Ikuti Blog ini

3,000 KAUM INDIA SERTAI PAS DI PERAK

Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat India Negeri Perak, Encik Susannathan a/l Arokiam hari ini menyertai Dewan Kelab Penyokong PAS (DKPP) negeri yang bakal diikuti 3,000 ahlinya. Susannathan berkata, sebanyak 100 borang telah diserahkan kepada Setiausaha PAS negeri, Ustaz Misbahul Munir Masduki petang tadi di Pejabat Perhubungan PAS Perak .

Menurutnya, persatuan yang dipimpinnya itu mempunyai keahlian seramai 3,000 orang dan akan menyertai DKPP dalam masa terdekat ini.

Susannathan, 50, tinggal di kawasan Buntung sebelum ini adalah Pengerusi PSM Buntung dan bekas Ketua Bahagian PPP Ipoh Barat yang dikatakan mirip kepada Murugiah.

“Saya sudah tidak mahu kepada parti lain yang saya sudah kenal sikap dan hati budi mereka,” tegasnya lagi.

Beliau hadir menyerahkan borang itu bersama tiga rakannya iaitu Ramakrisnan, Balakrishnan dan seorang wanita.

Menurut Misbahul, Susannathan bersama tiga rakannya yang lain telah berkunjung ke Pejabat PAS negeri untuk menyerahkan sendiri borang menyertai DKPP.

“Beliau bersama rakan-rakannya telah hilang kepercayaan kepada Umno/BN sejak sekian lama, hari ini beliau mengisytiharkan untuk bersama PAS bagi memperjuangkan nasib kaum India yang tertindas,” jelasnya.

Untuk rekod, Persatuan Kebajikan Masyarakat India yang diterajuinya ditubuhkan pada 27 April 2007.

Walaupun persatuan itu baru tiga tahun ditubuhkan tetapi setiap hari ada sahaja ahli baru yang menyertainya.

Persatuan itu ditubuhkan atas dasar memperjuangkan nasib kaum India terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Susannathan bersama rakan-rakannya dalam Persatuan Kebajikan Masyarakat India akan menyokong PAS dalam perjuangan menegakkan keadilan.

Beliau dapat merasai bahawa perjuangan PAS walaupun atas dasar agama tetapi tidak mengabaikan kebajikan kaum lain, dan ianya dibuktikan apabila Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menerajui kerajaan PR di negeri ini.

“Nasib kaum India di Perak diberi perhatian yang serius oleh Kerajaan Pakatan Rakyat,” jelasnya.

ditulis oleh: perakkume

Polis Perak Keluar Notis Minta Ngeh Beri Keterangan

Siapakah mereka ini,2 keping gambar diambil dalam bangunan dewan negeri di depan pintu masuk Dewan Negeri Perak pada 31 Mac. Mungkin ianya boleh menjawab tuduhan Dato' ngeh.


IPOH: Polis telah mengeluarkan notis meminta Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham tampil memberi keterangan berhubung siasatan mengenai dakwaannya terdapat pegawai dan anggota polis ditempatkan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa berlangsungnya persidangan DUN, minggu lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, notis kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan itu dikeluarkan hari ini dan beliau diberi tempoh dua hari sehingga Khamis ini untuk hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

Beliau berkata, polis memulakan siasatan pada 1 April lepas setelah menerima dua laporan polis daripada orang awam berhubung dakwaan Ngeh itu.

Polis telah merakamkan keterangan daripada lima individu termasuk pengadu dan wakil media, katanya dan menurutnya siasatan dibuat mengikut Seksyen (1)(a) Akta Hasutan 1948.

"Langkah seterusnya, kita memanggil Yang Berhormat (Ngeh) untuk beri keterangan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog Cegah Jenayah Ketua Polis Perak Bersama Penduduk Kampung di Buntung di sini semalam.

Ngeh mengeluarkan kenyataan itu semasa menyuarakan bantahan dengan kehadiran ramai anggota dan pegawai polis di Bangunan Perak Darul Ridzuan semasa sidang DUN berlangsung pada 30 Mac lepas.
Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM

Karpal diarah keluar Dewan, gantung 10 hari

Karpal Singh (DAP-Gelugor) hari ini digantung daripada Dewan Rakyat selama 10 hari berikutan tindakannya menyalahkan speaker yang didakwanya tidak mengikut keputusan yang dibuat sebelum ini.

Drama bermula apabila Tian Chua (PKR-Batu) bangun untuk meminta penjelasan daripada speaker berhubung notisnya untuk merujuk Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) ke jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau memutuskan untuk menolak notis berkenaan, yang mengundang Tian untuk bangun dan terus meminta penjelasan.

Pandikar kemudiannya mengarahkan Tian supaya duduk, namun Karpal pula menghidupkan mikrofonnya dan berkata speaker telah melanggar keputusan yang pernah dibuatnya sendiri sebelum ini.

Karpal mengulangi kata-katanya itu sebanyak enam kali dan juga menggelarkan speaker dengan sebagai 'diktator'.

Pandikar memintanya mengulangi gelaran itu yang dipatuhi Karpal.

Tindakan itu membawa padah apabila Pandikar mengarahkannya keluar dewan.

"Saya menggunakan kuasa menurut Peraturan 44(2). Bentara, tolong keluarkan Bukit Gelugor," kata speaker ketika mengarahkan bentara menolak kerusi roda Karpal keluar dari Dewan.

Pandikar juga memutuskan Karpal digantung daripada parlimen bagi tempoh 10 hari.

Tindakan itu kemudiannya menerima bantahan daripada wakil-wakil pembangkang.

Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) kemudiannya bangkit dan berkata keputusan speaker itu tidak adil.

Pandikar kemudiannya berkata, beliau akan berlaku adil dan memutuskan untuk membuka undian secara belah bahagi ke atas usul yang dibawa oleh Tian.

Usul itu bagaimanapun ditolak apabila hanya 56 ahli parlimen menyokong usul berkenaan, berbanding 82 yang menentang.-M'kini

MCA Pulau Konvensyen BN Petanda BN Sedang Menuju Kehancuran

Konvensyen BN, wakil MCA bertindak keluar dewan

Usaha Barisan Nasional untuk merampas Selangor dari Pakatan Rakyat dengan agenda konvensyennya di Shah Alam, hari ini menerima tamparan apabila 15 perwakilan MCA Kapar bertindak meninggalkan majlis itu.

Ketua MCA Kapar, Datuk Song Kee Chai yang dihubungi melalui telefon berkata antara punca tidak puas hati mereka ialah kerana MCA dianak-tirikan pada konvensyen berkenaan.

Antaranya, hanya lagu BN dan Umno dinyanyikan sedangkan lagu parti komponen lain tidak diendahkan.

“Konvesyen itu dianjurkan oleh BN, jadi menyanyikan lagu Umno tidak mencerminkan semangat BN dan juga 1Malaysia,” kata Song lagi.

Selain itu, katanya, hanya tetamu dan pemimpin utama dari Umno yang dijemput duduk di pentas utama. Mereka termasuk Datuk Mohd Zin, Datuk Seri Noh Omar, Shafei Abdullah dan seorang lagi.

Tiada tetamu ataupun pemimpin parti komponen lain yang dijemput ke pentas utama.

Menurut Song apa yang menghangatkan lagi suasana ialah ketika ucapannya, Noh Omar yang juga timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor berkata orang Melayu telah banyak berkorban demi rakan-rakan bukan Melayu.

Menurut Noh, rakyat bukan Melayu sepatutnya berterima-kasih kerana diberikan kerakyatan.

Noh Omar juga memetik ucapan daripada presiden keempat MCA, Tun Tan Siew Sin dan presiden kelima MIC, Tun VT Sambathan pada zaman era tahun 1960an yang memuji Umno kerana memberikan kerakyatan kepada bukan Melayu.

Song berkata bahagiannya menganggap ucapan Noh itu satu penghinaan kepada masyarakat Cina dan India di negara ini.

Di sebalik memulaukan sebahagian besar aktiviti konvensyen itu, Song dan ahli-ahlinya akan kembali petang ini untuk menghadiri pelancaran kempen 'BN Mampu Berubah, Sayangi Selangor Yakini BN dan Selangor Take Over Plan (STOP) PRU 13.

Sementara itu, setiausaha agung MIC, S Murugesan juga melahirkan rasa kurang senang kerana tiada pemimpinnya diletakkan di pentas utama.

"Nampaknya mereka seperti tidak menghormati kami,” katanya.

Bagaimanapun katanya, aduan sudah disampaikan oleh pengerusi penganjur, Mohd Zin yang berjanji memperbetulkan keadaan.

"Mereka telah meletakkan kerusi tambahan di pentas dan berjanji kepada saya bahawa lagu Umno tidak akan dinyanyikan pada sessi petang apabila Perdana Menteri, Najib Razak tiba.

