PAS   mendakwa tindakan Kementerian Dalam Negeri memperkenalkan garis   panduan, definisi hasutan kepada pengguna internet sebagi satu lagi   usaha untuk 'membuta dan memekakkan' rakyat.Ketua Penerangannya, Idris Ahmad berkata, tindakan tersebut lebih kepada usaha menyekat maklumat sebenar sampai kepada rakyat.
"PAS berpandangan tindakan ini lebih kepada usaha untuk membendung maklumat penyelewengan kerajaan BN.
"Umno BN hanya bergantung kepada propaganda media perdana sahaja untuk mengekalkan pengaruh mereka di negara ini.
"Mereka tidak mampu untuk melawan serangan yang dibuat oleh media baru pada hari ini," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.
Katanya lagi, seluruh jentera Umno sudah tidak bermaya, dan hanya bergantung kepada media radio dan televisyen sahaja.
Malahan setengah tempat ujarnya, Umno terpaksa menswastakan program penerangan melalui NGO yang pro mereka agar boleh menarik orang datang.
"Jika tidak, orang tidak mahu datang jika atas lambang umno.
"Sebab itu tidak hairan kepada kita BN sudah membuka peluang kepada NGO untuk bersama BN dalam mesyuarat majlis tertinggi.
Beliau turut mempersoal tindakan kerajaan itu dengan asas bahawa telah banyak akta-akta yang diwujudkan untuk mengatasi masalah tersebut.
Ianya seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Mesin Cetak dan Akta Hasutan.
"Kerajaan boleh bertindak mengikut akta yang sedia ada dengan membawa pesalah ke muka pengadilan," katanya.
Beliau bagaimanapun bersetuju jika tindakan diambil kepada mereka yang mendedahkan maklumat ketenteraan negara, penghinaan kepada agama dan bangsa.
"Tetapi jika maklumat yang didedahkan ialah penyelewingan yang merugikan negara dan rakyat, kenapa perlu kerajaan takut untuk menghadapi penghakiman yang akan dibuat oleh rakyat dalam pilihanraya umum akan datang," soalnya.

Semua  jentera Pakatan Rakyat yang menggabungkan tiga parti iaitu Parti  Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS telah menyatakan pergerakan dan  persetujuan bersama dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan raya yang  diadakan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) malam tadi sempena  Konvensyen Pakatan Rakyat Pulau Pinang.









