Kerajaan Negeri tarik balik lesen Syabas
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan Kerajaan Negeri akan menarik balik lesen yang diberikan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) berikutan keengganan syarikat tersebut untuk menghentikan Tabung Budi di negeri ini.
Menurutnya, kerajaan tetap dengan pendirian untuk menguruskan air dan menunggu jawapan Syabas serta menunggu masa yang sesuai untuk mengambil tindakan tersebut melalui tindakan mahkamah.
“Kebajikan kepada rakyat dilakukan oleh Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu sidang media, di sini, semalam.
Menurutnya, Syabas tidak mengikut kehendak Kerajaan Negeri dan perjanjian sebelum ini boleh dibatalkan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengurusan sampah di negeri ini, Abdul Khalid memaklumkan sebanyak RM400 juta diperuntukkan untuk kutipan sampah di seluruh negeri ini bagi memastikan masyarakat di negeri Selangor dapat hidup dalam keadaan bersih.
Abdul Khalid berkata, walaupun jumlah besar telah dikeluarkan namun masih banyak aduan yang diterima daripada masyarakat di negeri ini mengenai sampah.
Menurutnya, antara aduan yang diterima ialah banyak kawasan yang tidak dibersihkan, sampah tidak dikutip dan longkang tidak dijaga.
“Walaupun hasil kutipan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini melebihi RM1.2 bilion tetapi kos kutipan yang dibelanjakan untuk mengutip sampah ialah RM400 juta.
“Kita mengambil kira hal ini dan perjanjian dibuat untuk kita lihat perkembangan Alam Flora dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab ini tiap-tiap bulan,” katanya.
Abdul Khalid berkata, pihaknya akan membuat pilihan yang terbaik untuk memilih siapa yang layak untuk mengutip sampah di negeri itu pada masa akan datang supaya ia dapat memberikan manfaat kepada masyarakat Selangor. -SH