Ikuti Blog ini

Mufti Perlis tempelak JPN, Anaknya bukan warganegara Malaysia


KUALA LUMPUR - Mufti Perlis Dr Juanda Jaya hari ini membidas perkhidmatan awam dan Putrajaya selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan taraf warganegara Malaysia kepada anaknya.

Kejadian itu berlaku pada awal pagi tadi apabila Juanda, yang berbangsa Melanau, cuba untuk memperbaharui kad pengenalan anak perempuannya yang berusia 12 tahun itu di pejabat JPN di Kuching.

"Anak saya tanpa kerakyatan! Sistem jenis apakah ini? Adakah kita berada di Afrika atau Zimbabwe yang huru-hara?" katanya dalam satu kenyataan.

"Dalam masa begitu ramai warga asing dikatakan telah diberikan kewarganegaraan, anak perempuan saya yang berbangsa Melanau, Bumiputera Sarawak yang berhak mendapat kerakyatan yang jelas dipelihara di dalam Perlembagaan, tiba-tiba dikatakan bukan seorang warganegara Malaysia."

Juanda berkata walaupun isterinya adalah seorang warganegara Indonesia, tidak ada sebab anaknya harus menjadi mangsa, lebih-lebih lagi kerana di dalam rekod JPN sendiri telah mengenalpasti kanak-kanak itu sebagai berbangsa Melanau.

Beliau berkata anak perempuannya telah menziarahi saudara-maranya di Jakarta awal bulan ini menggunakan pasport Malaysia, jadi bagaimana dia mungkin boleh ditandakan sebagai bukan warganegara bukan dalam sistem JPN ini.

"Bagaimana anda rasakan jika, sebagai seorang Bumiputera yang jelas disebut dalam Perlembagaan sebagai pribumi ... dalam negara ini dimana hak perlembagaannya terjamin, tetapi anda secara tiba-tiba telah dinafikan hak-hak oleh sistem negara tercinta ini?

"Ini hak minimum untuk kewarganegaraan. Bukannya hak untuk mendapatkan lesen pembalakan atau projek-projek durian runtuh. Tambahan lagi, bahawa hak ini dinafikan oleh sistem yang sedia ada," katanya.

Juanda, yang menuntut di pusat pengajian berprestij Universiti Al-Azhar Kaherah, juga menyamakan interaksi beliau ketika berurusan dengan pegawai JPN Kuching bagaikan seorang pegawai Mesir di bawah Hosni Mubarak semasa permohonan visa tahunan beliau ketika beliau menuntut di sana suatu ketika dulu, dan beliau turut mempersoalkan dakwaan-dakwaan kerajaan bahawa perkhidmatan awam mereka kini lebih cekap .

Beliau berkata telah diberitahu oleh seorang pegawai JPN di sana untuk mengemukakan sijil perkahwinan, walaupun pada hakikatnya ia bukanlah satu keperluan dan tidak pula dinyatakan pada mana-mana papan kenyataan di sana, dan (dokumen) itu tidak pernah diminta ketika dia membuat permohonan untuk kad pengenalan anak perempuannya sebelum ini.

"Kenapa begini? Menteri Dalam Negeri boleh memberikan taraf kewarganegaraan kepada warganegara asing tetapi anak kelahiran Malaysia sendiri dinafikan hak kewarganegaraan?

"Apa yang berlaku kepada sistem negara kita? Siapa yang akan membantu anak perempuan saya mendapatkan kerakyatan beliau?," tambahnya.


Kredit : TMI
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .