Saya selalu berkata UMNO Baru sudah hilang hidayah 
dalam mentadbir negara. Bagi UMNO Baru modalnya hanyalah satu iaitu isu 
pembangunan dan gula-gula kewangan terhadap rakyat. 
Bagi UMNO Baru kerajaan yang baik itu ialah kerajaan 
yang boleh membina lapangan terbang, membina sekolah, melebarkan jalan, 
menyediakan bekalan air dan api letrik dan sebagainya. UMNO Baru tidak 
lagi memahami bahawa pembangunan fizikal itu hanyalah sebahagian yang 
kecil daripada apa yang dikatakan sebagai ‘nation building’ itu.
Itulah sebabnya UMNO Baru dan pemimpin-pemimpinnya tidak terlepas 
daripada mengungkit apa yang telah dilakukan terhadap rakyat dan negara.
 
Suatu ketika dahulu bantuan subsidi gigi palsu pun 
dijadikan umpan untuk orang-orang kampung mengundi parti itu di dalam 
pilihanraya. Di kampung saya suatu ketika dahulu bantuan lembu pawah 
juga menjadi isu untuk memaksa orang memilih BN.
Semuanya itu adalah pembangunan yang menggunakan wang rakyat dan 
pemimpin yang dipilih itu juga dibayar gaji dan elaun oleh rakyat. Tidak
 sedar mereka itu yang nasib mereka itu adalah di tangan rakyat tetapi 
mereka tetap mengatakan bahawa pembangunan itu semua adalah budi 
kerajaan BN. Mereka tidak pernah untuk kembali berfikir yang mereka itu 
duduk di atas singgahsana kuasa itu adalah pemberian rakyat.
Sesiapa juga atau parti mana pun yang diberi mandat akan melakukan 
pembangunan kerana harga pembangunan itu dibayar oleh rakyat, bukannya 
oleh UMNO Baru atau pemimpin mereka. Di Pulau Pinang dan Selangor, 
misalnya pembangunan rakyat dibiayai oleh rakyat negeri-negeri itu 
melalui segala bentuk cukai yang dikutip dari rakyat.
Kerajaan kedua-dua negeri itu telah berjaya melakukan apa yang dilakukan
 oleh kerajaan BN selama ini malahan ianya dilakukan dengan lebih baik 
dan transperan dari kerajaan BN dahulu. Rasuahnya tiada lagi seperti 
yang begitu lazim semasa BN memerintah negeri-negeri tersebut. Pemimpin 
BN persekutuan tidak pula mahu menyebut peranan besar yang diberikan 
oleh kedua-dua kerajaan PR ini terhadap negara.
Elok pemimpin BN membuat kenyataan yang kedua-dua kerajaan negeri PR ini
 menyumbang sebanyak 40% dari hasil GDP negara. Itulah salah satu 
sebabnya rakyat di kedua-dua buah negeri ini tidak mahu lagi dijaga dan 
ditadbir oleh BN kerana kerajaan BN telah menyalahgunakan sumber 
kewangan negara yang 40% darinya adalah sumbangan kerajaan dan rakyat 
kedua-dua buah negeri ini.
Belanja lawatan Najib 
dan Muhyiddin ke seluruh negara yang memakan belanja ratusan juta 
ringgit itu pada hakikatnya adalah dibiayai oleh sumber kewangan dari 
kerajaan yang mana 40% darinya adalah sumbangan kerajaan Selangor dan 
Pulau Pinang. Bayangkan satu lawatan PM akan membelanjakan jutaan 
ringgit. Maklum sajalah peruntukan menyewa bas yang beratus buah dan 
kadangkalanya ribuan buah untuk mengangkut rakyat untuk datang menyambut
 PM itu sahaja memakan belanja ratusan ribu jumlahnya.
Itu belum lagi belanja sewaan kerusi dan khemah yang banyak. Sewa kerusi
 yang lazimnya hanya 0.65 sen bagi sebuah kerusi kroni UMNO Baru yang 
menyediakan kerusi itu akan tekan harga dari penganjur sebanyak RM1.70 
sen. Kalau jumlah kerusi yang disewa itu sebanyak 20,000 buah bayangkan 
berapa harganya. Karipap yang sebesar ibu jari itu ditekan harganya 
sehingga satu ringgit bagi satu karipap bayangkan harga yang perlu 
dibayar untuk menyediakan 100,000 karipap. Kalau karipap itu tebal dan 
tembam tak apa juga!
Apabila habis upacara baru sedar semuanya adalah pembaziran kerana 
jumlah orang yang datang memberikan sambutan itu jauh lebih kecil dari 
yang dijangkakan. Semuanya ini pembaziran besar. Lawatan PM dan DPM ini 
tidak memberi apa-apa kebaikan selain daripada menghabiskan karipap 
sahaja. Ingat, rakyat dari negeri PR juga membayar cukai dan penyumbang 
besar kepada kantung kewangan negara.
Mahal betul untuk mengekalkan kuasa dan kosnya itu ditanggung oleh 
rakyat. Budaya ini wajar dihentikan kerana ia merupakan pembaziran 
kepada sumber kewangan rakyat dan negara. Sesungguhnya lawatan peribadi 
itu yang penting, tetapi yang lebih penting ialah dasar-dasar yang baik 
dan implimentasinya yang cekap.
Yang patut turun kepada rakyat ialah dasar yang diimplimentasikan dengan
 baik dan cekap terhadap rakyat  Rakyat merasakan yang dasar-dasar itu 
benar-benar sampai ke bawah bukannya dapat bersalam dengan PM dan 
isterinya.
Setakat bersalaman dengan orang ramai bukan lagi cara politik zaman 
moden ini. Cara itu memang telah diamalkan sejak zaman berzaman, tetapi 
inilah yang kita dapati sekarang ini. Politik menjadi permainan yang 
mengelirukan semata-mata kerana budaya bersalaman tetapi tidak membawa 
apa-apa faedah kepada rakyat jelata.
Sudah lima puluh lima tahun pemimpin turun bersalaman tetapi rakyat 
masih tidak berpuas hati kerana salam yang tidak membawa apa-apa faedah 
kepada mereka (rakyat).
BN dan UMNO Baru  tidak sedar bahawa penilaian (judgement) terhadap 
pimpinan mereka ialah kepada dua perkara penting. Pertamanya ianya akan 
dinilai dari tahap rasuah yang diamalkan oleh UMNO Baru dan pimpinannya 
serta kerajaan yang melaksanakan dasar yang digubal.
Keduanya sejauh mana kejayaan perhubungan di antara kaum di negara ini. 
Apabila isu perkauman dimainkan oleh UMNO Baru dengan begitu nyata maka 
itulah yang menyebabkan pola dan ‘tendency’ pengundian didasarkan kepada
 kaum dan ‘ethnic’ dan apabila perkara ini berlaku maka perhubungan kaum
 akan menjadi begitu tegang seperti yang kita lihat dan alami sekarang 
ini.
Itulah sebabnya sekarang parti-parti dalam PR sedang mendapat sambutan 
daripada rakyat yang dahagakan ‘national unity’ yang sebenarnya.  Rakyat
 tahu mereka (rakyat) tidak akan mendapat keharmonian ini selagi UMNO 
Baru masih berkuasa selepas pilihanraya nanti. UMNO Baru terlalu rasis 
untuk kepentingan Melayu kononnya, tetapi Melayu tidak ke mana juga. 
Takkan Melayu boleh meletakkan nasib masa depannya kepada Bantuan Rakyat
 1Malaysia (BR1M) yang sejemput itu.
Melayu yang mendapat habuan besar terus menerus hanyalah Melayu yang 
menjadi ahli ekskusif kepada parti itu yang jumlahnya boleh dikira 
dengan jari sahaja. UMNO Baru sendiri telah mengabaikan orang Melayu 
sendiri, tetapi masih menyanyikan lagu rasis ini kerana pilihanraya akan
 datang tidak lama lagi.-
Aspanaliasnet