WAWANCARA Bekas
pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari
berkata, beliau membuat keputusan menyertai PAS pada 20 Mei lalu selepas
tiga pemimpin tertinggi parti itu tampil mengajak sendiri.
Katanya,
ketiga-tiga pemimpin itu presidennya Datuk Seri Abdul Awang,
timbalannya Mohamad Sabu serta naib presiden Datuk Husam Musa,
Sambil
ketawa kecil, Fauzi mendedahkan beliau pernah menolak "pujukan" Abdul
Hadi atas alasan faktor usia dan keluarga sebelum serius memikirkan
"harapan" PAS itu ketika bertemu Husam, exco kanan kerajaan Kelantan.
"(Husam
kata) kemasukan datuk (Fauzi) dalam PAS, setelah mereka bincang
sama-sama mereka, akan memberi kelebihan. Jadi saya pun (fikir), kalau
nampak macam serius, Tok Guru Abdul Hadi dah jumpa, Mat Sabu mula-mula
sekali.
"Beliau (Husam) sendiri nampak harapan macam itu sekali.
Kalau begitu, saya masih ada nilai atau ada sedikit yang boleh
membantu. Kalau begitu, saya akan masuk secara rasmi. Saya akan mengisi
borang," katanya.
Fauzi berkata, antara sebab pelawaan itu dibuat
kerana kedudukannya dalam polis memberi kelebihan kepada PAS bagi
menarik sokongan atas pagar.
Bertukar 23 kali dalam 32 tahunBeliau berkata, beliau pernah mengenali Abdul Hadi dan Mohamad, sewaktu berkhidmat di Kelantan sekitar awal 90-an.
Katanya, mereka pernah terlibat sama dalam majlis dialog bersama ketua polis negara ketika itu, tetapi "tidak rapat".
Hubungannya
dengan Mohamad pula terjalin apabila pemimpin PAS itu pernah
membangkitkan di parlimen itu "pertukarannya" daripada Dang Wangi.
Mohamad,
ketika itu anggota parlimen Nilam Puri, mempersoalkan di Dewan Rakyat,
apakah pertukaran itu dibuat selepas Fauzi aktif membanteras jenayah,
maksiat dan pelacuran sekitar Kuala Lumpur.
"Sejak daripada itu
(kami) berkenalan. (Saya) jalin sejak dalam kerajaan dahulu," katanya
yang tidak menafikan turut menerima pelawaan menyertai Umno.
Fauzi
bagaimanapun menjelaskan, beliau sebenarnya dihantar ke Jepun untuk
berkursus dan menganggap ia "perkara biasa" dalam pasukan polis.
Sebanyak 23 kali beliau ditukarkan sepanjang 32 tahun perkhidmatan beliau, tambah Fauzi.
Ketika diwawancara
Malaysiakini,
Fauzi berkata PAS mempercepatkan kemasukannya dengan mengadakan majlis
khas besar-besaran di kawasan Hulu Sepetang berdekatan tempat
kelahirannya Batu Kurau di Taiping.
Ditunggu macam pengantin
Menceritakan detik kemasukannya itu, Fauzi berkata, beliau yang tiba
agak lewat kerana menghadiri kenduri sebelumnya, merasakan pengalaman
disambut seperti pengantin.
"OK, (bila) sudah sampai, ia bagi satu
kepuasan kepada mereka (penyokong PAS). Semacam tunggu pengantin
akhirnya, sampai juga," katanya.
Ditanya sama ada menerima
tekanan selepas menyertai PAS, Fauzi - yang berkhidmat selama 32 tahun
dalam polis - mengakui perkara itu.
"Pendek kata, ada
bantahan-bantahan (pada hasrat saya). Tapi majoriti menyokong. Bantahan
ini hingga menyebabkan sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pihak
lain.
"Kadang ia tidak menyerang kepada saya, tidak berhubung
dengan saya, tapi Datin Fauziah (isterinya). Dia rasa tertekan,"
katanya.
Bagi menenangkan keadaan, Fauzi juga berkata beliau pada
awalnya mengelak diwawancara, mengelah berceramah selama sebulan,
bahkan bercuti ke Singapura untuk menenangkan keadaan.
Beliau
bagaimanapun menganggap tekanan itu "tidak ada apa-apa" jika
dibandingkan dengan ugutan bunuh yang diterimanya sewaktu bertugas
sebagai OCPD di Dang Wangi tidak lama dahulu kerana tegas membanteras
jenayah dan maksiat.
"Tapi saya simpan. Saya,
tak sampai buat laporan (polis)," tegasnya yang pernah menjadi OCPD Dang
Wangi selama setahun sembilan bulan bermula pada 1989.
'Jeneral' daripada sekolahBercerita
tentang peribadinya, Fauzi berkata memilih kerjaya sebagai polis kerana
minta terhadap pakaian seragam daripada bangku sekolah hingga ke
Universiti Malaysa (UM).
Malah, beliau sering memakai baju seragam pasukan keselamatan sejak bersekolah lagi.
"Kawan-kawan
memang panggil saya 'jeneral' zaman sekolah lagi, bukan zaman
universiti sahaja. Sebab apa-apa hal, saya nak jadi jeneral," katanya
sambil menambah beliau datang daripada keluarga petani dan penoreh
getah.
Fauzi mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan
Pasir Besar pada 1957-1962, sebelum melanjut pelajaran di peringkat
menengah di Sekolah King Edward VII di Taping pada 1963-1970.
Beliau melangkah ke UM pada 1971 hingga 1974 dan memperoleh ijazah
sarjana muda dalam bidang sejarah sebelum bekerja sementara sebagai
penoreh getah dan mengajar di tiga buah sekolah sewaktu menunggu
keputusan menyertai polis.
Merasakan permohonannya tidak
diterima, beliau mengambil keputusan untuk bekerja tetap sebagai
wartawan di Angkasapuri pada 1975 sebelum dipanggil ditemuduga sewaktu
masih berkhidmat sebagai pengamal media.
Beliau bernasib baik
kerana bahagian pentadbiran menimbang permohonan beliau untuk 'menukar'
kerja atas dasar "kerajaan kepada kerajaan" sehingga beliau bersara pada
25 September 2006 selepas hampir 32 tahun berkhidmat.
Fauzi diwawancara oleh Kuek Ser Kuang Keng, Abdul Rahim Sabri dan Koh Jun Lin.