Ikuti Blog ini

Skandal RM30j Anak Nong Chik, BN Pasti Lingkup Lawan Izzah



.BN pasti akan ‘bungkus’ di Parlimen Lembah Pantai apabila Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin yang terpalit skandal rasuah anaknya diletakkan sebagai calon BN, melawan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.

Ini berikutan pemberian projek kepada anak Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai itu bernilai RM30.8 juta yang tentunya memberi kesan buruk kepada pengundi.

Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Lembah Pantai, Siddik Ibrahim berkata, Nong Chik yang masih belum memberi penjelasan berhubung skandal itu hanya akan melingkupkan BN kawasan.

“Peluang untuk KEADILAN menang tetap cerah. Ini kerana isu Nong Chik sampai sekarang belum selesai. Rakyat sekarang celik, mereka tahu apa yang berlaku di sekeliling.

“Sepatutnya sebelum bertanding, Nong Chik perlu bersihkan nama. Sama-sama kita tunggu BN lingkup kali kedua di Lembah Pantai,” katanya kepada Keadilan Daily.

Pada Ogos 2010, sebuah syarikat dengan nama Istijuara Sdn Bhd diberikan kontrak kerajaan berjumlah RM30,800,000 oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Syarikat itu dilaporkan dimiliki Nong Chik dan ia bukan satu-satunya projek yang dianugerahkan kerajaan kepada syarikat beliau.

Anak perempuan Nong Chik, Raja Farhana turut disenaraikan sebagai salah seorang daripada dua pengarah syarikat.

Syarikat itu yang ditubuhkan hampir 20 tahun lalu semasa Raja Farhana masih di darjah satu, mempunyai kerugian dibawa ke hadapan berjumlah kira-kira suku juta dan liabiliti semasa kira-kira RM400,000 terhadap aset semasa.

“Apabila dicalonkan, mana ada masa lagi nak bersihkan nama, Nong Chik hanya akan terus berkempen, dan semua itu akan jadi sia-sia kerana rakyat bukan bodoh untuk menilai,” kata Siddik.

Selain skandal itu, Nong Chik juga dilaporkan antara tersenarai mempunyai aset luar negara yang banyak melalui pemilikan syarikat luar pesisir seperti didedahkan Gabungan Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ).

ICIJ yang berpangkalan di Washington mendedahkan 1,500 rakyat Malaysia memiliki syarikat luar pesisir secara rahsia.

Nong Chik disenarai melalui syarikat keluarganya, RZA International Corporation.

Pemilikan rahsia itu berkemungkinan bertujuan menyembunyikan aktiviti kabur, mengelak cukai atau menyembunyikan urusan jual beli luar negara.

41 peratus calon PAS Perak muka baru


(Calon-calon PAS di Perak....seragam puteh lambang kesepakatan)

IPOH: Daripada 22 kerusi Dewan Undangan Negeri dan tujuh kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh PAS Perak, 41 peratus calonnya adalah muka baru dan 59 peratus muka lama.

Antara muka baru yang bertanding di kerusi DUN antaranya Mohd Akmal Kamaruddin, Ketua Penerangan PAS Larut bertanding di DUN Selama, Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Zawawi Abu Hassan yang bertanding di Kerusi Gunung Semanggol, Dr Khairuddin Datok Abdul Malik (DUN Pengkalan Bharu).

Ishak saari (DUN Kampung Gajah), Rohawati Abidin (DUN Pasir Panjang), Aminuddin Zulkipli (DUN Slim) dan Pengarah Jentera Pilihanraya PAS Perak, Haji Asmuni Awi di DUN Manjoi dan Jamil Dzulkarnain (Manong).

Manakala calon baru bagi kerusi Parlimen, Datuk Fauzi Shaari (Larut), Norhayati Kasim (Gerik), Razman Zakaria (Lenggong) dan Ustaz Idris Ahmad (Bukit Gantang)

Muka lama yang dikekalkan termasuk Pesuruhjaya PAS Perak , Ustaz Abu Bakar Hussin (DUN Titi Serong), pada pilihanraya umum ke beliau beliau bertanding di kerusi DUN Pengkalan Bharu, Mohd Misbahul Masduki (DUN Rungkup) Mohd Nazri Din (Kubu Gajah) Ustaz Nor Azli Musa (Trong)

Anuar Sudin (Changkat Jong), Mohd Zainuddin Mohd Yusof (DUN Lubuk Merbau), Husin Din (Selinsing) Datok Seri Mohamad Nizar Jamaluidin yang kini bertukar ke DUN Changkat Jering, Khalil Idham Lim yang dahulunya di DUN Titi Serong, kini bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Datuk Dr Mujahid Rawa yang kekal bertanding di Parlimen Parit Buntar.

Calon lain yang bertanding, Mohammad Azalan Mohammad (DUN Chenderoh), Ahmasd Mazlan Othman (Lintang), Najihatossolehah Ahmad (Belanja), Radzi Zainon (Sungai Rapat), Ahmad Razi Othman (Air Kuning) dan Ustaz Muhammad Isme Mat Tain (Parlimen Parit) .

Ustaz Abu Bakar mengumumkan barisan calon PAS Perak yang bertanding pada pilihanraya umum kali ini semasa mengumumkannya pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Rakyat Perak malam tadi di perkarangan Pejabat Parti Keadilan Rakyat Perak di Medan Istana.

Pengerusi PKR Perak Dr Muhammad Nor Manuty dan Pengerusi DAP Perak, Datok Nge Ko Ham turut mengumumkan senarai calon dari parti masing masing.

Dalam pilihanraya umum kali ini PAS bertanding di 22 kerusi DUN dan tujuh Parlimen, DAP 18 kerusi DUN dan tujuh Parlimen, manakala PKR 19 DUN dan sembilan kerusi Parlimen.

gambar: Majlis Pengumuman calon PR Perak malam tadi. -Hrkh

BN Tiru PR Lagi: Nak Beri Air Percuma Di Selangor



Manifesto Air Percuma : BN Selangor Telan Ego Sendiri

BN Selangor disifatkan terpaksa menelan ego dan keangkuhan sendiri apabila berhasrat meneruskan pemberian air percuma kepada rakyat di negeri ini jika berjaya menawan Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Calon PAS Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tawaran manifesto BN ini jelas bercanggah dengan pendirian parti itu yang sebelum ini lantang mengkritik pemberian air percuma boleh memufliskan negeri.

Tegasnya, tawaran itu juga menunjukkan bahawa BN sekali lagi cuba menciplak apa jua manifesto Pakatan Rakyat (PR) baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri Selangor khususnya.

“Kalau dakwaan mereka bahawa negara akan muflis kerana manifesto PR, maka apakah dengan mereka meniru manifesto kami di peringkat Persekutuan dan Negeri itu akan turut membankrapkan negara dan negeri? “Sedangkan semasa di awal pemerintahan PR dahulu, mereka membuat pelbagai kecaman dan kritikan antaranya termasuklah pemberian air percuma yang hanya merugikan Kerajaan Negeri.

Kalau begitu kecamannya, mengapa BN masih meniru program dan polisi PR Selangor,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Terdahulu, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam satu kenyataan pada 3 Jun 2011 menegaskan untuk tidak mengusulkan kepada Kerajaan Pusat berhubung pemberian 1000 liter air percuma kepada rakyat kerana mendakwa tidak mendatangkan faedah.

Bagaimanapun, BN Selangor menerusi manifesto PRU-13 bercadang meneruskan program pemberian air pecuma kepada rakyat di negeri ini jika berjaya merampas Selangor daripada PR.

Tambahnya, jika Kerajaan BN benar-benar ingin membantu rakyat, maka seharusnya tawaran air percuma itu diperluaskan ke setiap pelusuk negara ini.

Bagaimanapun menurutnya, beliau tidak yakin usaha itu dapat dilakukan berikutan amalan monopoli dan kronisme masih diamalkan pentadbiran Umno-BN.

“Mereka boleh janji untuk memberikan air percuma, tetapi pengurusan air itu akan tetap diberikan kepada syarikat konsesi iaitu kroni mereka sendiri.

“Sepatutnya mereka boleh berikan air percuma kepada rakyat sejak dulu lagi, tetapi mereka tidak mahu kerana ia tidak mendatangkan untung kepada kroni,” tegasnya.

Kalau Sijil Pun Boleh Tipu, Yang Lain Apatah Lagi...



Kalau dahulu, Barisan Nasional (BN) boleh meletakkan siapa saja menjadi calon dan ‘pasti menang’, kini tidak lagi apabila mereka terpaksa berhadapan dengan calon Pakatan Rakyat (PR) yang berpengalaman dan berpendidikan tinggi.

Justeru, tidak hairanlah apabila DAP mendedahkan bahawa terdapat beberapa bakal calon BN yang memiliki ijazah palsu atau ‘bermasalah’.

Pakar Strategik DAP, Dr Ong Kian Ming mendedahkan calon BN yang dikenalpasti memiliki ijazah palsu dan bermasalah ini antaranya ialah Timbalan Menteri Luar Negeri A Kohilan Pillay, Pengerusi Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA), Teh Kim Pooh, Ching Eu Boon dan Lee Ban Seng daripada MCA dan Ketua Hal Ehwal Agama UMNO Ab Wahab Ibrahim.

“Lima daripada calon BN itu berkelulusan dari akademi yang boleh disifatkan sebagai kilang ijazah, atau dalam erti kata lain daripada universiti dan kolej yang ‘menjual’ ijazah palsu,” kata Kian Ming dalam satu kenyataan.

Menimbulkan tanda tanya, beliau berkata, jika calon BN ini sanggup menipu mengenai kelulusan akademik mereka, bagaimana pula dengan perkara lain yang lebih besar dan mungkin membabitkan kepentingan awam seperti wang rakyat dan sebagainya.

“Perkara ini menyebabkan integriti mereka diragui. Jika mereka gagal menjelaskan pada pengundi, saya menyeru mereka menarik diri daripada bertanding,” kata Kian Ming.

Berikut adalah bukti yang didedahkan Dr Ong mengenai pendedahan beliau;

* Timbalan Menteri Luar Negeri, A Kohilan Pillay (calon Parlimen Puchong): Mendapat Ijazah Sarjana Sains Perdagangan dan Ekonomi Industri dari Pacific Western University, Amerika Syarikat (AS), sebuah universiti yang pernah disaman dan ditutup selepas didapati bersalah menjual ijazah

* Teh Kim Pooh (calon Parlimen Klang): Mendapat Ijazah Doktor Falsafah dari New Port University – sebuah universiti yang diragui

* Ketua Hal Ehwal Agama UMNO, Ab Wahab Ibrahim (calon DUN Taman Medan): Mendapat PhD dalam bidang Pentadbiran Awam dari Universiti Antarabangsa Irish yang dilaporkan palsu pada 2008 oleh British Broadcasting Corporation

* Pimpinan MCA, Ching Eu Boon dan Lee Ban Seng (Calon DUN Pandamaran dan Kajang mendapat ijazah daripada St George University International dan Universiti Rutherford di AS, yang disebut sebagai ‘kilang ijazah’.

Justeru itu, pendedahan Dr Ong itu sekaligus meragukan terhadap integriti dan kejujuran semua calon BN yang dikatakan berkelayakan. Kita tunggu dan lihat apa alasan BN.-Roketkini

GEMPAR: Artis Wardina Safiyyah buat apa kat sini...? [Saksikan...]

(Wanita Malaysia bergabung membantah parti politik yang mengedarkan video lucah dalam kempen mereka)

Tolak mereka yang guna video lucah - NGO wanita

KUALA LUMPUR: 14 NGO wanita serta tiga personaliti bergabung tenaga hari ini bagi membantah penyebaran video lucah di media.

Bagi mereka, langkah itu satu tindakan yang tidak kena dan melanggar tatasusila hidup masyarakat negara ini.

Sehubungan itu, mereka mengajak seluruh rakyat khasnya wanita menolak mereka yang menggunakan pendekatan sebegitu dalam kempen mereka.

(Dr Harlina membantah keras pendekatan politik lucah untuk meraih undi...beliau mengajak semua wanita tunjukkan bantahan di kertas undi. Itupun selemah-lemah iman, katanya)
Mereka menyatakan demikian pada sidang media ‘Bantahan Terhadap Penyebaran Video Lucah Menjelang PRU13’ di sebuah hotel di Sungai Besi, pagi ini.

Kumpulan wanita ini diketuai oleh Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, Penyelaras Bantahan Bersama NGO Wanita merangkap Naib Ketua Wanita IKRAM & Pengerusi JK Pembangunan Sosial Ikram.

(Wardina Sofiah antara yang sangat marah dengan budaya ini)
Antara NGO wanita yang menyertai bantahan ini adalah:

A. Pertubuhan
1) Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)

2) Helwa Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

3) Biro HALUANITA, Pertubuhan Himpunan Lepasan 
4) Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)

5) Integrated Muslimah Associations and Networks Alliance (IMAANA)

6) Pertubuhan Nisa’ Malaysia (NISA’)

7) Pertubuhan Mawaddah Malaysia (MAWADDAH)

8) Association of Women’s Initiative for 9) Research, Development & Advancement (WIRDA)

10) Muslimah Interest Zone and Networking (MIZAN)

11) Wadah Kecerdasan Umat Malaysia (WADAH)

12) Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (GEMA)

13) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

14) IKRAM Siswa

B. Individu perseorangan

1) Prof Dr. Muhaya Muhammad ( Pakar Motivasi & Personaliti TV)

2) Pn Wardina Safiyyah Fadhullah ( Pengacara dan Personaliti TV)

3) Ustazah Fatimah Syarha Hj Mohd Noordin ( Penulis Novel Dakwah & Penceramah)
~ Hrkh

PAS percayai, Umno pinggirkan wanita di T'ganu, Kelantan


MARANG: Ketika Wanita Umno bersedih ekoran mereka disisihkan oleh pimpinan mereka, buat pertama kalinya sejak lebih 40 tahun, PAS meletakkan calon wanita dalam pilihan raya umum ini di Terengganu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika mengumumkan barisan calon PAS di perkarangan Masjid Rusila, Marang malam ini memperkenalkan calon wanita untuk PAS di DUN Kuala Besut.

Calon PAS itu, Nafisah Ismail akan bertanding merebut kerusi DUN Kuala Besut menentang penyandang kerusi berkenaan, Dr. A. Rahman Mokhtar.

Di negeri jirannya, PAS Kelantan pula semalam mengumumkan empat calon wanita dalam pilihan raya umum kali ini.

Mereka adalah Siti Zailah Yusof (Ketua Dewan Muslimat PAS) di Parlimen Rantau Panjang, Mumtaz Mat Nawi (DUN Demit),  Wan Ubaidah Omar (Kijang) dan Rohani Ibrahim (Tanjong Mas).

Dalam pada itu, BN tidak meletakkan sebarang calon wanita samada di Terengganu atau Kelantan dalam pilihan raya umum kali ini. -Hrkh

DAP Sedia Tanding Tiket PAS Di Semenanjung, PKR Di Sabah & Sarawak



DAP hari ini mendakwa, Pendaftar Pertubuhan (ROS) bertujuan menyusahkan parti itu apabila memutuskan barisan kepimpinannya tidak sah 48 jam sebelum hari penamaan calon.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam sidang medianya berkata, surat yang diberikan kepada beliau dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Anthony Loke pada tarikh yang sama juga berbeza.

Dalam surat kepada Guan Eng, ROS menyatakan wujud pertikaian berhubung pemegang jawatan dalam parti itu namun surat kepada Anthony menyatakan siasatan dakwaan itu ditangguhkan ke tarikh 9 Mei.

Guan Eng mempertikai tindakan ROS yang mengeluarkan surat tersebut sebelum siasatan selesai dilakukan.

Guan Eng berkata demikian dalam sidang mediannya hari ini selepas menerima surat dari ROS petang semalam.

Turut serta dalam sidang media ini adalah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail.

"Tujuan utama mereka tak iktiraf pimpinan DAP kerana nak nafikan hak kami untuk bertanding menggunakan lambang sendiri," kata Guan Eng.

Sehubungan itu, DAP akan bermesyuarat malam ini untuk menimbangkan keputusan menggunakan lambang PAS di Semenanjung Malaysia dan lambang PKR di Sabah dan Sarawak.

PAS PKR SEDIA BENAR

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang turut berada dalam sidang media sama menyatakan kesediaan untuk membenarkan DAP menggunakan lambang PAS.

"Perkara ini telah dibincangkan beberapa minggu sebelum ini dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang tak ada masalah dengan perkara ini, " katanya.

Nada yang sama turut disuarakan Setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution yang menyifatkan tindakan ROS itu sebagai cara untuk meletakkan DAP dalam kesukaran.

"48 jam sebelum penamaan calon, sepatutnya kami tidak berada dalam sidang media ini. Kami harus membuat persiapan terakhir untuk penamaan calon tapi kerana tindakan ROS, kami terpaksa buat mesyuarat tergempar.

"Atas semangat kekitaan, PKR bersedia memberi laluan kepada DAP di Sabah dan Sarawak untuk guna lambang PKR," katanya.



ROS tak iktiraf pucuk pimpinan DAP


Hanya dua hari menjelang penamaan calon, Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah menghantar surat kepada DAP memaklumkan bahawa ROS tidak mengiktiraf jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP.

DAP mengadakan mesyuarat tergempar pada jam 3 petang ini untuk berdepan dengan kesan keputusan ROS itu, dan dijangka memanggil sidang akhbar selepas itu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu ketika ditanya dalam satu sidang untuk mengumumkan senarai calon DAP Selangor di ibupejabat parti itu di Kuala Lumpur.

Pemimpin DAP, ketika dihubungi Malaysiakini, mengesahkan menerima surat daripada ROS, tetapi tidak menyatakan tentang kandungannya.

Surat tersebut yang bertarikh semalam, diedar secara meluas di Internet. Bagaimanapun, kesahihannya masih belum disahkan oleh DAP atau ROS.

Bagaimanapun, usaha Malaysiakini untuk menghubungi Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahim Othman setakat ini belum berhasil. Seorang pegawai kanan ROS mendakwa tidak tahu menahu mengenai surat tersebut.

Jika benar, ini merupakan satu tamparan hebat terhadap persediaan DAP untuk berdepan dengan pilihan raya umum 5 Mei ini.

Sehingga kini, juga tidak jelas sama ada ini akan menjejaskan penggunaan logo DAP pada hari penamaan calon.

DAP disiasat oleh ROS berkaitan "kesilapan teknikal" yang berlaku semasa pemilihan parti Disember tahun lepas, yang mengakibatkan barisan awal CEC parti itu dirombak semula.

Parti itu mendakwa terdapat kesilapan teknikal dalam penjadualan (tabulation) undi tetapi pemimpin DAP menolak gesaan diadakan pemilihan baru walaupun terdapat bantahan dari ahli tertentu parti itu.
-mk

Berita terbaru menyatakan bahawa "DAP masih boleh mengemukakan calon seperti biasa pada hari penamaan calon tanpa mengira keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menggantung jawatankuasa pusat parti itu.

Ini telah disahkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff."


Tetapi yang mengkhuatirkan ialah bagaimana jika selepas pilihanraya ROS membuat keputusan mengisytiharkan DAP sebagai pertubuhan yang terbatal pendaftarannya?

Apa akan jadi kepada status calon-calon DAP yang memenangi pilihanraya berkenaan? Jadi anggota Bebas?

GB melihat ini sebagai satu grand design untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat supaya tidak dapat menguasai parlimen dan Putrajaya selepas PRU13 nanti.

Malah hingga kini ROS masih gagal untuk memberikan kelulusan kepada pendaftaran Pakatan Rakyat.

GB pernah menyarankan supaya pihak Pakatan Rakyat mengheret ROS ke muka pengadilan kerana kegagalan memberikan kelulusan tersebut, tetapi nampaknya PR belum bersedia untuk bertindak sedemikian.

Apa-apa hal pun kita mengalu-alukan kesedian DAP untuk bertanding di atas tiket PAS atau PKR - satu lambang kesetiakawanan parti-parti komponen di dalam Pakatan Rakyat. -GB
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .