Ikuti Blog ini

Serangan Media, mengapa Kedah menjadi Sasaran?



Apabila Pakatan Rakyat telah membuat keputusan untuk memboikot akhbar Utusan Malaysia, ramai rakyat yang bersetuju kerana Utusan Malaysia bukan lagi sumber yang boleh dipercayai selain dari keputusan nombor ekor, magnum atau TOTO. Media yang tidak bermaruah ini seharusnya tidak mendapat tempat di dalam Pakatan Rakyat dan Utusan Malaysia lebih sesuai untuk melaporkan apa yang telah berlaku di dalam UMNO sekarang

Meskipun demikian, terdapat juga pemimpin di dalam Pakatan Rakyat yang masih berharap kepada kebenaran dari Utusan Malaysia. Dalam sidang media umpamanya, wartawan dari Utusan Malaysia dibenarkan hadir dan hasilnya kita dapat lihat apa yang telah terjadi kepada berita yang disiarkan oleh akhbar tersebut berkenaan kenyataan Presiden PAS tentang perlantikan Pengerusi PKNS baru-baru ini. Sikap kita yang masih berbaik sangka kepada akhbar seperti ini memakan diri kita semula.

Pemimpin Pakatan Rakyat seharusnya lebih arif tentang tujuan media seperti Utusan Malaysia ini yang seolah-olah lebih berminat menghampiri mereka dan jangan mudah terpesona atau ingin mencari publisiti murah sehingga sanggup `menjual maruah diri dan parti' kepada media murahan seperti ini.

Media elektronik seperti TV 3 juga sebenarnya tidak kurang `hebat'nya berbanding akhbar Utusan Malaysia. Kempen boikot terhadap kedua-dua media `berlidah syaitan' ini sering kedengaran dilaungkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat, tetapi di kalangan pimpinan lah yang banyak dilihat memberi ruang kepada media-media ini. Kita telah menyaksikan sejak kebelakangan ini betapa TV 3 khususnya begitu berminat dengan beberapa negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat, terutama Negeri Kedah yang diterajui oleh PAS.

Mengapa mereka begitu berminat dengan negeri tersebut? Tidak lain tidak bukan kerana mereka menganggap Negeri Kedah harus lah dilemahkan secepat mungkin sebelum ianya menjadi kuat dan gagah seperti Negeri Kelantan yang `InsyAllah', sampai kiamat UMNO/BN tidak akan berjaya memperbodohkan rakyat Kelantan.

Tugas-tugas pimpinan Pakatan Rakyat kini termasuk pemimpin di peringkat bawahan hendaklah berusaha gigih, berkempen dan mengadakan risalah-risalah atau poster memaklumkan kepada rakyat jelata untuk memboikot media seperti Utusan Malaysia dan TV 3. Sekiranya perlu, maklumkan kepada mana-mana peniaga kedai atau buku untuk sama-sama memboikot akhbar ini. Terlalu banyak berita yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia dan TV 3 yang jauh menyimpang dari kebenaran berkaitan dasar, program dan juga kenyataan-kenyataan dari pimpinan Pakatan Rakyat. Media `bangkrap' isu seperti ini hanya layak menceritakan perihal `kebangkrapan' yang melanda UMNO dan pemimpinnya sekarang.

Apabila rakyat kini telah mula menjauhi akhbar Utusan Malaysia dan TV 3, mengapa harus pemimpin Pakatan Rakyat suka mendekati mereka? Mungkin mereka menganggap wartawan akhbar dan TV 3 tidak bersalah kerana berita yang mereka perolehi akan ditapis dan diedit oleh pegawai atasan mereka sebelum disiarkan, tetapi kita perlu mengajar wartawan-wartawan seperti ini untuk mereka memahami bagaimana hendak mencari makan dengan cara yang halal. Usaha boikot terhadap Utusan Malaysia telah mula mendatangkan hasil dan kita dapati sekarang jualan akhbar Utusan Malaysia telah pun merosot. TV 3 pula semakin tidak diminati kecuali bagi kanak-kanak yang ingin menonton siri kartun sahaja. Bagi mereka yang memiliki siaran ASTRO, berita yang mempunyai nilai dan sedikit ketelusan boleh didapati dalam Berita BERNAMA atau Berita AWANI yang disiarkan setiap jam.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .