Jenazah Siti Rohana Ismat dibawa keluar dari Hospital Sungai Buloh selepas dibedah siasat.
KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan kematian bekas wakil rakyat Selangor Datuk Abdul Aziz Mohd Noh bersama Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Karang, Siti Rohana Ismat di sini pagi ini akibat tembakan daripada salah seorang mangsa itu sendiri.
Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata berdasarkan siasatan awal, tembakan dilepaskan dari dalam kereta dan tidak melibatkan orang lain.
Katanya, polis juga menemui sepucuk pistol jenis revolver .38 di dalam kereta tersebut yang mengandungi dua peluru hidup dipercayai kepunyaan Abdul Aziz.
Khalid berkata, hasil bedah siasat di Hospital Sungai Buloh menunjukkan terdapat dua kesan tembakan pada kepala Siti Rohana dan satu tembakan di kepala Abdul Aziz.
Ketika dihubungi, Khalid berkata kereta jenis Toyota Caldina berwarna putih itu dimiliki oleh Siti Rohana dan waktu kejadian ia dipandu oleh Abdul Aziz.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang yang berusia 64 tahun itu ditemui mati bersama Siti Rohana, 43, kedua-duanya dengan kesan tembakan, dalam kereta yang terbabas di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Sungai Buloh dekat sini kira-kira 11 pagi.
Kereta tersebut terbabas dari bahagian kiri ke bahagian kanan jalan.
Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh.
Abdul Aziz, menjadi wakil rakyat dari 2004 hingga 2008 dan pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar pada 1997.
Siti Rohana aktif dalam politik dan pernah menjadi pegawai peribadi kepada Abdul Aziz, dan mempunyai sebuah butik pengantin di Tanjong Karang. - BERNAMA