TG Nik Abdul Aziz Nik
 Mat melancarkan Tabung Akaun Amanah Lebuh Raya Rakyat KBKK di Kompleks 
Media Karangkraf, Shah Alam malam ini. - Foto oleh Zulfadhli Ahmad Zaki
 
SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Kelantan akan meneruskan projek pembinaan 
Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) menggunakan kutipan derma
 dan sumbangan, yang boleh disalurkan menerusi tabung amanah lebuh raya 
dilancarkan hari ini.
 
Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, pelancaran 
tabung ini akan membantu Kerajaan Negeri Kelantan meneruskan rancangan 
pembinaan kemudahan itu walaupun tanpa bantuan Kerajaan Pusat.
Menurutnya, kos keseluruhan lebuh raya itu dianggarkan RM350 juta, 
mampu dijayakan melalui modal alternatif daripada sumber mineral negeri 
itu.
"Kita lancarkan program tabung derma wakaf untuk projek lebuh raya KBKK
 mampu menanggung kos pembiayaan yang menelan kos RM350 juta dan kita 
boleh kurangkan kos dengan strategi yang akan diaturkan.
 
"Kita ada mineral, kita boleh guna sumber itu untuk kepentingan dan 
kesenangan rakyat serta setakat ini kita dah pungut modal sebanyak RM3 
juta melalui (pertubuhan bukan kerajaan) NGO seluruh negara serta RM1 
juta sumbangan melalui online," kata beliau pada Majlis 
Pelancaran Tabung Akaun Amanah Lebuh Raya Rakyat KBKK di Kompleks 
Kumpulan Media Karangkraf di sini, malam ini.
Sebelum ini, beberapa NGO mendakwa Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik 
Abdul Aziz Nik Mat meminta derma rakyat bagi menampung kos pembinaan 
projek Lebuh Raya Rakyat satu sandiwara politik terhebat abad ke-21.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, 
pembinaan lebuh raya itu hanyalah propaganda dan retorik Pas menjelang 
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Sehubungan itu, Husam yang juga Naib Presiden Pas berkata, Lebuh Rraya 
Rakyat akan memberi kemudahan kepada rakyat terutama waktu cuti umum 
serta menunjukkan rakyat Kelantan sudah mampu mencipta sejarah tanpa 
bantuan Kerajaan Pusat.
"Kita mampu bina tanpa bantuan Kerajaan Pusat, negeri kita bukan miskin, kita ada mineral seperti bijih timah dan minyak.
"Kita akan bina lebuh raya tersebut ikut kemampuan negeri jika 
sepanjang 40 kilometer dahulu, kita buat, nanti akan sambung sehingga 73
 kilometer," katanya.
Selain itu, beliau berkata, negeri itu mempunyai pakar sendiri dalam 
bidang pembinaan dan mampu digerakkan tanpa bantuan orang luar.
Dalam pada itu, Nik Aziz yang melancarkan tabung amanah lebih raya 
berkata, ia bertujuan mengumpul dana bagi merealisasikan pembinaan 
laluan sejauh 73km bagi kemudahan rakyat Kelantan.
Nik Aziz dalam ucapannya menggesa orang ramai menderma bagi memastikan Lebuh Raya Rakyat menjadi kenyataan.
Menurutnya, pahala orang yang menderma pada bulan Ramadan adalah 70 kali ganda berbanding pada bulan biasa.
"Orang Kelantan sering memberi derma bagi surau, sekolah dan kebajikan 
yang lain, mereka derma kerana pahala kerana kerajaan tidak beri 
peruntukkan.
"Pemimpin kerajaan tidak tahu tentang kesesakan 4 hingga 5 jam jalan 
raya di Kelantan, kerana mereka tidak memandu, sebaliknya guna kapal 
terbang," katanya.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Nik Aziz sebelum itu menghadiri majlis berbuka puasa dan solat Tarawih bersama anak-anak Kelantan.
Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Timbalan Pengerusi kumpulan, Nasir Hamzah.