Lumrah  kehidupan, insan yang cantik, bijak dan berwawasan akan sentiasa  menjadi perhatian, apatah lagi jika dia seorang pemimpin. Tetapi tidak  semua semestinya positif kerana personaliti seperti ini tidak dapat lari  daripada golongan PHD (perasaan hasad dengki). Ini biasa dalam dunia  politik.  
Orang  mengenali Shahanim Mohd Yusof sebagai Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia.  Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa beliau pernah bertugas dengan  Maybank selama 14 tahun dan menerima anugerah “Best Financial Executive  for Maybank Finance in Malaysia” pada 2001.  
Namun  sebaik melangkah kaki ke dunia politik, kehidupan Shahanim tidaklah  seindah yang dilihat pada zahirnya. Pelbagai duri dan liku terpaksa  diharungi….dan yang paling menghantui nya apabila difitnah beraksi dalam  VCD lucah,mempunyai skandal dengan seorang Menteri Besar serta membuat  kekayaan menerusi politik. Tidak cukup dengan itu, baru-baru ini beliau  dikatakan tidak sebulu pula dengan ketuanya.  
Shahanim  berkata beliau menyangka dengan berdiam diri selama ini, semua fitnah  dan tohmahan terhadapnya akan lenyap. Harapanya nyata meleset. Kini  beliau merasakan sudah sampai masanya membuka mulut.
 
Ada desas desus kononnya Shahanim tidak sebulu dengan Ketua Puteri, Datuk Rosnah Rashid Shirlin..  
Beliau  mengakui selalu sangat dengar perkara ini dan  menjelaskan bahawa  antara dia dan Rosnah tak ada masalah. Sedikit pergeseran itu adalah  perkara biasa tetapi fokus sekarang ialah dalam keadaan UMNO yang macam  ini… kena buat kerja macam mana nak jadikan gelombang wanita muda dapat  bantu UMNO dan BN menang PRU ke-13. Beliau menganggap desas-desus ini  sebagai perkara remeh.  
Ada yang  bercerita ramai yang tak puashati apabila tidak dilantik ke sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO?  
Beliau menganggap keputusan dan hak Datuk Rosnah sebagai sebagai Ketua Puteri dan tidak pernah beliau persoalkan.
Walaupun  sayap Wanita dan Pemuda UMNO, naib ketua masing-masing secara automatik  dilantik ke MT. Mengapa Puteri tidak? Tidakkah ini memberi gambaran  bahawa Naib Ketua ini telah diketepikan dan mempunyai sebab kukuh untuk  tidak sebulu dengannya?
seterusnaya:
  
Shahanim:  Biar saya berterus terang. Pada tarikh perlantikan MT dibuat, saya  sedang menganjurkan kenduri bersama keluarga sempena sambutan hari lahir  suami saya pada 24 April. Sedang kita raikan kenduri, Datuk Rosnah  menelefon dan beritahu saya dia tak lantik saya sebagai MT di atas  sebab-sebab yang tertentu. Saya tidak tanya banyak dan cakap it is okay.  Saya cakap pada dia, itu hak dia untuk melantik Dr Norashikin. (YB Dr.  Wan Norashikin Wan Noordin). Saya kata saya akur.  
Ag:  Timbalan Perdana Menteri telah meletakkan tiga KPI kepada Puteri, iaitu  menambah ahli, daftar pengundi muda dan berbaik dengan NGO. Bukankah  secara logik, tugas besar ini patut diberikan kepada Naib Ketua?  
Shahanim:  Saya telah diberi amanah sebagai Pengerusi Biro Antarabangsa yang saya  rasakan saya tak dapat nak menyumbang lebih. Tetapi sebagai naib saya  akur dan tidak pernah mempertikaikan jawatan yang diberi.  
Sebenarnya  dalam mesyuarat Exco Puteri bulan lalu, Datuk Rosnah ada membuat  rombakan. Saya tidak dapat datang kerana terpaksa hadir di sekolah anak  saya untuk menandatangani buku laporan. Ketika itu memang saya ada  menaruh harapan kerana saya rasa saya mampu pegang jawatan biro keahlian  dan turun ke negeri-negeri bagi mewujudkan minat dan meyakinkan  golongan wanita muda mengapa kita perlu pilih UMNO. Saya tunggu tetapi  keputusan tak memihak kepada saya, dan kini saya masih pegang jawatan  biro antarabangsa.  
Ag: Rasa terkilan ke tidak ?  
Shahanim:  Terasa juga…sebab saya rasa saya patut pegang biro yang telah diberi  KPI oleh Tan Sri Muhyiddin selaku Timbalan Presiden UMNO. Atas kapasiti  saya sebagai Nombor 2, saya yakin saya boleh buat kerja itu. Tetapi  apabila tidak diberi kpercayaan, memang rasa terkilan. Bagaimanapun saya  akur dengan keputusan Ketua Puteri.  
Ag:  Tetapi dengan TPM meletakkan KPI berkenaan, apa relevan tugas puan  sebagai Pengerusi Biro Antarabangsa dengan persiapan menghadapi PRU?  
Shahanim:  Dengan keadaan empat negeri yang kalah, untuk menghadapi PRU ke-13 kita  perlu dapatkan banyak sokongan wanita muda. Kalau nak tarik golongan  wanita muda berusia antara 21 dan 40 tahun, biro-biro yang kurang beri  faedah patut dikurangkan dan beri fokus kepada menambah ahli. Kita harus  letak lebih ramai orang di situ kerana kalau letak seorang sahaja,  susah nak laksana tanggungjawab itu.  
Ag:  Adakah puan berpendapat bahawa mungkin tidak dilantik oleh Rosnah untuk  memikul tanggungjawab penting seperti MT dan Biro keahlian kerana isu  kononnya ada VCD lucah puan dan beberapa gosip lain ?
Shahanim:  Saya rasa mungkin sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan beliau tetapi  beliau kena ingat orang politik tak pernah lepas dari fitnah dan saya  menjadi mangsa fitnah terbesar dan kini sudah sampai masanya saya nak  clear everything .  
Selepas  berdiam diri ke atas fitnah yang dilemparkan terhadap saya sejak 2006,  hari ini saya menemui seorang wartawan yang berani tanya soalan maut  ini. Sebelum ini tak ada wartawan yang berani bertanya.  
Apabila  saya berhenti dari Maybank pada 2004, saya telah dilantik oleh Datuk  Seri Syed Razak (mantan Menteri Besar Kedah) sebagai ketua Puteri Kedah.  Saya bukan dilantik oleh Dato' Seri Mahadzir Khalid.  
Pada  mulanya saya menolak tawaran itu dengan alasan saya sudah memegang  jawatan Exco Pergerakan Puteri UMNO. Tetapi setiausaha sulit kepada  Datuk Seri Syed Razak telefon saya dan cakap, Menteri Besar dah bagi  kepercayaan dan saya harus terima amanah itu. Jadi saya pun terimalah.  
Pada  2006, Datuk Seri Syed Razak sakit dan jawatan itu diambil alih oleh  Datuk Seri Mahadzir Khalid. Beliau tak lantik saya sebagai Ketua Puteri  kedah. Tetapi beliau lantik Ketua Puteri, Ketua Pemuda dan Ketua Wanita  sebagai pegawai khas untuk membantu sayap-sayap di negeri Kedah.  
Berdasarkan pengalaman 14 tahun saya di Maybank, beliau telah melantik saya sebagai pegawai  khas yang jaga GLC (syarikat berkaitan kerajaan) . Ahli Dewan Negeri  kawasan Air Hangat yang juga Ketua Pemuda Kedah serta Ketua Wanita Kuala  Kedah juga dilantik sebagai pegawai khas.  
Sebagai  pegawai khas, pastinya ke mana MB Kedah ada, kita kena ada…bos saya  pula Pengerusi Perhubungan Negeri kedah. Maka, ke mana sahaja majlis  UMNO beliau ada, saya pun pergi juga.  
Rentetan  itu, orang tengok di mana ada Mahadzir, di situ ada Shahanim. Ada  kalanya mesyuarat GLC sampai malam. Dah lumrah sikap orang kita. Kalau  saya duduk satu hotel dan kebetulan bos duduk hotel yang sama, itu dah  dianggap skandal. Kalau minum dan gelak sama-sama pun disebut skandal.  Kita boleh tutup mulut tempayan, tetapi kita tak boleh tutup mulut  manusia daripada menyebarkan tohmahan.  
Tahun  lepas semasa nak pergi umrah, saya cakap kat emak saya bahawa saya  doakan orang yang fitnah saya ini supaya diberi petunjuk dan hidayah  oleh Allah.  
Ag: Bagaimana menghadapi fitnah kononnya ada VCD lucah puan disebarkan tu ?  
Shahanim:  Sebagai orang poiltik, saya boleh hadapi semua tohmahan dan fitnah ini,  tetapi apabila anak-anak menjadi mangsa, saya tak tahan. Bayangkan  apabila anak saya pulang dari sekolah dan beritahu kawan-kawan  sekolahnya mengatakan mereka lihat gambar saya dalam YouTube… (pada  ketika ini Shahanim tidak dapat mengawal rasa sebak).
  
Macammana  saya nak yakinkan dan suruh anak saya counter balik cerita-cerita itu  kepada kawan-kawannya?. Orang sanggup fitnah saya sampai ke tahap itu.  Anda perhatikan sendiri. Dah jelas gambar itu menunjukkan muka saya  dicantumkan dengan badan orang lain. Saya tengok badan itu badan seorang  artis sebab saya dah cek pelakon itu memakai baju yang sama dengan gaya  yang sama. Fikirlah sendiri.  
Perkara  ini menjadi lebih sensitif apabila guru sekolah anak saya bertanyakan  kepada anak saya sama ada saya dan suami sudah bercerai! Saya dan suami  saya sudah 16 tahun berkahwin, tak pernah ada masalah. Sampaikan guru  sekolah pun jadi macam itu. Saya terpaksa tukarkan sekolah anak saya  dari Sungai Petani ke Kuala Lumpur.  
Saya  berpegang, macam mana pun kita buat, kebenaran akan timbul sama ada  cepat atau lambat. Saya bersyukur dapat suami yang amat memahami dan  mengenali diri saya. Kepercayaan yang dia bagi adalah asas kekuatan diri  saya.  
Ag:  Boleh komen mengenai dakwaan bahawa puan mendapat kekayaan semasa  bekerja dengan Mahadzir Khalid, serta isu mengenai hadiah kereta kepada  suami dan stesen minyak?  
Shahanim:  Kereta Harrier itu adalah second-hand . Saya bayar RM40ribu dan buat  pinjaman RM70ribu. Sampai ke hari ini masih berhutang RM12ribu. Bulan  lepas tertunggak tiga bulan. Kalau hadiah tak payah hutang.  
Stesen  minyak saya pula, saya pergi interbiu di Petronas sebelum saya letak  jawatan di Maybank dan dapat pada 2004…sebelum saya join MB Kedah. Saya  kerja dengan Datuk Seri Mahadzir Khalid pada 2006.  
Saya  nak cabar siapa yang dok kata saya cari kekayaan atau dapat projek  supaya menamakan projek itu dan berapa jumlahnya. Apa yang saya dapat  semasa jadi Ketua Puteri Kedah, yang merupakan hak saya, cuma satu…ialah  sebagai salah seorang board of directors Kumpulan Ladang. Sebagai  pengarah saya dapat RM2ribu sebulan dan pada hujung tahun syarikat GLC  itu buat keuntungan, saya dapat RM70ribu setahun.  
Ag: Kenapa selama ini puan berdiam diri terhadap gosip dan fitnah ini?  
Shahanim:  Masa mula-mula dulu saya bercadang nak buat laporan polis di Bukit  Aman, tetapi beberapa pemimpin veteran UMNO kata dalam politik ini  perkara biasa dan saya tak perlu heboh. Mereka kata kalau buat report  berrmakna kita melatah.  
Tetapi  seminggu sebelum PRU ke-12 pada 8 Mac 2008 tersebar SMS yang mengatakan  VCD lucah saya akan disebarkan sekiranya nama saya naik jadi calon.  Macam biasalah, dalam masa tak sampai lima minit, satu Malaysia dapat  SMS itu. Maka orang sibuk mencari-cari VCD itu…termasuk saya sendiri.  Sehingga hari ini mana ada?