Ikuti Blog ini

Salam Ramadhan dari Muslimeen United

Perutusan Khas Ramadhan 1431H - Tuan Guru Nik Abdul Aziz

Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapkan antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa masalah akan dirujuk kepada pawang. Selalunya penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengadu kepada kuasa lain dengan cara yang khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).
- Surah al-Baqarah, ayat 185

Justeru, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain merupakan keperluan kepada fitrah manusia. Jika sekalipun ugama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas diri mereka untuk berpuasa kerana manfaat yang banyak daripadanya termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, lebih perlu untuk dilaksanakan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan. Tanda taat tunduknya manusia kepada Tuhan mereka ialah mereka sanggup bersusah payah demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita lebih utama untuk bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Hati perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati. Hilangnya keyakinan ini, hilang jugalah roh dari ibadat puasa tersebut sehingga menghilangkan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ
Yang bermaksud : “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..” – Riwayat Ibnu Majah

Selain itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT. Semuanya ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita bukan hanya ketika di bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Semoga bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Semoga Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.


TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA
DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 10 Ogos 2010 / 29 Syaaban 1431

Nafi Sembunyi Fakta, Peguam Negara Akui Nota Teoh Bukti Baru - Apa Cerita Nie Dah Setahun Inkues Berjalan, AG Ada Agenda Ke?

KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Pejabat Peguam Negara menafikan dakwaan mereka menyembunyikan bukti dalam inkues kematian Teoh Beng Hock selepas mengemukakan sekeping nota yang ditemui tahun lepas dalam beg sandang Teoh, yang mungkin mengandungi petunjuk tentang kematian bekas setiausaha politik pemimpin DAP itu. Penemuan bukti baru itu yang dikemukakan pagi semalam menyebabkan prosiding inkues yang sepatutnya didengar semalam ditangguh sehingga 18 Ogos.

Kenyataan pejabat Peguam Negara itu, dikeluarkan lewat petang semalam menjelaskan, pejabat Peguam Negara dimaklumkan mengenai penemuan nota itu oleh pegawai penyiasat ASP Nazri Zainal pada 7 Oktober lalu iaitu lebih dua bulan selepas kematian Teoh.

Kehadiran bukti baru di saat akhir inkues kematian Teoh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peguam yang mewakili keluarga bekas setiausaha politik itu dan kerajaan Selangor.
Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh memberitahu pemberita keadaan yang berlaku menunjukkan seolah-olah sesuatu yang dirancang dan beliau amat kecewa atas apa yang berlaku kerana bukti itu sepatutnya dikemukakan sebelum bermulanya prosiding.

Gobind berkata berikutan keadaan ini, beliau memohon supaya inkues dibicarakan menerusi Suruhanjaya Diraja dan berharap Peguam Negara dapat memberi penjelasan berhubung bukti baru ini.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam di sini selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pada mulanya Ahmad Nazri tidak menemui nota tersebut ketika beliau memeriksa beg sandang Teoh sebaik insiden berlaku.

Bagaimanapun, ia berkata Ahmad Nazri baru-baru ini mengaku yang dia menjumpai nota tersebut ketika memeriksa beg sandang simati pada 17 Julai tahun lepas tetapi tidak menyedari kepentingannya kerana turut menjumpai dokumen lain dan ia ditulis dalam tulisan Cina dan Rumi.

Kenyataan itu menjelaskan penemuan bukti tersebut mengejutkan pejabat Peguam Negara dan ia mengarahkan siasatan dijalankan.

Katanya nota itu dengan segera diterjemahkan, dan terdapat cukup fakta untuk nota itu dianalisis oleh pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia pada 9 Oktober dan kemudiannya pada 20 Oktober tahun lepas.

Menurutnya pemeriksa dokumen menyediakan laporan mereka, dan ia kemudiannya ditimbang oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, yang tidak yakin dengan ketulenan nota itu disebabkan kekurangan contoh untuk mengesahkan tulisan tangan berkenan, khususnya tulisan Cina.

Tambahan pula, nota itu ditemui selepas dua bulan kematian Teoh dan ini akan menimbulkan syak wasangka tentang ketulenan dan penemuannya.

“Setelah mempertimbangkan faktor-faktor ini, Tan Sri Abdul Gani berpendapat nota itu tidak perlu dikemukakan sehingga, dan melainkan, pegawai penyiasat boleh menyediakan penjelasan yang memuaskan,” kata kenyataan itu dipetik Bernama.

Katanya terdahulu pejabat itu diberi penjelasan oleh pegawai penyiasat berkenaan bahawa beliau menjalankan pemeriksaan rapi selepas dinasihatkan oleh pakar psikologi iaitu kebiasaannya sekeping nota akan ditinggalkan dalam kes bunuh diri.

“Berikutan itu, Peguam Negara memutuskan untuk mengemukakan nota tersebut dan mengarahkan pegawai penyiasat untuk menjelaskan perkara ini di mahkamah untuk mengelak sebarang akibat pada masa depan dan biarlah ia diputuskan oleh koroner selepas menimbangkan penjelasan pegawai penyiasat dan laporan oleh pemeriksa dokumen,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut pejabat itu merasakan bahawa tidak ada penyekatan atau penyembunyian bukti, dan keputusan untuk tidak menawarkan nota itu pada awalnya dibuat berdasarkan laporan pemeriksan dokumen serta penemuan nota yang boleh menimbulkan syak wasangka.

“Pejabat Peguam Negara akan mengemukakan dokumen sebagai bukti hanya apabila pejabat itu telah berpuas hati tiada lagi kemusykilan,” katanya.

Rakyat Tidak Akan Berdiam Diri Dengan Kezaliman

Bantahan Anti ISA Merebak Ke London, Anifah Terkedu

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman disambut dengan laungan 'Anti ISA' dan 'Mansuhkan tahanan tanpa bicara' oleh aktivis Gerakan Mansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di luar bangunan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London semalam.

Beliau yang tiba di kotaraya itu dalam sesi rangka lawatan kerja ke United Kingdom dan Jerman bermula 1 Ogos lalu terkedu dengan laungan dan bantahan aktivis yang menentang sekeras-kerasnya akta drakonian itu dan menggesa kerajaan Umno-Barisan Nasional memansuhkan segera undang-undang lapuk yang sudah bertapak dinegara ini sejak 50 tahun lalu.

Sekumpulan 30 aktivis berhimpun di luar bangunan suruhanjaya itu untuk menyampaikan bantahan mereka kepada Anifah menyebabkan tetamu yang telah berada di dalam bangunan Pesuruhjaya Tinggi itu terpaksa menunggu lama untuk mendengar ucapan Menteri Luar itu.

Anifah juga dijangka menyampaikan ucapan beliau kepada ketua komuniti dan pelajar Malaysia di London untuk memberi penerangan berhubung situasi semasa polisi kerajaan.

Menurut sumber, kebanyakan peserta demonstrasi adalah daripada kalangan muka baru yang menggunakan pembesar suara sambil melaung-laungkan "Hentikan tahanan tanpa bicara".

Turut hadir, Six Oranges, penerbit filem berhubung isu sosial yang berpangkalan di London - mereka kini dalam proses menerbitkan dokumentari mengenai ISA.

Sebelum ini di lapan lokasi di seluruh negara, pihak polis menahan 30 peserta perhimpunan aman anti ISA pada 1 Ogos lalu termasuk di Pulau Pinang, Johor dan Kelantan.

Antara yang ditahan pada sambutan sempena ulangtahun ke-50 kewujudan ISA, Pengerusi Gerakan Mansuh ISA Syed Ibrahim Syed Noh, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan dan Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Badrul Hisham Shaharin (CheGuBard).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberi amaran kepada kepada orang awam supaya tidak menghadiri perhimpunan memasang lilin yang dianggap sebagai perhimpunan haram. -SK


Presiden Pakistan dilempar kasut

BIRMINGHAM: Presiden Pakistan Asif Ali Zardari menerima lemparan kasut ketika mengakhiri lawatannya ke Britain dengan menyampaikan ucapan pada satu perhimpunan politik di sini semalam.

Beliau berhadapan kritikan dan penunjuk perasaan kerana meneruskan lawatan ke luar negara ketika Pakistan dilanda banjir teruk yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,500 orang.

Pada perhimpunan itu, seorang lelaki melempar kasut ke arah Asif tetapi tersasar, sementara di luar Pusat Konvensyen Antarabangsa di Birmingham, lokasi beliau berucap, polis mengepung lebih 100 penunjuk perasaan.

Asif semalam menyifatkan kunjungannya ke Britain sebagai berjaya kerana dapat mengumpul beribu-ribu pound Sterling buat mangsa banjir di Pakistan.

Kira-kira 2,000 hadirin berkumpul di pusat konvensyen tersebut bagi mendengar ucapan Presiden itu serta pemimpin-pemimpin lain daripada Parti Rakyat Pakistan (PPP).

Kunjungan Asif ke Britain juga penuh ketegangan kerana ia dibuat tidak lama selepas Perdana Menteri Britain David Cameron menuduh Pakistan ‘membawa ketakutan’.

Kenyataan Cameron itu membangkitkan kemarahan rakyat Pakistan dan mengakibatkan tercetus perselisihan diplomatik, kerana kenyataan itu dibuat ketika kunjungan Cameron ke India.

"Kita mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Britain dan masalah yang ada telah diselesaikan dengan bantuan penggubal undang-undang Pakistan," kata Asif semalam pada satu perhimpunan di mana poster isterinya yang mati dibunuh, bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto, digantung di dinding.

Beliau diiringi anak perempuannya, Asifa yang memakai selendang berwarna putih.

Di luar dewan, sebahagian penunjuk perasaan mengangkat sepanduk tertulis ‘Amerika Syarikat (AS) keluar dari Pakistan dan Afghanisan’.

Sehari sebelum itu, anak lelaki Asif yang juga pengerusi bersama PPP, Bilawal Bhutto Zardari, merayu bantuan untuk mangsa banjir di Pakistan.

Harga barangan keperluan melambung tinggi

Sementara itu di ISLAMABAD, rakyat Pakistan hari ini bergelut dengan masalah kenaikan harga buah-buahan dan sayur-sayuran yang melambung tinggi, berikutan banjir yang memusnahkan sekurang-kurangnya 570,000 hektar tanaman.

Harga barangan keperluan yang melonjak itu menambah lagi derita penduduk negara itu yang sudah pun dibelenggu kemiskinan dan masalah kekurangan makanan sebelum banjir melanda negara ini dua minggu lalu.

Pakistan bekerjasama dengan agensi bantuan antarabangsa untuk menyelamatkan lebih 100,000 penduduk dan menyalurkan bantuan makanan serta tempat perlindungan kepada beribu-ribu yang lain.

Namun kerajaan menghadapi kesukaran untuk menangani bencana sebegitu buruk yang dianggarkan telah menjejaskan kehidupan 13 juta penduduk.

Keadaan dijangka bertambah buruk kerana Pakistan dilanda hujan lebat lagi hari ini.

"Banjir memusnahkan tanah pertanian dan menghanyutkan tanaman sayur yang sudah sedia untuk dituai.

"Hasil tanaman yang dapat diselamatkan tidak dapat dipasarkan kerana jalan musnah dan hubungan komunikasi terputus," kata seorang petani di bandar Multan, tengah negara ini.

Sekurang-kurangnya 570,000 hektar tanaman musnah di wilayah Punjab yang merupakan sumber bahan makanan untuk seluruh Pakistan, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - AP

Rakyat sekarang bukan seperti rakyat yang difikirkan oleh UMNO BN serta pencacai mereka seperti Peguam Negara, SPRM, SPR, Polis dan sebagainya.

Rakyat yang hidup di era digital ini adalah rakyat yang bermaklumat, rakyat yang berani menghadapi apa jua kemungkinan untuk menegakkan kebenaran dan keadilan.

Telah berlalu zaman dimana UMNO BN dengan segala pencacainya untuk melakukan pembodohan ke atas rakyatnya. Ini zaman k-workers, k-community, k-people. "K" yang membawa pengertian "knowledge-based".

Anda hendak menekan dan menzalimi rakyat? Anda wajar menanggungnya sendiri.-GB

Noh Omar Tolong Jangan Jaga Tepi Kain Orang !!



Noh omar
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mahu Umno Selangor supaya tidak lagi mencampuri pengurusan pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat sebaliknya memberikan tumpuan kepada negeri di bawah naungan Barisan Nasional.

Beliau membidas kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang mencabar agar kerajaan negeri khususnya PAS menutup pusat hiburan dan rumah urut di negeri itu sepanjang bulan Ramadhan.

Sehubungan itu Khalid menyifatkan gesaan itu melambangkan sikap hipokrit pemimpin Umno Selangor yang sengaja mencetuskan isu di luar kawalan mereka.

"Saya nak ingatkan Noh Omar jika dia terlupa, Barisan Nasional ada banyak negeri di bawah nya, laksanalah di bawah BN kalau ucapan atau cabaran kamu itu ikhlas dan cara kamu laksana adalah secara paksaaan dan kuasa, maka kalau itulah yang kamu faham dalam Islam, maka kamu buatlah di negeri yang BN perintah.

"Apa yang kamu nak sibuk dengan kerajaan dan negeri-negeri Pakatan Rakyat.

"Kesalahan itu bukan hanya kesalahan ketika bulan Ramadhan tetapi juga bukan di bulan Ramadhan,” katanya pada sidang media di pejabatnya petang semalam.

Tambah beliau, pendekatan dan pelaksanaan yang sewajarnya adalah menerusi pendidikan bukannya tekanan dan paksaan.

"Kita mewarisi negeri ini dengan segala peninggalan mereka dan kaedah itu kita laksanakan bukan secara mendadak tetapi oleh kerana masyarakat selama ini telah dikelirukan maka kita harus didik mereka dengan cara yang betul," katanya lagi.

Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam turut mempersoalkan niat Noh dan menyifatkannya sebagai tindakan bermotifkan politik.

Berbanding dengan tindakan Umno, katanya Pakatan Rakyat tidak akan mengenakan paksaan ke atas rakyat sebaliknya jelas beliau kerajaan negeri Selangor akan mendidik orang ramai dalam isu seperti itu.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .