14 Rabiulakhir 1432H. Muhammad Nuruddin BashahSusah  sangatkah kaum melayu untuk menerima PAS? Sebenarnya bukan hanya PAS  yang ditolak kerana jika menolak PAS bermakna terlalu ramai kaum melayu  boleh dianggap menolak perjuangan Islam yang di bawa PAS. Sebenarnya  sindrom yang berakar umbi dalam sosio kehidupan melayu ialah sindrom  penolakan terhadap pembangkang selain BN malah mungkin menganggap  malaysia adalah negara uni-parti seperti sesetengah negara arab  diktator. Mereka menganggap pembangkang sebagai musuh dan bukannya  pengimbangtara dalam sebuah sistem demokrasi berparlimen yang sihat.  Rata-rata kaum melayu masih belum tergamak memilih pembangkang malah  menganggap pembangkang adalah parti-parti yang dicipta oleh penjajah  untuk mencabar UMNO iaitu penyelamat mereka.
Jika ditinjau  daripada kekalahan dua pilihanraya kawasan majoriti Melayu, jelas kaum  melayu masih sukar menyambut sebarang pembangkang ke kawasan tertentu  mereka. Merlimau yang terletak di Melaka, merupakan sebuah kubu kuat  UMNO, seperti juga kawasan kawasan lain di Melaka. Di sini BN telah  mampu memperolehi 5,962 undi iaitu 71.8% daripada keseluruhan undi,  berbanding dengan 63.8% yang diperolehi dalam PRU tahun 2008, iaitu  peningkatan sejumlah 8%. Peningkatan melebihi 8% undi Melayu dan India.  Bagi DUN Kerdau Bilangan 5,060 undi yang diperolehi merupakan 68.4%  keseluruhan undi, berbanding dengan 62.1% yang dicapai dalam PRU 2008.  Ini adalah satu peningkatan 6.3% dalam tempoh tersebut. Keputusan ini  menunjukkan undi Melayu dan India telah meningkat keparas yang amat  tinggi untuk BN di Kerdau.
Menurut Pengarah Merdeka Center,  Ibrahim Sufian, kejayaan Umno-BN di Merlimau dan Kerdau, dengan majoriti  lebih besar menunjukkan pengundi Melayu masih memihak BN. PAS da  Pakatan Rakyat masih gagal mengubah melayu yang masih memiliki perasaan  terima kasih kepada kerajaan yang masih sangat tebal.
Jika alasan  ia hanya pilihanraya kecil maka biarkan sahaja mengundi UMNO ia jelas  bukan alasan yang kritis atau bijak. Malah faktor material yang mampu  meragut sokongan untuk menyokong UMNO dan BN mampu memberi imej buruk  kepada bangsa melayu yang dianggap rendah tahap artikulasi dan pegangan  politik mereka. Sampai bilakan faktor materialistik, kebendaan, janji  projek dan projek mi segera terus menacing kaum Melayu? Miskin sangatkah  melayu sehingga terlalu tagihkan talian hayat UMNO? Pilihanraya kecil  atau pilihanraya umum, kaum melayu perlu tegar dengan itikad dan  pegangan. Jika pernah menolak BN dalam pilihanraya umum atas banyak isu  yang telah dimaklumi kenapa pula pilihanraya kecil sanggup menyokong  UMNO atas alasan projek dan bantuan BN?
Kini 5 kawasan  pilihanraya kecil yang terakhir, iaitu Bagan Pinang, Galas, Tenang,  Merlimau dan Kerdau menunjukkan ada peningkatan sokongan undi Melayu  kepada BN sebanyak 11% dan peningkatan undi India melebihi 33%  berbanding Pilihanraya tahun 2008.
Sebelum ini PRU 12 menunjukkan bahawa PAS masih gagal mendapat undi kaum melayu sebanyak 40%.
Menurut  Kajian Ilham Centre, berbanding sokongan terhadap PR pada tahun 2004 ke  tahun 2008, sokongan kaum Cina terhadap PR meningkat daripada 27.6%  kepada 91.7%. Kaum India adalah terendah iaitu hanya meningkat daripada  37.8% kepada 48%. Manakala kaum melayu masih kalah kepada kaum Cina  hanya berganjak daripada 43.6% kepada 61.9% sahaja.
Ilham Center  juga menyatakan bahawa kaum Cina semakin berani menyatakan kehendak  etnik kepada bentuk protes undi pilihanraya, malah meninggalkan politik  pemusatan kaum etnik) kepada pemusatan isu dan keperluan mereka.
Dr  Abu hassan Hasbullah menyatakan Melayu masih keliru antara fakta,  kenyataan dan stigma lapuk bahawa hanya UMNO majukan negara dan mampu  selamatkan melayu sehingga menangkan BN dalam PRK Merlimau dan Kerdau.  Dalam masa yang sama Dr Hassan masih meninggalkan ‘assignment’ kepada  petugas PAS untuk terus membina imej yang lebih progresif, pragmatik,  segar, dinamik serta terbilang di klangan masyarakat jika ingin terus  memburu undi kaum melayu sendiri.
Dalam masa yang sama ahli PAS  tidak wajar mengabaikan saranan Almarhum ustaz fadzil Nor yang menggesa  pas memperkasakan cawangan parti yang dianggap sebagai wakil atau duta  sebenar PAS. Di Perak, masih ada beberapa UPU-UPU yang tidak didokongi  oleh organisasi cawangan yang kuat. Masyarakat memerlukan petugas PAS  yang manusiawi, politikawan, karismatik dalam penyelesaian masalah,  diterima oleh masyarakat, menepati masa dan janji, menghargai jemputan  sesiapa sahaja, tidak bersifat seperti hakim atau hanya pandai  menghukum, malah masyarakat memerluka petugas PAS yang cakap serupa  bikin.
Masyarakat Melayu perlu disedarkan bahawa kehadiran PAS  dicelahan sosiologi melayu bukanlah baru malah telah wujud awal sebelum  kehadiran UMNO atas nama HIzbul Muslimin. PAS cukup arif kehendak dan  keperluan Melayu dan PAS bukanlah makhluk asing yang perlu dipinggir  masyarakat seolah-olah negara ini politiknya uni parti.
Dalam  kertas kerja yang dibentang dalam Konvensyen Pengupayaan bangsa 19 Feb  2011, (m/k 20) PAS menyatakan 3 persoalan besar yang menjadi obligasi  besar PAS sama ada semasa bersendirian atau bersama Pakatan Rakyat iaitu  kedudukan politik kaum melayu, kedudukan islam dan kedudukan ekonomi  melayu. PAS akan terus mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu dan  kepentingan bangsa Melayu dan Bumiputera seperti yang telah termaktub  dalam Perlembagaan Malaysia.
PAS akan tetap konsisten untuk  menghayati Islam sebagai satu cara hidup sesuai dengan kerangka  perlembagaan Malaysia sebagai teras terpenting usaha mengupayakan Melayu  serta akan sentiasa memastikan seluruh kegiatan pembangunan bangsa  Melayu berkiblatkan akhirat demi mencapai keredhaan Allah dan bukannya  perhambaan kepada projek dan wang. PAS tetap mengutamakan perjuangan  untuk membela nasib rakyat terpinggir dan berpendapat rendah yang  sebahagian besarnya adalah kaum Melayu dan Bumiputera selagi mana  berlandaskan kepada keadlan Islam tanpa mengira fahaman da latar  belakang.
Pakatan Rakyat bersama PAS juga menegaskan untuk  mempertahankan beberapa peruntukan perlembagaan yang melindungi kaum  melayu dan bumiputera serta kedudukan Islam dan bahasa Melayu di  Malaysia.
Pembentangan Presiden TERAS ( dalam Konvensyen  Pengupayaan Bangsa) juga menyatakan budaya kebergantungan kaum Melayu  terhadap agensi kerajaan dan kepada kerajaan menyebabkan pengupayaan  kaum melayu masih meleset. Malah ia juga mengundang khurafat bahawa  hanya UMNO tempat bergantung kaum melayu dan hanya UMNO boleh  menyelamatkan melayu. Gejala intervensi politik yang melampau kepada  kaum melayu, fungsi agensi perlaksana yang korup juga menyebabkan melayu  terus bergantung kepada kerajaan yang sedia ada serta tidak mahu  berubah sekaligus melupakan beberapa agenda lebih besar (isu lebih besar  seperti rasuah dan masa depan Negara)
Kaum melayu perlu memugar  minda untuk berubah jika ingin maju dan ke hadapan. Jika dirujuk Buku  Taklimat Isu Penerangan (Siri Kedua) yang diadakan pada 12 Mac 2011 di  Shah Alam, kaum melayu menjadi lemah dan hilang jatibangsa disebabkan  oleh beberapa perkara pokok iaitu;
· Tidak lagi menghayati nilai syariah Islam sebagai cara hidup.
· Agensi kerajaan untu melayu dimanipulasi untuk menindas melayu dan menjahilkan melayu seperti Felda Plantation.
· Melayu rela mengamalkan UMNOputera bukannya konsep Bumiputera tanpa mengira aliran politik.
· Melayu mudah salahkan DAP dengan melupakan kesilapan dan sikap MCA dan Gerakan terhadap kaum Melayu.
· Kaum melayu masih enak hidup bernaungkan sistem rasuah baik dari akar umbi hingga ke kabinet.
Sempena  Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal ke-4 Parlimen ke-12 2011, Yang  Dipertuan Agong telah bertitah agar rakyat negara ini tidak bermain  dengan api perkauman. Mesej ini adalah isyarat agar UMNO tidak semberono  memborong isu ketuanan melayu semata-mata rakus mengaut undi melayu  sehingga melayu sendiri jahil makna sebenar ketuanan melayu. Jika anda  membaca novel Animal Farm tulisan George Orwell (1945) anda akan membaca  watak seekor babi yang memerintah sekumpulan haiwan dalam ladang untuk  berjuang atas dasar ‘kehaiwanan’ sehingga mengguling kuasa peladang  sekeluarga (manusia). Akhirnya si babi menjadi diktator dan menindas  haiwan lain atas alasan kaum mereka yang bermatian memerdekakan haiwan  lain di ladang itu maka selayaknyalah babi menajdi raja dan menjaga  ketuanan haiwan tersebut. Adakah novel ini memiliki isyarat yang sama  dengan kempen-kempen UMNO?
Melayu selalu mudah menerima pujukan  UMNO untuk menolak parti selain UMNO atas banyak alasan yang diadakan  seolah-olah parti lain adalah musuh negara. Jelasnya Melayu lupa bahawa  kaum ‘melayu’ yang dianggap penjaga ketamadunan dan adi kuasa ketuanan  melayu itu yang banyak mengaut keuntungan di atas kedunguan mereka  sendiri. Prof Hassan Ahmad dalam majalah Dewan Masyarakat Oktober 2010  adalah menyatakan “
Orang Melayu tidak boleh menyalahkan kaum  lain. Yang salah adalah orang melayu itu sendiri. Diberikan kuasa, kuasa  itu tidak digunakan dengan sebaik-baiknya, seadil-adilnya menurut  PRINSIP ISLAM. Diberikan kemudahan dan projek, kemudaha itu digadai atau  dijual kepada orang lain untuk kepentingan peribadi, tidak digunakan  untuk kepentingan bangsa dan negara”
Malah beliau juga menyatakan  bahawa sumber tamadun melayu yang paling asasi dan utama iaitulah ISLAM  dan BAHASA MELAYU kini kian terhakis akibat salah laku pemimpin melayu  sendiri. Bahasa Melayu dipinggirkan, tulisan jawi dihakis hingga pupus  malah Islam juga tidak menjadi intipati persidangan pemimpin melayu yang  memerintah.
Di kampung-kampung Melayu rata-rata menganggap  bahawa Pakatan Rakyat adalah parti yang menghakis kuasa politik mereka.  Malah khabarnya Pakatan Rakyat kurang meletak calon Melayu dalam  pilihanraya seluruh negara. Ini suatu pembohongan yang diterima oleh  kaum melayu. Perhatikan, dalam PRU 2008 pembangkang menguasai 38.3%  kerusi di Dewan Rakyat. Wakil rakyat Melayu didalam pembangkang melonjak  kepada 51.8%. Wakil rakyat Bukan Melayu didalam Pembangkang pula ialah  48.2% sahaja. Dalam PRU 2008 juga wakil rakyat BN Melayu adalah 62.8%.  Wakil Rakyat BN Bukan Melayu pula 37.2%.
Baik Pakatan Rakyat  mahupun BN, pemilihan wakil ke Parlimen adalah berdasarkan komposisi  kaum. Tiada isu bahawa Pakatan Rakyat mengenepi kaum Melayu.
Kaum  Melayu perlu berani berubah jika ingin melihat senario politik dibaiki  dari pelbagai aspek seperti Indeks rasuah dan korupsi negara, Indeks  pembangunan insan malaysia yang merosot, Kadar jenayah meningkat saban  tahun, perbelanjaan boros pemimpin negara ke luar negara da  projek-projek boros, Bahasa Melayu yang kian pupus penggunaannya (papan  iklan, mahkamah, filem, bahasa pemimpin), Mahkamah yang masih dikuasi  oleh ahli politik, serta kadar kemiskinan melayu yang masih tertinggi.
Kaum  melayu sering tertipu dengan dakyah UMNO bahawa PAS wajib ditolak  kerana dasar pragmatik PAS menyebabkan PAS tergamak ‘berkawan’ dengan  DAP. Perlu ditanya kepada golongan UMNO yang berkempen sedemikian adakah  mereka memilih PAS sebelum PAS berkawan dengan DAP? Semestinya tidak  kerana kempen sekadar mencari alasan agar melayu terus menidakkan  pembangkang dan anti demokrasi malti parti.
Melayu sering dan  kerap lupa bahawa MCA juga parti perkauman Cina yang telah lama berkawan  rapat sekapal dengan UMNO. Bayangkan menurut Amaluddin darus dalam  bukunya Serbasalah Melayu di Malaysia bahawa MCA Selangor pernah  mengeluar resolusi bahawa kaum melayu adalah pendatang di tanah Melayu  kerana kecewa dengan isu DEB yang menyebabkan kerusi mereka banyak  hilang ke tangan DAP pada tahun 1986 dahulu. Ini bukan hujah perkauman  tetapi Melayu layak dan wajar untuk merenung sejenak apa di tepi kain  mereka sendiri. Mereka ingin mendokong negara demokrasi berparlimen  tetapi masih tegar pertahankan stigma fikir anti pembangkang dan politik  malti parti.
Jika dasar tahaluf siasi atas nama Pakatan rakyat  yang disertai oleh PAS dianggap suatu dasar pragmatik yang mencarik  perjuangan asal PAS, bagaimana pula suatu ketika dahulu Melayu menilai  dasar UMNO untuk melebarkan sayap ke Sabah yang sebelumnya ingin  dibiarkan sahaja kepada USNO? Kemudian dasar UMNO menerima bumiputera  bukan Islam sebagai ahli seperti kaum Siam dan sebagainya akibat semakin  terdesak dengan kejayaan PBS di sana. Maka terpampanglah di dada akhbar  Berita Harian 16 Feb 1987 UMNO ke Sabah : Ahli Beragama Islam masih  majoriti, disebabkan takut Melayu Islam menolak UMNO kerana dasar  pragmatiknya. Adakah UMNO cerita kisah-kisah ini kepada melayu hari ini?
Dasar  perkauman tidak akan ke mana malah parti-parti perkauman di Timur  Tengah telah bungkus. Fahaman sosialis ala arab seperti Baath’ juga kini  kian terhakis daripada persada pemilihan rakyat mereka sendiri.  Nasionalisme terlampau yang dipupuk British kini mulai ditinggalkan oleh  umat Arab yang kian sedar bangsa mereka terpecah kepada banyak negara  kecil yang tidak bersepadu disebabkan bahana assobiyyah dan nasionalisme  melampau.
*Muhammad Nuruddin Bashah merupakan Ketua Penerangan DPPK Gopeng