Ikuti Blog ini

3 pemimpin tertinggi ajak Fauzi masuk PAS


WAWANCARA Bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari berkata, beliau membuat keputusan menyertai PAS pada 20 Mei lalu selepas tiga pemimpin tertinggi parti itu tampil mengajak sendiri.

Katanya, ketiga-tiga pemimpin itu presidennya Datuk Seri Abdul Awang, timbalannya Mohamad Sabu serta naib presiden Datuk Husam Musa,

Sambil ketawa kecil, Fauzi mendedahkan beliau pernah menolak "pujukan" Abdul Hadi atas alasan faktor usia dan keluarga sebelum serius memikirkan "harapan" PAS itu ketika bertemu Husam, exco kanan kerajaan Kelantan.

"(Husam kata) kemasukan datuk (Fauzi) dalam PAS, setelah mereka bincang sama-sama mereka, akan memberi kelebihan. Jadi saya pun (fikir), kalau nampak macam serius, Tok Guru Abdul Hadi dah jumpa, Mat Sabu mula-mula sekali.

"Beliau (Husam) sendiri nampak harapan macam itu sekali. Kalau begitu, saya masih ada nilai atau ada sedikit yang boleh membantu. Kalau begitu, saya akan masuk secara rasmi. Saya akan mengisi borang," katanya.

Fauzi berkata, antara sebab pelawaan itu dibuat kerana kedudukannya dalam polis memberi kelebihan kepada PAS bagi menarik sokongan atas pagar.

Bertukar 23 kali dalam 32 tahun
Beliau berkata, beliau pernah mengenali Abdul Hadi dan Mohamad, sewaktu berkhidmat di Kelantan sekitar awal 90-an.

Katanya, mereka pernah terlibat sama dalam majlis dialog bersama ketua polis negara ketika itu, tetapi "tidak rapat".

Hubungannya dengan Mohamad pula terjalin apabila pemimpin PAS itu pernah membangkitkan di parlimen itu "pertukarannya" daripada Dang Wangi.

Mohamad, ketika itu anggota parlimen Nilam Puri, mempersoalkan di Dewan Rakyat, apakah pertukaran itu dibuat selepas Fauzi aktif membanteras jenayah, maksiat dan pelacuran sekitar Kuala Lumpur.

"Sejak daripada itu (kami) berkenalan. (Saya) jalin sejak dalam kerajaan dahulu," katanya yang tidak menafikan turut menerima pelawaan menyertai Umno.

Fauzi bagaimanapun menjelaskan, beliau sebenarnya dihantar ke Jepun untuk berkursus dan menganggap ia "perkara biasa" dalam pasukan polis.

Sebanyak 23 kali beliau ditukarkan sepanjang 32 tahun perkhidmatan beliau, tambah Fauzi.

Ketika diwawancara Malaysiakini, Fauzi berkata PAS mempercepatkan kemasukannya dengan mengadakan majlis khas besar-besaran di kawasan Hulu Sepetang berdekatan tempat kelahirannya Batu Kurau di Taiping.

Ditunggu macam pengantin

Menceritakan detik kemasukannya itu, Fauzi berkata, beliau yang tiba agak lewat kerana menghadiri kenduri sebelumnya, merasakan pengalaman disambut seperti pengantin.
"OK, (bila) sudah sampai, ia bagi satu kepuasan kepada mereka (penyokong PAS). Semacam tunggu pengantin akhirnya, sampai juga," katanya.

Ditanya sama ada menerima tekanan selepas menyertai PAS, Fauzi - yang berkhidmat selama 32 tahun dalam polis - mengakui perkara itu.

"Pendek kata, ada bantahan-bantahan (pada hasrat saya). Tapi majoriti menyokong. Bantahan ini hingga menyebabkan sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pihak lain.

"Kadang ia tidak menyerang kepada saya, tidak berhubung dengan saya, tapi Datin Fauziah (isterinya). Dia rasa tertekan," katanya.

Bagi menenangkan keadaan, Fauzi juga berkata beliau pada awalnya mengelak diwawancara, mengelah berceramah selama sebulan, bahkan bercuti ke Singapura untuk menenangkan keadaan.

Beliau bagaimanapun menganggap tekanan itu "tidak ada apa-apa" jika dibandingkan dengan ugutan bunuh yang diterimanya sewaktu bertugas sebagai OCPD di Dang Wangi tidak lama dahulu kerana tegas membanteras jenayah dan maksiat.

"Tapi saya simpan. Saya, tak sampai buat laporan (polis)," tegasnya yang pernah menjadi OCPD Dang Wangi selama setahun sembilan bulan bermula pada 1989.

'Jeneral' daripada sekolah
Bercerita tentang peribadinya, Fauzi berkata memilih kerjaya sebagai polis kerana minta terhadap pakaian seragam daripada bangku sekolah hingga ke Universiti Malaysa (UM).

Malah, beliau sering memakai baju seragam pasukan keselamatan sejak bersekolah lagi.

"Kawan-kawan memang panggil saya 'jeneral' zaman sekolah lagi, bukan zaman universiti sahaja. Sebab apa-apa hal, saya nak jadi jeneral," katanya sambil menambah beliau datang daripada keluarga petani dan penoreh getah.

Fauzi mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pasir Besar pada 1957-1962, sebelum melanjut pelajaran di peringkat menengah di Sekolah King Edward VII di Taping pada 1963-1970.

Beliau melangkah ke UM pada 1971 hingga 1974 dan memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang sejarah sebelum bekerja sementara sebagai penoreh getah dan mengajar di tiga buah sekolah sewaktu menunggu keputusan menyertai polis.

Merasakan permohonannya tidak diterima, beliau mengambil keputusan untuk bekerja tetap sebagai wartawan di Angkasapuri pada 1975 sebelum dipanggil ditemuduga sewaktu masih berkhidmat sebagai pengamal media.

Beliau bernasib baik kerana bahagian pentadbiran menimbang permohonan beliau untuk 'menukar' kerja atas dasar "kerajaan kepada kerajaan" sehingga beliau bersara pada 25 September 2006 selepas hampir 32 tahun berkhidmat.


Fauzi diwawancara oleh Kuek Ser Kuang Keng, Abdul Rahim Sabri dan Koh Jun Lin.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .