Ikuti Blog ini

Kedah larang penyanyi wanita…


Seperti di Kelantan yang dikuasai PAS, kini tiada lagi persembahan penyanyi perempuan dibenarkan di Kedah, kata exco kerajaan negeri Dr Ismail Salleh hari ini.

“(Penyanyi) perempuan memang kita tidak terima 100 peratus (untuk kelulusan permit hiburan).

“Tetapi kalau persembahan itu khas untuk orang perempuan sahaja tidak mengapa,” kata Dr Ismail, pengerusi jawatankuasa tetap kesihatan, penerangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembangunan insan Kedah.

Beliau yang juga wakil rakyat Alor Mengkudu berkata, suara perempuan sebahagian daripada aurat.

“Kalau bersyarah lainlah,” katanya kepada Malaysiakini, apabila diminta mengulas larangan sepenuhnya konsert di negeri itu yang kini bawah pentadbiran PAS.

world press freedom day concert central market 030606 fathulMenurut Dr Ismail, perkara itu ditegaskan kembali dalam mesyuarat exco negeri Rabu lepas setelah diputuskan kira-kira dua bulan membentuk kerajaan selepas kemenangan besar Pakatan Rakyat, Mac lalu.

Keputusan itu, tambahnya, antaranya berdasarkan garis panduan hiburan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang disifatkannnya “cukup cantik” dan bersetuju sepenuhnya dengan isi kandungannya.

Sebelum ini, tambahnya, keputusan politik sudah jelas cuma di peringkat pentadbiran “agak berat dan perlahan” untuk dilaksanakan.

Dr Ismail berkata polis dan pegawai di pejabat daerah “tidak sebulu” dengan larangan itu kerana telah 50 tahun bekerja dengan bawah kerajaan BN negeri.

Kedua-dua badan kerajaan ini bertanggungjawab terhadap permit hiburan, katanya.

Dr Ismail turut menjelaskan, pengharaman turut melibatkan persembahan lain yang memberikan kesan negatif golongan remaja bukan sahaja empat jenis muzik yang dilaporkan Jumaat lepas – reggae, pop, rock dan dangdut.

“(Empat jenis muzik) itu hanya contoh,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Dr Ismail lagi, pengharaman tersebut buat masa ini hanya diguna pakai untuk tempat terbuka.

Acara persembahan pentas lain seperti tarian pula digalakkan untuk kanak-kanak sekolah bagi menggantikan penari dewasa kerana belum akil baligh, kata Adun PAS itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) akan menulis surat kepada Menteri Besar Kedah, Azizan Razak berhubung pengharaman itu, esok.

“Kita ingin berbincang dengan kerajaan negeri tentang keputusan itu,” kata pengurusnya Ahmad Abdullah.

Karyawan juga menggesa kerajaan Kedah memperhalusi lagi larangan tersebut.

Ia juga mencadangkan sebarang keputusan berhubung isu-isu seni dan hiburan mestilah melibatkan kumpulan seniman.

Bajet 2009 : Ubatnya Lagi Teruk Dari Penyakit








Tazkirah warnai Ramadan di Kelantan


KOTA BHARU, 3 Sept - Pemimpin kerajaan Kelantan, pegawai dan kakitangannya di Kota Darulnaim memulakan 1 Ramadan lalu dengan tazkirah seawal jam 8 pagi yang disampaikan Menteri Besar.

Kemudian pada 12 tengahari tazkirah diadakan pula di Masjid Kota Darulnaim yang juga disampaikan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagaimanapun pada sebelah petang Menteri Besar mendengar takzirah disampaikan Mudir Pondok Sungai Durian, Dr Abdul Basit Abdul Rahman.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Aiseri, anggota-anggota Exco dan pegawai kerajaan negeri.

Dr Abdul Basit berkata, Ramadan merupakan bulan yang penuh berkat.

"Ramadan diambil dari makna musim panas. Nabi Muhammad saw memanggilnya sebagai bulan Ramadan. Kita digalak menganjurkan majlis berbuka puasa terutamanya untuk fakir miskin dan mereka yang kurang berkemampuan," ujar beliau.

Pada majlis tersebut 30 anak yatim dari Asrama Bakti Batu 25, Machang diraikan pihak penganjur iaitu Jabatan Integriti Negeri Kelantan.

Pakatan Rakyat pulihkan SAR di Perak



 Kerajaan Pakatan Rakyat akan mengembalikan semula bantuan per kapita berjumlah RM1.3juta kepada 18 buah sekolah Agama Rakyat di Negeri Perak bagi tahun 2008 ini.Bantuan tersebut akan diagih-agihkan dalam bulan Ramadhan , sedikit masa lagi.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Ust Misbahul Munir Masduki sebagai mengulas satu laporan Bernama yang telah menyebut tentang desakan Pergerakan Pemuda Umno, Zainol Fadzi supaya Menteri Besar Perak Dato Seri Mohammad Nizar Jamaluddin turut memberikan lot tanah kepada Sekolah Agama Rakyat milik persendiran dan Sekolah Agama Pondok dalam usaha memaju dan memartabatkan agama Islam di Perak.

Bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) telah dinafikan oleh kerajaan BN/Umno yang memerintah Perak dulu sejak pentadbiran Mahathir lagi;tetapi kini dibawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat, bantuan tersebut telah diberikan semula.

Terdapat 9 buah Sekolah Menengah Agama Rakyat dan 9 buah lagi Sekolan Agama Rendah yang menjadikan jumlah keseluruhannya 18 buah.

Ikuti ulasan dan penjelasan beliau selanjutnya dilaman blognya yang baru di lancarkan hari ini.

Nik Aziz yakin kerajaan baru bakal ganti BN


KOTA BHARU, 3 Sept - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menerajui negara sejak lebih 50 tahun akan diganti kerajaan baru.

Menurutnya, perubahan itu bukan kerana faktor 16 September semata-mata, sebaliknya dasar dan pemikiran pemimpin BN yang ada hari ini perlu diubah.

"Itu yang saya yakin, kami berjuang dah berpuluh tahun nak ubah dasar negara dan pemikiran rakyat khususnya supaya menerima pentadbiran berasaskan Islam.

"Isu 16 September hanyalah masalah teknikal sahaja, jadi saya serahkan kepada mereka yang terbabit," katanya yang enggan mengulas lanjut ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim, hari ini.

Isu 16 September ternyata menjadi hambatan besar kepada pemimpin-pemimpin Umno dan BN sehingga mereka mengangggap sebagai gimik politik Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Malah mengikut laporan terbaru 43 anggota parlimen BN sudah menyatakan komitmen akan meninggalkan parti itu bagi menyertai Pakatan Rakyat dalam misi menubuh kerajaan baru di Putrajaya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, bagi mengelakkan masyarakat sentiasa memperbesarkan isu perkauman beliau berhasrat menunaikan solat di masjid pelbagai budaya di Rantau Panjang sempena Ramadan ini yang diimamkan Cina Muslim.

"Dalam bulan ini saya bercadang menunaikan solat di Masjid Pelbagai Budaya yang mana imamnya orang Cina Muslim. Saya mahu menjadi makmum di belakangnya," ujarnya.

Beliau berkata, perkara itu dilakukan bertujuan meredakan semangat perkauman yang tidak berkesudahan dalam masyarakat sehingga sekarang.

Sedangkan katanya umat Islam mempunyai gurunya iaitu Nabi Muhammad saw, namun mereka lebih berbangga dengan fahaman yang dibawa bangsa lain.

Kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz Islam sejak awal lagi Islam tidak memberi ruang kepada isu perkauman kerana Islam mahu merapatkan hubungan sesama bangsa.

"Saya sentiasa sebut, kalau Allah yang buat rupa paras manusia termasuk Cina atau Melayu sama sahaja sudah tentu tidak akan mengenali antara satu sama lain," ujarnya.

Beliau berkata, sebenarnya masalah perkauman berpunca akibat penjajahan Eropah yang berlaku sejak beratus tahun lalu.

Sementara itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mencadangkan pihak berwajib mengenakan tindakan yang berat terhadap peniaga mercun bagi mengelak berulangnya kecederaan yang menimpa kanak-kanak.

Katanya, masalah itu berpanjangan sejak sekian lama dan tidak pernah selesai kerana tiada tindakan tegas kerajaan bagi menanganinya.

Beliau diminta mengulas kejadian yang berlaku terhadap seorang kanak-kanak dari Rantau Panjang yang cedera akibat bermain mercun malam tadi.

Kanak-kanak berkenaan difahamkan merupakan mangsa mercun pertama di Kelantan.

Abdulllah digesa letak jawatan, contohi PM Jepun


Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) tertarik dengan tindakan Perdana Menteri Jepun, Yasuo Fukuda yang meletakkan jawatan kelmarin setelah gagal mewujudkan kestabilan politik kepada rakyat negara itu.

Fukuda menyifatkan tidakannya itu adalah demi kepentingan rakyat Jepun setelah gagal melaksanakan beberapa dasar negara kerana Dewan Rendahnya dikuasai pembangkang.

DPP Pusat melihat tindakan Fukuda ini bukan sahaja matang, bahkan lebih demokratik setelah menyedari kerajaan pimpinannya gagal mendapat kepercayaan dewan perundangan.

Telah menjadi kebiasaan bagi para pemimpin di negeri-negeri maju di mana mereka akan bertanggungjawab terhadap sebarang masalah yang timbul dalam pentadbiran negara yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat.

Di Jepun sendiri, perletakan jawatan seorang perdana menteri bukanlah suatu perkara yang aneh.

Begitu juga di Barat, pemimpin politik akan segera melepaskan jawatan jilka mereka dikaitkan dengan apa-apa skandal yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat.

Inilah sikap matang dan terbuka yang diamalkan oleh pemimpin politik yang ingin melihat kemajuan negara dan kepentingan rakyat lebih diutamakan daripada mengisi tembolok sendiri.

Di Malaysia, budaya ini tidak berlaku, bahkan para pemimpin BN terus berdegil untuk kekal berkuasa walaupun telah ditolak oleh rakyat.

Sudah banyak skandal yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara yang didedahkan tidak diambil tanggungjawab oleh pemimpin BN.

Yang paling jelas ialah mesej yang disampaikan oleh rakyat dalam Pilihan raya Umum ke-12 baru-baru ini.

Lima buah negeri telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dan BN turut hilang majoriti dua pertiga.

Desakan untuk Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur bukan sahaja datang dari rakyat dan parti pembangkang sahaja, bahkan dari dalam Umno dan BN sendiri.

SAPP, sebuah komponen BN dari Sabah secara terang-terangan menyatakan tidak percaya kepada Abdullah Badawi, manakala bekas Perdana Menteri telah keluar Umno untuk mendesak Perdana Menteri berundur.

Malangnya, pemikiran feudal dunia ketiga yang mengokong Abdullah Badawi menyebabkan beliau terus bertahan.

Sebab utama ialah supaya keluarga dan kroninya mendapat peluang mengaut kekayaan negara, manakala rasuah terus berleluasa. Rakyat terus ditindas dengan pelbagai dasar yang membebankan.

Kini, Permatang Pauh pula menghantar mesej yang lebih jelas kepada Abdullah Badawi bahawa kepemimpinannya sudah tidak relevan dan beliau mesti berhenti segera.

Jika beliau tidak mahu mencontohi pendekatan perdana menteri Jepun, rakyat negara ini akan terus menderita oleh dasar-dasar yang mengutamakan kroni dan keluarga.

DPP Pusat mendesak Abdullah Badawi supaya mencontohi keterbukaan pemimpin Jepun itu.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Juara Akademi Nasyid pohon bimbingan ulama untuk kerjaya seninya


KUALA LUMPUR, 3 Sept - "Kemenangan saya ini bukan hanya milik saya seorang tetapi kemenangan untuk semua pejuang Islam. Insya-Allah misi dan visi saya ialah kerana Allah di samping akan terus mendapat bimbingan para ulama dalam meneruskan kerjaya seni saya,"itu antara kata-kata awal juara Akademi Nasyid, Azhan Atan.

Azhan, 35, yang ditemui selepas program Simfoni Merdeka 08 anjuran Masjid As-Syakirin, KLCC, menyatakan selepas kemenangan dalam program realiti itu beliau meletakkan konsep kebajikan dalam setiap persembahannya.

"Saya meletakkan konsep ' beramal kerana Allah itu syiar kami' dalam setiap persembahan saya akan datang,"katanya penuh optimis.

Memandangkan buat masa ini beliau belum terikat dengan mana-mana syarikat rakaman, beliau bebas mengadakan persembahan di mana-mana selagi persembahan tersebut tidak melanggar etika dan kesopanan.

Sepanjang menyertai program itu Azhan sama sekalitidak pernah bermimpi trofi dan ganjaran bernilai RM100,000 itu akan menjadi miliknya.

Kelunakan suaranya bukan sahaja memikat juri dan penonton yang sanggup mengundi melalui sistem pesanan ringkas(SMS), malah turut menarik perhatian komposer untuk menyumbangkan lagu untuknya.

Image "Sebanyak 19 lagu baru telah diberikan kepada saya sebelum saya masuk ke peringkat akhir Akademi Nasyid. Bagaimanapun saya belum sempat menilai lagu tersebut satu persatu. Saya berterima kasih kepada komposer-komposer tersebut kerana sudi menyumbangkan lagu-lagu mereka untuk saya nyanyikan,"katanya yang turut mendapat tempat di hati komposer terkenal seperti Ramli Sarip, Usop Kopratasa, Yassin dan Farihin Abdul Fatah.

Jelas anak jati Johor ini, beliau juga bernasib baik dan beruntung apabila komposer seperti Ramli Sarip sanggup memberi nasihat dan bimbingan kepadanya sepanjang beliau di Akademi Nasyid.

Tambah Azhan, bakatnya dalam nyanyian telah dibina 15 tahun lalu apabila beliau sering membuat persembahan dalam setiap program yang disertainya. Namun kemenangannya sebagai juara Akademi Nasyid menyerlahkan lagi bakat yang ada pada dirinya

"Kebanyakan yang mengundi saya adalah rakan-rakan yang telah mengenali saya sejak dahulu lagi dalam setiap program-program yang saya sertai seperti Jambori Amal. Saya amat berterima kasih kepada mereka yang sentiasa menyokong saya selami ini

"Kejayaan saya hari ini juga berkat dorongan isteri dan anak-anak ," jelas bapa kepada empat anak ini.

Bercerita mengenai perjalanan seninya, jelas Azhan, buat masa ini beliau menjalani kontrak dengan TV9 selama setahun dan akan mengikuti segala persembahan yang diatur stesen TV tersebut.

Bagaimanapun katanya, ini beliau tetap akan menumpukan kepada program rutinnya setiap tahun untuk menyemarakkan Ramadan.

43 MP Barisan Nasional sertai Pakatan Rakyat?


KUALA TERENGGANU, 3 Sept - Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi diramalkan semakin goyah menjelang 16 September 2008 ini.

Ahli-ahli Parlimen BN yang 'didakwa' akan menyertai kerajaan baru Pakatan Rakyat bukan lagi omong-omong kosong dan bakal menjadi kenyataan.

Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Terengganu, Fariz Musa yakin Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) dapat merealisasikan peralihan kerajaan sebagaimana yang ditetapkan.

Ini kerana, katanya dengan penyertaan semula Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim itu ke dalam Parlimen setelah 10 tahun dinafikan lebih menyakinkan Pakatan Rakyat.

Image "Kita (KeADILan) yakin akan dapat realisasikan rancangan peralihan kerajaan kepada Pakatan Rakyat dengan kemasukkan semula Dato' Seri Anwar ke dalam Parlimen sekarang.

"Kita juga lebih yakin dengan senario itu kerana daripada sumber-sumber tidak rasmi kini sudah ada seramai 43 Ahli Parlimen yang akan menyertai Pakatan Rakyat termasuk di kalangan MP Terengganu," jelasnya ketika dihubungi (Gambar - Fariz Musa)

Menurutnya, desas-desus tanggal 16 September tersebut bukan lagi cakap-cakap kosong yang tidak berasas tetapi akan menjadi realiti.

Mengulas kejayaan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang berjaya memenangi pilihan raya kecil di Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti besar adalah kerana kehendak rakyat yang mahukan perubahan.

Katanya, kejayaan Anwar ke Parlimen dianggap sebagai satu isyarat bahawa perubahan bakal berlaku dan PKR akan terus berkembang dalam negara ini.

Usaha PAS tingkat bidang pendidikan dihalang pihak berkuasa


Hulu Terengganu - Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Harun Taib berkata PAS tidak pernah ketinggalan dalam menyediakan bidang pendidikan yang bermula seawal pra-sekolah, sekolah rendah, menengah hingga ke peringkat Universiti.


Beliau menyarankan agar umat Islam berusaha mencari ilmu pengetahuan di mana sahaja kerana menjadi keperluan yang amat penting dan mustahak masa kini.

Menurutnya Ilmu pengetahuan yang mendalam ibarat ‘senjata’ di zaman ini bagi menguasai dunia yang global agar tidak ketinggalan.


Beliau berkata pendidikan PAS berkembang maju sejak penubuhan pengajian pra-sekolah PASTI dan disambung dengan Sekolah-sekolah Rendah Islam seperti Darul At-Taqwa Batu Enam dan Kemaman, Darul Salam di Losong Kuala Terengganu, Darul Ehsan di Kubang Lembek Manir.


“Kita (PAS) terus maju dalam bidang pendidikan dengan menubuhkan Sekolah Darul Quran di peringkat menengah dan Kolej Universiti Darul Quran Islamiah (KUDQI),” jelasnya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Graduan KUDQI Kali Ke-6, di Dewan Utama Kubang Lembek, Manir, 31 Ogos lalu.


Beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri ketika di bawah pemerintahan kerajaan PAS Terengganu mendakwa kejayaan PAS memasarkan anak-anak ke luar negara.


“Kita (PAS) bukan sahaja mampu menyediakan pendidikan kepada anak-anak di peringkat pra-sekolah, sekolah rendah dan menengah. Tetapi berjaya memasarkan anak-anak kita (PAS) ke luar negara untuk menyambung pengajian masing-masing,” ujarnya.


Menurutnya, anak-anak didik yang lulus di pusat-pusat pengajian yang disediakan berjaya melanjutkan pengajian di Mesir, Arab Saudi, Syria, Jordan, Yaman dan sebagainya.


Bahkan, katanya kejayaan yang lebih baik dan cemerlang pernah dicapai oleh para pelajar yang dihantar melalui pendidikan yang disediakan oleh PAS di luar negara.


Namun begitu, Ustaz Harun melahirkan rasa kesal dan dukacita dengan tindakan pihak berkuasa di negara ini melalui kedutaan tertentu cuba menyekat serta menutup usaha yang dilakukan oleh PAS itu.


Menurutnya, PAS mendapat maklumat jelas terdapat usaha di peringkat kedutaan tertentu yang mahukan beberapa buah Universiti terkenal seperti Al-Azhar di Mesir agar tidak mengiktiraf sistem pengajian Sekolah Agama Rakyat di negara ini.


Majlis Konvokesyen KUDQI tersebut disempurnakan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan hadir sama Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali dan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .