Ikuti Blog ini

Komunis: Mohamad maafkan Visvanathan, bukan Utusan

NIBONG TEBAL: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sedia memaafkan saksi pertama kes isu komunis Bukit Kepong, Visvanathan a/l Muthu, 75, yang terlibat dengan perbicaraan isu berkenaan di Mahkamah Seksyen Butterworth pada 11 Jun lalu.

Mohamad sebaliknya terus bertekad menyaman akhbar Utusan Malaysia kerana mengeluarkan berita dengan niat jahat.

Jelasnya, Visva Nathan telahpun mengaku dan memohon maaf kepadanya di hadapan Hakim Ikmal Hisyam Ahmad Tajudin ketika diasak peguam Mohamed Hanipa Maidin pada perbicaraan berkenaan.

Ujar beliau, kemaafan dibuat berdasarkan kepada keinsafan Visva Nathan yang beberapa kali memandangnya dengan tangan dirapatkan seolah-olah sedar bahawa beliau bersalah kerana melemparkan fitnah dengan membuat satu  laporan polis pada 27 Ogos lalu berpandukan laporan Utusan Malaysia.

"Tak apalah saya maafkan Visva Nathan kerana beliau jadi boneka dan hanya berpandukan kepada Utusan  Malaysia yang melaporkan kononnya saya menghina pasukan polis dan Yang di-Pertuan Agong kerana menyanjung  Mat Indera yang disifatkan oleh penjajah sebagai pengkhianat.  Saya hanya maafkan dia bukan Utusan Malaysia," katanya ketika ditanya sejurus berucap di Perhimpunan Hijau Peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai  Acheh, Nibung Tebal petang semalam.

Bukan sahaja Visva Nathan memohon maaf bahkan turut mencadangkan kepada pihak polis  agar tidak mengambil tindakan kepada Mohamad.

Mungkin kata Mohamad, setelah peguam Hanipa Maidin memberikannya keratan akhbar Utusan Malaysia dan teks ucapan  pada majlis di Pusat Pendidikan Islam Padang Menora yang jelas tidak langsung menyebut perkataan 'komunis'.

"Lepas ni kayalah saya dapat duit saman Utusan Malaysia. Rugilah kalau tuan- tuan dan puan-puan tidak berkawan  dengan saya," katanya secara berjenaka.

Turun berucap di majlis bertemakan 'Perhimpunan Hijau Tawan Dun Sungai Acheh' ialah Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Fauzi Yusuf dan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abdul Rahman Ramjan. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .