Ikuti Blog ini

Malaysia Perlu Teroka Tenaga Alternatif Berbanding Nuklear

SHAH ALAM 19 MAC : Pakatan Rakyat yakin pembangunan intensif tenaga boleh diperbaharui menggunakan tenaga biomass atau biojisim, solar dan hidro berbanding membangunkan loji nuclear yang berisiko tinggi berikutan krisis nuklear yang berlaku di Jepun.

Sehubungan itu, kerajaan disarankan untuk menyuntik lebih banyak dana bagi mengeksplorasi tenaga alternatif oleh pakar tempatan sekali gus mengelak kebergantungan kepada penggunaan tenaga yang tidak boleh diperbaharui.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat yang juga bekas pensyarah Sains Nuklear di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat perlu mengorak langkah dengan mendahului kerajaan persekutuan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui ini demi masa depan rakyat dan lestari alam.

Katanya, jika sisa-sisa buangan ini dijana dengan betul satu penghasilan tenaga baru akan meningkat.

"Kita menghasilkan sisa yang cukup besar dengan hanya 90 ton setiap hari ia boleh menghasilkan kuasa 9.1 megawatt dan ini tidak termasuk sisa daripada kelapa sawit kalau ianya digunakan dengan betul,"

"Kementerian tenaga tidak yakin kita boleh hasilkan sendiri sebab itu meraka hanya bergantung kepada fosil dan diesel yang terlalu kecil," jelas Che Rosli.

Kerajaan Malaysia kini dalam perancangan untuk membangunkan sektor nuklear di negara ini bagi menjana lebih banyak kuasa elektrik agar dapat menampung permintaan yang lebih tinggi.

Menurut Che Rosli, jumlah suntikan insentif yang kecil oleh kerajaan untuk pembangunan tenaga alternatif menyebabkan usaha tersebut kurang popular.

"Insentif daripada kerajaan tidak ada dan kekurang insentif ini mengakibatkan tiada usaha untuk memajukan tenga alternatif dilakukan kerana kita tidak perlukan tenaga nuklear kerana kita ada biomass dan solar.

"Saya cadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya beli kelengkapan tersebut dan kita buktikan bahawa Selangor mampu menghasilkan tenaga melalui solar," tambah beliau.

Tambah Che Rosli, kerajaan boleh mempertimbangkan penggunaan tenaga nuklear jika negara benar-benar memerlukannya dan apabila tiada tenaga alternatif lain.

Sebelum ini, cadangan pembinaan dua buah loji nuklear di Malaysia mendapat reaksi negatif masyarakat berikutan kejadian letupan reaktor nuklear di Fukushima Daiichi selepas dilanda gempa bumi dan tsunami baru-baru ini.

Berikutan letupan loji nuklear terbabit ia memberi kesan radiasi yang tidak terkawal sehingga mengakibatkan arahan berpindah dikeluarkan kerajaan negara matahari terbit ini yang meliputi 30 Kilometer radius.

Manakala Agensi Nuklear Malaysia kini sedang memantau perkembangan penularan radiasi ini dari masa ke semasa bagi memastikan tiada kesan radioaktif sampai ke Malaysia.

- TVSelangor News

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .