhimpunan dan perarakan pelajar itu pada hujung minggu lalu – dari Masjid Jamek ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan seterusnya ke bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra – berlangsung dengan terkawal tanpa kekecohan.

Beliau juga tidak menyangka bahawa perkara berkenaan akan menjadi perhatian media kerana tindakan menurunkan bendera berkenaan, yang digantikan dengan bendera berslogan kebebasan akademik, juga hanya satu ekspresi dirinya.

Bendera itu juga hanya digantikan untuk beberapa ketika sebelum beliau menaikkan semula bendera asal.

"Bermula dari bangunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) lagi, kami berada di situ dalam tempoh yang agak lama, jadi kami bosan kerana tidak nampak kesan dari memorandum yang kami serahkan," katanya.

Apabila tiba di PWTC, pelajar berkenaan menyerahkan pula memorandum mereka kepada timbalan menteri pengajian tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, kata pelajar tahun tiga Universiti Pendidikan Sultan Idris itu.

"Bila kami menyerahkan memorandum, semua pelajar mendengar ucapan daripada Saifuddin. Bagi saya ia tidak boleh jadi," katanya.

Tambahnya, kumpulan pelajar dianggar seramai 350 orang itu sebelumnya bersungguh-sungguh melaungkan slogan kebebasan akademik.

"Tetapi apabila menteri datang terus jadi sama dengan pelajar lain. Nampak sahaja menteri, terus salam dan ambil gambar, bagi saya ini bukan cara sebenarnya.

"Jadi saya ambil bendera dan terus menurunkan bendera Najib digantikan dengan bendera Kebebasan Akademik

"Apabila pelajar lain nampak apa yang saya lakukan, barulah mereka merasakan kemenangan, bukan hanya jumpa menteri sudah rasa menang," katanya yang berniat supaya "kemenangan" itu dirasai oleh siswa yang menyertai perhimpunan berkenaan.

Adam turut mengulas kritikan dan ugutan oleh pemimpin Umno, yang antara lain menyifatkan beliau tidak matang kerana menurunkan bendera berkenaan.

"Bagi saya ia matang bagi orang yang memahami isu dan menerima keadaan bahawa mahasiswa sekarang ditekan.

"Malah bagi saya, banyak lagi tindakan yang jauh lebih tidak matang yang dilakukan pihak lain seperti menyerahkan kek berupa tahi dan sebagainya kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini. Adakah bagi mereka tindakan ini matang?," soalnya.

"Adakah mereka sedar tindakan turun naik bendera ini tidak pernah menjadi kesalahan mana-mana tempat dalam dunia ini? jadi saya tahu perkara yang salah dan betul.

"Jika tindakan itu dikira jenayah, sudah tentu saya teragak-agak untuk melakukannya. Ini adalah satu bentuk ekspresi saya. Sebab itu saya percaya mereka yang mengugut saya ini tidak tahu apa-apa langsung mengenai diri saya," tambahnya.

Ditanya lanjut, Adam, 22, yang mendapat sokongan penuh ibubapanya dalam tindakan itu berkata, beliau secara khusus tidak akan meminta maaf kepada perdana menteri walau digesa berbuat demikian.

"Saya tidak akan minta maaf. Selepas perkara ini berlarutan sehingga ke tahap ini, tiba-tiba pula saya didesak untuk minta maaf.

"Bagaimana pula dengan rakan-rakan saya? Saya tidak mahu rakan-rakan saya jatuh semangat sekiranya saya minta maaf," katanya.

Namun, Adam menjelaskan beliau tidak bermaksud untuk tidak meminta maaf buat selama-lamanya.

"Pada satu tahap nanti saya perlu juga minta maaf kepada beberapa orang berikutan tindakan saya ini," katanya lagi.-M'kini
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .