![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj134-p1b3oQPt-S9zAttVa3FAoOYwb814q1eNMB2Kb0RoJTCSRYKmD6wgbezVhtQlHb4HbXwm9aCLEHq_aqpRGkvCjn2n_QmZLIMdtgIw1yDEM2MOcJi99IxOgkRP93cAGK_xGN7Hvk54/s400/TokGuruNikAziz01.jpg)
Versi penuhnya di sini
KUALA LUMPUR, 16 Dis: Semua ahli parlimen Pakatan Rakyat hari ini keluar dari Dewan Rakyat selepas Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia didakwa menggunakan perkara 44 Peraturan Mesyuarat.
Perkara 44 (4) antara lain memberi kuasa kepada Speaker 'menggantung' ahli parlimen yang ada dalam dewan dengan menyebut nama ahli parlimen tersebut.
Speaker sewaktu kekecohan sedang berlaku, didakwa membuat ugutan terhadap ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan mendakwa akan membaca senarai nama semua ahli parlimen pakatan kerana tidak mengendahkan arahannya.
Beliau juga dilihat mengarahkan dan meminta setiausaha dewan mendapatkan senarai nama ahli parlimen Pakatan Rakyat untuk dibaca.
Ekoran itu, dalam keadaan dewan terus kecoh, semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar dewan sebagai protes kepada tindakan Speaker itu.
Bagi Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar, tindakan Speaker itu menggambarkan kelemahan beliau mengawal keadaan dan berniat untuk menggantung semua wakil rakyat pembangkang.
Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli ketika diminta mengulas perkara itu pula berkata, episod yang berlaku hari ini sangat malang dan memalukan.
"Kita minta Speaker membuat beberapa rulling sebelum perbahasan tetapi tidak diendahkan.
"Tetapi oleh kerana dia gagal mengawal keadaan, dia menggunakan kuasanya menggunakan perkara 44 Peraturan Mesyuarat untuk menekan dan mengugut MP Pakatan untuk menggantung mereka walaupun tidak menyebut tempoh," katanya yang juga Bendahari PAS Pusat.
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub pula turut melahirkan rasa kecewa di atas apa yang berlaku di dewan rakyat hari ini apabila Speaker bertindak demikian.
"Kita lihat Speaker guna perkara 44, kita tidak dengar tadi dia guna ke tidak sebab suasana sangat kecoh.
"Kita akan cuba mendapatkan kepastian setiausaha dewan," katanya yang juga Naib Presiden PAS.
Kekecohan hari ini berlaku ekoran MP Pakatan Rakyat membantah usul untuk menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Subang, Gombak dan Bukit Gelugor.
Sehubungan itu, semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang bertindak keluar dewan tidak akan meneruskan persidangan hari ini.
Untuk rekod, hari ini adalah hari terakhir Persidangan Dewan Rakyat untuk Penggal ke-3 Parlimen ke-12 dan akan disambung semula Mac 2011. -Hrkh
Mereka yang sepatutnya berarak bagi menghantar memorandum aduan kepada Suhakam dari bangunan Parlimen ke pejabat Suhakam di Jalan Raja Laut sejurus tengahari ini, bagaimanapun dihalang oleh polis.
Akibatnya, berlaku kejadian tolak-menolak antara mereka dengan kira-kira 50 anggota polis yang sejak pagi tadi mengawal kawasan sekitar parlimen itu.
Akibatnya dua orang penyokong Demokrasi Hitam 2.0 ditahan polis dan Yusmadi Yussof (PKR-Balik Pulau) sedang berbincang dengan polis.
Mereka yang ditangkap polis itu dikenali sebagaiLee Khai Loon (atas, berbaju merah), anggota exco AMK dan G Pravin (bawah, berbaju hitam), ketua penerangan PKR, Padang Serai, yang juga anak kepada ahli parlimen Padang Serai, G Gobalakrishnan.
Perhimpunan hari ini adalah bagi membantah tindakan Dewan Rakyat menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama enam bulan kerana membuat kenyataan mengaitkan konsep 1Malaysia dengan kempen One Israel. Usul itu diluluskan tanpa bahas selepas berlaku kekecohan, pagi tadi.
Sejak awal pagi tadi, kira-kira 40 anggota polis mula berkawal di sekitar perkarangan bangunan Parlimen. Jumlah itu kemudian meningkat kepada kira-kira 50 orang apabila keputusan menggantung Anwar dibuat. Anwar selepas digantung kelihatan keluar dan bersalaman dengan penyokongnya itu. Laungan 'Reformasi' dan 'Takbir' bergema sekitar kawasan parlimen seketika. Turut bersama Annwar adalah R Gobalakrishan (PKR-Padang Serai) dan Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin. Selepas perbincangan, polis membenarkan hanya tiga orang, termasuk Shamsul dan Yusmadi untuk meneruskan hasrat mereka menyerahkan memorandum kepada Suhakam. -M'kini
Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Konvensyen Barisan Nasional 2010 baru lalu memberitahu seluruh rakyat jelata bahawa Pilihanraya Umum Ke 13 akan diadakan bila-bila masa sahaja. Seperti biasa muncullah peramal-peramal politik yang membuat andaian mengenai tarikh pilihanraya. Bagi Perdana Menteri congaknya sangat mudah, iaitu beliau akan mengisytiharkan pembubaran Parlimen di waktu BN mempunyai peluang yang cerah untuk menang.
Buat masa ini peluang BN sangat tidak cerah kerana sokongan bukan Melayu belum memihak kepada BN, sedangkan undi bukan Melayulah yang membantu mereka mengekalkan kuasa di Pusat sejak sekian lama.
Golongan muda sudah terlalu jauh dari ‘zaman Jepun’ dan ’13 Mei’. Mereka adalah golongan yang terdedah kepada maklumat maya. Umno boleh menggunakan media-media primitif tunggangan mereka untuk menakutkan golongan katak bawah tempurung yang tidak kenal internet, tetapi sukar untuk menyebarkan propaganda kepada golongan muda. Waktu zaman Jepun, anak dara dilarang keluar rumah takut diambil oleh tentera Jepun.
Ancaman itu memang menakutkan anak dara Melayu kerana keganasan tentera Jepun berlegar dalam masyarakat. Di zaman ini, anak dara tidak takut lagi untuk keluar rumah walaupun terlalu banyak ancaman perogol yang lebih ganas dari Jepun. Bahkan hari ini ada anak dara yang membonceng motorsikal ‘perogol’ mereka sendiri.
Demikian situasi zaman berubah. Ancaman perkauman mungkin berkesan selepas ’13 Mei’ tapi bukan sekarang. Golongan muda hari ini tidak boleh dimomok ancaman perkauman kerana ancaman itu langsung tidak menakutkan mereka. Golongan muda juga bijak untuk bertanya kembali Umno, “Mengapa sekarang baru sibuk bincang hak Melayu yang terhakis dalam pelbagai bidang, setengah abad berkuasa apa Umno buat?”
Bukan Melayu dan golongan muda begitu menggusarkan BN. Nampaknya walaupun Najib sudah memukul gendang perang, pilihanraya boleh diadakan bila-bila masa saja, tetapi waktu terdekat ini masih bukan masanya. Apatah lagi ketua-ketua kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah menegaskan bahawa mereka belum tentu akan mengikut Pusat membubarkan DUN dalam waktu yang sama.
Kenyataan oleh SPR (yang dianggap sebagai ‘parti komponen’ BN ke 14) bahawa penjawat awam juga mungkin disenaraikan sebagai pengundi pos membayangkan langkah terdesak mereka untuk mengekalkan kuasa melalui cara yang tidak demokrastik.
Setiap 10 tahun biasanya SPR akan melakukan persempadanan semula pilihanraya. Setelah hampir satu dekad, nampaknya SPR masih menyepi. Dulu PAS berhempas pulas membantah langkah SPR memasukkan kawasan pengundi bukan Melayu sesuka hati ke dalam kawasan yang dianggap ‘kawasan tradisi PAS’. Jawapan yang diberikan SPR waktu itu ialah, itu kelemahan parti politik tertentu yang tidak mendapat sokongan dari pelbagai kaum. Jawapan itu untuk mengenakan PAS. Kini adakah strategi yang diguna SPR itu akan berulang lagi kerana jika dilakukan, ia menguntungkan Pakatan Rakyat kerana undi bukan Melayu tidak lagi berpihak kepada BN?
Satu lagi pendedahan berguna yang dibuat Najib dalam Konvensyen BN itu ialah pengakuan terbuka beliau bahawa BN sebagai parti yang terlalu lama berkuasa mempunyai empat penyakit utama iaitu; khayalan (delusion), kelupaan (amnesia), kejumudan (inertia) dan keangkuhan (arrogance).
Dalam huraiannya Najib memberitahu bahawa delusion adalah kerana merasa khayal bahawa BN akan menang sampai bila-bila. Penyakit amnesia kerana mereka sudah lupa asal usul perjuangan. Penyakit inertia kerana BN enggan membuat perubahan dan pembaharuan dan penyakit arrogance kerana tidak boleh terima teguran rakyat.
“Sesungguhnya semua penyakit tersebut terutama penyakit keangkuhan akan hanya menyebabkan rakyat benci dan merasa menyampah,” ujar Najib.
Semua jentera penerangan Pakatan Rakyat hendaklah mengambil pendedahan Najib perihal sifat BN ini untuk diterangkan kepada seluruh rakyat jelata, sehingga rakyat sudak tidak berselera lagi untuk melihat BN.
Keangkuhan, misalnya, adalah sifat yang boleh dihuraikan secara panjang lebar. Antaranya ialah keangkuhan BN yang mendakwa kononnya mereka sahaja yang layak di atas muka bumi Malaysia ini untuk menjadi pemerintah, keangkuhan BN menggunakan media-media untuk memperbodohkan rakyat dengan pelbagai pembohongan dan melakukan fitnah terhadap Pakatan Rakyat, keangkuhan BN menjatuhkan kerajaan Perak yang dipilih rakyat secara demokratik, keangkuhan BN menangkap rakyat yang disyaki bersalah dibawah ISA tetapi tidak mendakwa mereka di mahkamah, keangkuhan BN menggantung Ketua Pembangkang Parlimen selama enam bulan, keangkuhan BN menggunakan pihak keselamatan untuk membelasah penyokong Pakatan Rakyat yang menyertai demonstrasi sebaliknya memberi layanan istimewa kepada penyokong BN yang menyertai perhimpunan haram, keangkuhan BN menyalahgunakan semua jentera kerajaan untuk kepentingan politik mereka, keangkuhan BN mengalihkan peruntukan Pusat dan menyalurkan melalui ketua Umno Bahagian dan bukannya Kerajaan Negeri, keangkuhan BN menyekat royalti minyak di Kelantan, keangkuhan BN memenangi pilihanraya kecil melalui rasuah dan ugutan serta 1001 cerita keangkuhan lagi. Mohamad Sabu boleh bercerita mengenai keangkuhan BN saja, tujuh hari tujuh malam.
Pengerusi BN telah mengaku di hadapan rakyat bahawa parti mereka bermasalah, habis rakyat nak sokong apa lagi?
LAPORAN LANGSUNG
11.43am: Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar berkata perarakan akan diadakan dari bangunan Parlimen ke ibu pejabat Suhakam, yang terletak kira-kira dua kilometer.
Namun, kira-kira 40 anggota polis berada dalam keadaan bersiap-sedia.
11.33am: Hujan renyai di luar bangunan Parlimen.
11.32am: Perbahasan mengenai usul kedua dimulakan oleh Abdul Rahman Dahlan (Umno-Kota Belud). Beliau menuduh ketiga-tiga ahli parlimen itu membuat interpretasi Peraturan Dewan mengikut agenda politik mereka.
11.30am: Nazri mengusulkan usul kedua untuk menggantung tiga lagi ahli parlimen - R Sivarasa (PKR-Subang), Azmin Ali (PKR-Gombak) and Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).
11.29am: Ahli parlimen pembangkang melaungkan "Bohong, Bohong!" Anwar meninggalkan Dewan dan diikuti oleh semua ahli parlimen pembangkang.
11.25am: Pandikar memutuskan untuk menguatkuaskan Peraturan 44. Beliau mengarahkan setiausaha dewan untuk membekalkan setiap nama ahli parlimen yang mengengkarinya supaya mereka juga boleh dihgantung. 11.28am: Pandikar mengugut untuk mengadakan undian tanpa perbahasan. Azmin Ali (PKR-Gombak) menuntut untuk tahu peraturan mana yang akan digunakan oleh speaker untuk mengadakan undian tanpa perbahasan. Pandikar kemudian memutuskan undian dijalankan tanpa perbahasan. Usul menggantung Anwar diluluskan dengan suara majoriti.
11.20am: Pandikar mengarahkan Khairy supaya meneruskan perbahasan mengenai usul berkenaan tetapi laungan "Apco-Umno" terus menenggelamkan suaranya. Sepanduk sekali lagi dinaikkan dan ada ahli parlimen yang menjerit "mentaliti buruk".
11.17am: Sivarasa (PKR-Subang) mendesak speaker Pandikar supaya “undur diri” kerana percanggahan kepentingan dalam isu berkenaan. Beliau disokong oleh M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang juga berkeras mahu Pandikar mengundurkan diri dan mempersoalkan sama ada tindakan speaker itu kerana “kepentingan lain”.
11.08am: Pandikar mempersilakan Khairy Jamaluddin (Umno-Rembau) untuk memulakan perbahasan. Namun suaranya juga tenggelam. Ahli parlimen pembangkang menaikkan sepanduk dengan tertera perkara "kangarroo", "BN Sokong Apco", "Apco", "Selamatkan Dewan, Hidup Ketua Pembangkang."
11.04am: Nazri mohon supaya Anwar digantung dari Dewan Rakyat. Namun suaranya timbul tenggelam akibat kekecohan dengan laungan “Apco-Umno” semakin lantang. Nazri berkata Anwar telah memperdayakan Dewan Rakyat berhubung isu Apco.
11am: Pemimpin parlimen BN, Dartuk Seri Mohd Nazri Aziz membentangkan usul untuk menggantung Anwar di sebalik protes daripada ahli parlimen Pakatan Rakyat yang terus menjerit "Apco, Apco". Ini memaksa Nazri menghampiri pembesar suara dan meninggikan suaranya namun terus ditenggelami oleh jeritan ahli parlimen pembangkang.
10.55am: Bantahan daripada pembangkang berterusan, Pandikar mencadangkan mereka membuat usul jika tidak berpuas hati dengan keputusan dan interprestasinya berhubung Peraturan Dewan. Azmin terus bangkit lagi dan berkata, “Tetapi awak tidak mahu terima usul kami!” Ahli parlimen Pakatan Rakyat yang lain kemudian menjerit “Apco-Umno” berulang-kali dan menaikkan sepanduk untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka.
-M'kini
![]() |
Hassan Basri |