"Jadi buat masa ini, saya tiada masalah,” katanya. -GB-

Hulu Selangor : Ceramah atas lori, Polis tutup suis Mikrofon!



Aktiviti Pentas Pemuda-Siapa Pengkhianat Negara berlangsung dengan jayanya semalam walaupun sepanjang aktiviti berlangsung 'pentas' kami sentiasa dibayangi oleh segerombolan Polis yang diketuai oleh Ketua Polis Balai Bukit Sentosa.

Seawal jam 8.00 malam lagi para petugas dari Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Selangor dengan dibantu oleh PAS Zon Bukit Beruntung dan Angkatan Muda Keadilan Cabang Hulu Selangor telah bertungkus-lumus membuat persiapan akhir sambil ditemani oleh beberapa orang SB yang memerhatikan dari jauh.

Kali ini agak kelakar namun penuh klasik apabila pentas yang disediakan adalah berupa sebuah lori 1 tan. Selain 3 buah kerusi, turut dimuatkan diatas lori tersebut adalah sebuah rostrum yang sangat mudah.

Ceramah bermula seawal jam 9.15 malam apabila Sdr Sany Hamzan selaku Pengerusi majlis yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyampaikan ucapan alu-aluan yang penuh sinis dan mendalam. Diikuti ceramah oleh penceramah pertama Al-Fadhil Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Antara isi kandungan ceramah beliau banyak tertumpu kepada kejayaan-kejayaan negeri-negeri dibawah Kerajaan Pakatan Rakyat terutama di Kedah dan Pulau Pinang. Beberapa petikan ayat-ayat Al-Quran serta hadis-hadis juga pastinya turut dirakamkan didalam ceramah beliau.

Ketika inilah pihak Polis diketuai oleh Ketua Polis Balai Bukit Sentosa telah mula cuba mengepung pentas ceramah. Dengan memberikan hanya 20 minit lagi, pihak polis memberikan amaran akan menyerbu pentas sekiranya ianya tidak ditamatkan.

Alhamdulillah, hasil perbincangan antara pihak pemuda PAS dan AMK, pihak Polis bersetuju memberikan sedikit lagi masa bagi kami meneruskan ceramah.

Ceramah yang disampaikan oleh Ketua AMK Pusat, Sdr Shamsul Iskandar seperti biasa sangat mencuit hati dan padat berisi sindiran dan peringatan. Ketika ini suasana agak lebih panas apabila pihak polis semakin ramai disekeliling kawasan ceramah termasuk SB-SB yang berpakaian biasa. Seolah-olah serbuan akan dibuat bla-bila masa. Pihak Unit Amal dan Skuad AMK telah mula memenuhi sekeliling 'pentas' ceramah.

YB Anthony Loke memulakan ceramahnya dengan sedikit gurauan yang penuh bermakna apabila beliau berkata walaupun PR memerintah Selangor dan berceramah di Bukit Beruntung, tetapi dia tak menyangka pada malam ini dia akan berceramah dari atas sebiji lori! Itulah antara bukti betapa PR tidak langsung mahu menyalahgunakan harta benda kerajaan dan pandai membezakan yang mana satu hak parti dan mana satu hak rakyat/kerajaan.

Kehadiran YB Yaakob Sapari pula benar-benar diluar jangkaan dan menambah lagi kehangatan dan lebih pelik apabila beliau turut sama duduk diatas lori iaitu 'pentas' utama.

Didalam ceramah YB Anthony, sempat beliau menyindir UMNO apabila UMNO beria-ria menuduh DAP anti Melayu,anti Islam sedangkan dalam masa yang sama UMNO sendiri terbukti Pro-Israel! Malangnya ceramah beliau hanya sempat berlangsung sekitar 45 minit apabila pihak Polis telah bertindak menutup suis bekalan elektrik daripada gerai makan berhampiran.

Diluar jangkaan penganjur, orang ramai yang hampir 500 orang yang sedari duduk telah bertindak berdiri dan memenuhi ruang berhampiran 'pentas lori' tersebut untuk mendengar lebih jelas apabila tanpa mempedulikan mikrofon yang telah tidak berfungsi, YB Anthony meneruskan ucapan dengan lebih bersemangat!

Ceramah malam tadi diakhiri dengan laungan Takbir dan Reformasi daripada semua pimpinan dan rakyat yang hadir. Pimpinan sempat mengambil gambar kenangan diatas lori tersebut.

Semoga gelombang di Bukit Beruntung ini akan terus tali-menali, rangkai-berangkai ke seluruh pelusuk Hulu Selangor sehinggalah dimalam pengumuman kemenangan Calon PR pada malam 25 April ini nanti, InsyaAllah. Allahuakbar!

Pendedahan Anwar Tentang APCO: Najib dan Khairy Perlu Disiasat

Polis Diraja Malaysia (PDRM) didesak supaya segera menyiasat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan juga Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung pendedahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen bersabit perkaitan Apco Worldwide Sdn Bhd dengan pimpinan Zionis Israel.

"Keterlibatan kedua individu ini secara langsung ataupun tidak memberikan impak yang sangat besar buat negara, dalam konteks keselamatan khususnya.

"Apatahlagi pembuktian konkrit di Parlimen mengenai perkaitan tokoh Zionis di dalam Apco yang dilantik sebagai perunding komunikasi Malaysia langsung tidak dinafikan secara imperikal oleh mana-mana pihak daripada kerajaan Malaysia khususnya Umno,"tegas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Mohd Akin dalam kenyataan medianya.

Menurut beliau, Najib sebagai pemimpin negara seharusnya sedar akan risiko yang diambil dengan membenarkan Apco terlibat untuk menasihati beliau dalam hal ehwal komunikasi dan ‘image building’, pun begitu kelihatan obsesi ke atas slogan 1Malaysia hanya mencetus polemik yang berpanjangan apabila wujud ‘acuan Zionis’ di dalam gagasan yang sedang disiulkan saban waktu oleh beliau.

Beliau berkata, hubungan baik Khairy dengan Omar Mustapha, Pengarah Ethos & Company yang dahulunya merupakan Penasihat kepada Najib sewaktu menjawat Timbalan Perdana Menteri boleh memberi petunjuk mengapa Khairy bermatian mempertahankan Ethos dan Omar yang bertanggungjawab menghubungkan kerajaan Malaysia dan Apco.

"AMK percaya bahawa hubungan baik sama sekali tidak boleh diguna pakai untuk menghalalkan susupan masuk puak Zionis di dalam pentadbiran negara," kata Shamsul.

Beliau yang mewakili AMK mengulangi gesaan Ketua Pembangkang betapa wujud keperluan untuk sebuah Suruhanjaya Diraja dibentuk untuk menyiasat keterlibatan ini, demi menjamin keselamatan negara tidak digolok gadai demi melampiaskan nawaitu politik UMNO semata. -erapakatan

Kerajaan Pusat Mesti Pulangkan Semula Hak Rakyat Terengganu

http://buletinonline.net/images/stories/berita24/DSCN1291.jpgKUALA TERENGGANU - PAS menggesa kerajaan negeri Terengganu mengambil tanggungjawab yang serius, menuntut semula hak pembayaran royalti petroleum dari kerajaan pusat.


Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata tindakan tersebut adalah perjuangan menuntut dan memastikan keadilan bagi semua.

Sehubungan itu, beliau berkata, Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) perlu membahas dan memutuskan satu resolusi mendesak kerajaan pusat memulangkan semula hak rakyat Terengganu.

“Ini suatu perjuangan untuk keadilan bagi semua (rakyat) dan kita (PAS) mempunyai suatu harapan yang besar supaya kerajaan negeri Terengganu mengambil suatu tanggungjawab yang serius,

“agar suatu perbahasan dapat diadakan dan diputuskan satu resolusi untuk mendesak kerajaan pusat supaya memulang balik (royalti) hak rakyat negeri Terengganu,” tegasnya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri Terengganu, Selasa 6 April.


Usul Dr. Syed Azman

Kenyataan beliau adalah berikutan satu usul yang dikemukakan oleh Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkaitan isu terbabit, dalam sesi pagi Persidangan DUN.

Pemberian royalti wujud di negeri Terengganu dan negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak, kata Ustaz Abdul Hadi, adalah hasil dari satu persefahaman yang dilakukan di zaman almarhum Tun Abdul Razak.

Persefahaman tersebut, jelasnya, ditandatangani oleh semua Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri dari Perlis hingga ke Sabah.

“Apabila mereka (kerajaan pusat) bersetuju dengan perbincangan itu untuk menggubal Akta Petroleum dan menubuhkan Syarikat Petronas.

“Apabila negeri-negeri bersedia menyerahkan sekiranya ada hasil petroleum di daratan yang pada asalnya menjadi milik negeri.

“Persetujuan telah dibuat sekiranya ada hasil di darat atau di laut semuanya diserahkan kepada Petronas dan Petronas hendaklah menyerahkan royalti sebanyak lima peratus dari hasil jualan kepada mana-mana negeri yang ada hasil petroleum,” jelasnya.


Rampasan Royalti Satu Keputusan Politik

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang mendakwa bayaran royalti petroleum Terengganu ‘dirampas’ melalui satu keputusan politik pada Perhimpunan Agung Umno tahu 2000.

Bahkan, katanya sewaktu pemerintahan PAS Terengganu royalti masih dibayar pada bulan Mac tahun 2000.

“Di Terengganu, ianya berlangsung (bayaran royalti) sejak itu (perjanjian) hingga tahun 2000 apabila, kami (PAS) mengambil-alih pemerintahan di negeri Terengganu dan pada bulan Mac tahun 2000 masih dibayar royalti ini.

“Tiba-tiba dalam Perhimpunan Agung Umno tahun 2000, mereka (pemimpin Umno) telah memutuskan melalui Mesyuarat Agung Umno itu satu keputusan politik untuk ‘merampas’ royalti ini dari negeri Terengganu,” ujarnya.


Pencabulan Undang-undang

Katanya, ini merupakan suatu pencabulan terhadap perjanjian yang telah dibuat serta pencabulan juga terhadap semangat federalisma.

Apa yang menarik, kata Dato’ Seri Abdul Hadi kenyataan ini disokong oleh bekas Ketua Hakim Negera, Tun Salleh Abas, disokong oleh bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah dan disokong juga oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam.

“Ini suatu perkembangan yang sangat menarik dan usul ini dibawa pada hari ini (Persidangan Dun) bukan di atas sentimen parti tetapi atas nama kewajipan seluruh rakyat negeri Terengganu tanpa mengira fahaman politik, tanpa mengira anutan mereka,” tegasnya.

Hadir sama pada sidang media tersebut Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Adun Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut, Adun Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah, Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, Adun Bukit Tunggal, Dr Alias Razak dan Adun Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.**BO**

Bukti Nyata SPR Alat Kepada UMNO BN

Selepas bertindak sebagai badan pemantau bebas dalam sembilan pilihan raya kecil sejak 2008, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk tidak lagi mengiktiraf Badan Pemantau Pilihan Raya Bebas Malaysia (Mafrel) bagi memantau pilihan raya kecil Hulu Selangor.

SPR memutuskan untuk tidak lagi melantik Mafrel atas alasan ia telah melanggar syarat pelantikan — gagal mengemukakan laporan kerja pemantauan yang dilakukan semasa kesemua sembilan pilihan raya kecil sejak Ogos 2008.

Mafrel merupakan satu-satunya badan pemantau tempatan yang telah diiktiraf SPR untuk memantau perjalanan pilihan raya khususnya sejak enam tahun lalu.

“Kami tidak lagi melantik Mafrel sebagai badan pemantau bebas bagi SPR ketika pilihan raya kecil di Hulu Selangor,” kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Difahamkan Mafrel kemungkinan hilang pengiktirafan SPR selepas ini, tetapi boleh terus bertindak sebagai antara salah satu badan bukan kerajaan pilihan raya.

Penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor diadakan 17 April ini manakala hari pengundian pula dijadual 25 April.

Lazimnya pelantikan SPR membolehkan Mafrel diberi ‘lesen’ untuk memantau perjalanan pilihan raya bermula dari hari penamaan calon sehingga hari pengundian.

Sehubungan jelas Wan Ahmad, apa sahaja kenyataan yang dikeluarkan Mafrel adalah atas kapasitinya sebagai pertubuhan bukan kerajaan dan tiada kaitan dengan SPR.

“Itu kenyataan-kenyataan Mafrel (mengecam pengumuman kerajaan BN di Hulu Selangor), itu tiada kaitan dengan SPR,” katanya.

Menurut Wan Ahmad, keputusan untuk tidak melantik lagi Mafrel tiada kaitan dengan kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar kelmarin, yang mendakwa Mafrel tidak layak memantau pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Noh mendakwa Mafrel bukan satu badan berwibawa kerana mengeluarkan kenyataan sebelah pihak semata-mata.

“Ini kerana kami telah membuat keputusan itu lebih awal lagi,” katanya.

Wan Ahmad berkata, SPR telah berulang kali meminta Mafrel supaya mengemukakan laporan kepada SPR selepas berakhirnya setiap pilihan raya kecil tetapi tidak diambil berat.

“Kita telah memberi peringatan demi peringatan kepada Mafrel supaya menghantar laporan tetapi sejak sembilan pilihan raya kecil, bermula dari Permatang Pauh tiada laporan yang diterima SPR,” katanya.

“Itu syarat pelantikan Mafrel oleh SPR, menghantar laporan pemantauan... sejak pilihan raya kecil Permatang Pauh (pada Ogos 2008) sehingga pilihan raya kecil Bagan Pinang tahun lalu, Mafrel tidak menghantar laporan walaupun diminta berbuat demikian,” tambah Wan Ahmad dengan menyifatkan Mafrel telah “mereka melanggar syarat pelantikan.”

Terdahulu dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider, Pengerusi Mafrel Syed Ibrahim Syed Noh menegaskan tiada mana-mana pihak sama ada SPR ataupun ahli politilk termasuk Noh berhak untuk menghalang daripada membuat pemantauan perjalanan pilihan raya.

Bagaimanapun Syed Ibrahim berkeyakinan kerjasama baik sedia terjalin antara pihaknya dengan SPR akan berterusan untuk melihat perjalanan pilihan raya bebas dan adil bagi semua.

“Apa yang dikatakan oleh Datuk Noh adalah hak beliau dan kami pun ada hak untuk memberikan pandangan,” kata beliau.

Semalam Noh menggesa SPR supaya mengkaji semula peranan Mafrel sebagai pemantau bebas pilihan raya atas alasan ia menjadi alat kepada parti pembangkang kerana didakwa tidak bersikap bebas dalam menyatakan pandangannya dan tidak layak dilihat sebagai sebuah badan yang benar-benar menyalankan peranannya.

Noh berkata Mafrel sepatutnya menegur kedua-dua sekali, bukan hanya BN kerana Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dari Pakatan Rakyat juga mengagihkan geran tanah kepada penduduk tetapi tidak ditegur.

Beliau mempertikaikan kredibiliti Mafrel yang menyelar tindakan kerajaan pusat meluluskan projek perumahan dan sekolah kepada penduduk di Hulu Selangor yang didakwanya menyalahi peraturan pilihan raya.

Jelas Syed Ibrahim, Mafrel telah menjalankan peranannya sejak 2001 termasuk pilihan raya negeri Sarawak pada 2006 dan siri pilihan raya kecil.

“Kami memantau dari luar dan dari dalam lingkungan hari pilihan raya. SPR mengiktiraf kami dan meminta kami memantau pada hari pengundian.

“Jadi kami membuat kerja sepanjang masa dan dari dalam ketika hari pengundian. Apa yang tidak betul kami tegur dan laporkan dan apa yang baik kami kata baik,” katanya.

Oleh itu tegas beliau, Mafrel tidak terikat dengan mana-mana pihak. -MI***GB***

Apa kelasss ! guna nama PAS, setakat RM21 ribu jer ?

Sejak kelmarin, pemecah berita tentang isu ini, buat ramai jadi ketawa. Ketawa yang beragam-ragam. Ada yang ketawa sambil tunjuk lambang 'peace'. Ada juga yang ketawa kerana 'geram' ! Dan ada juga yang ketawa macam Hj. Mohsin di parlimen itu hari, sambil tayang gigi 'tuha'.

Mengapa memilih untuk ketawa ? Jawapnya..kerana Ahli Parlimen Bebas Kulim-Bandar Baharu itu telah memilih untuk semua rakyat mentertawakan dan diketawakan ! Maka jalan yang dipilihnya..itu memang patut kita 'ketawa'kan. Lebih-lebih lagi bila ada rakan blogger menulis dengan bahasa dibawah, "..guna nama PAS untuk sedut duit..? "

Jika benar memang 'memalukan..' ! Apapun kita nanti jua 'jawapan' balas beliau dalam 1-2 hari ini. Taktik gerilyanya yang menjadi modus operandi, serang..serang, kemudian lari..! mungkin tidak akan beliau guna dalam isu ini, dia kena jawap. Isu lain..lantaklah ! Baca seterusnya di sini.


(*) Guna nama PAS berapa sangat boleh kaut, tapi kalau guna nama Umno 'juta-juta' tu mungkin dah tentu boleh dapat...Al-banjari.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .