(Kalau anda orang Umno pasti anda akan kata, “Orang PAS pun serupa. Pandang begitu juga kepada pemimpin Umno”. Kalau tak percaya bacalah, tapi tolong baca sampai habis).
Azizan Razak dan Nizar Jamaludin diserang kiri dan kanan. Persepsi sekata yang cuba dipasakkan ke dalam kepala orang ramai ialah serupa sahaja yang lama dengan yang baru. Samada dia adalah Mahadzir Khalid atau Azizan Razak, samada dia Nizar Jamaludin atau Tajol Rosli, mereka sama sahaja. Sebelum bertakhta mereka pandai bercakap dan komplen. Bila duduk di kerusi itu, mereka buat serupa macam yang lama juga.
Kecuali para nabi, semua manusia termasuk Azizan dan Nizar memang ada buat silap. Samada silap sengaja atau terleka. Kesilapan mereka amat kelihatan kerana mereka fokus semua biji mata. Orang yang berada di penghujung barisan pula bersedia untuk menghastakan berita yang sejengkal apabila berita itu disampaikan kepadanya. Benar atau tidak itu nombor dua. Yang penting manusia bernama Azizan dan Nizar perlu dibunuh karakter mereka. Bila karakter mereka terbujur kaku, jasad mereka lebih mudah ditumbangkan.
Nik Aziz pernah menghadapi situasi ini suatu ketika dulu. Ya, 18 tahun lalu. Pada ketika itu ada orang Perlis yang menyertai rombongan ke Kelantan membawa bersamanya beras bimbang mati kelaparan. Barisan wazir kerajaan pusat pun mendendangkan, “Tengoklah, sebulan saja”. Setelah berlalu sebulan senikatanya diubah, “Dua bulan saja”. Setelah berlalu dua bulan, “Tiga bulan saja”. Kemudian, “Enam bulan saja”…”Setahun saja”, dan kini semua wazir itu terdiam.
Selepas PRU 11 Kelantan bernafas dengan dada yang sangat sempit. Hanya kelebihan satu kerusi sahaja selepas kalah di Pengkalan Pasir. Semua wakil rakyat PAS adalah satu kerana kalau ditakdirkan satu melompat atau ditakdirkan tuhan satu kembali mengadapnya, kerajaan PAS Kelantan mungkin berhenti bernafas. Suami kepada anak PM waktu itu berkampung di Kelantan, menganjurkan program balik mengundi kepada anak Kelantan di perantauan. Bukan sedikit wang, bas dan kereta api menjadi mangsanya, namum akhirnya dia hanya menelan asap bas sahaja bila Kelantan kembali stabil.
Memang orang Umno sangat marah kepada Azizan dan Nizar. Bukan kerana Azizan dan Nizar adalah perompak, pembunuh wanita Mogolia atau pembawa masuk wang berkilo dalam beg bimbit tetapi kerana mereka adalah orang PAS. Walau sekarang mereka lebih kerap bersongkok hitam yang pernah dilabel sebagai songkok Umno, mereka tetap orang PAS dan mereka mesti dimarah, dibenci, ditohmah, dipukul, ditumbuk, diterajang, di…di…di….
Tafsirkan, takwilkan, huraikan, warnakan semua perkara dengan cat hitam. Bila bersin, katakan MB itu sakit jantung. Kalau kentut, katakan dia kanser. Kalau menguap, katakan dia kaki tidur. Kalau tak potong elaun katakan dia kedekut. Kalau potong katakan dia riya’. Kalau naik kapal terbang, katakan dia kaki makan angin.
Tapi kalau Azizan atau Nizar itu Umno, kesalahan mereka akan digincukan. Dikatakan, inilah tindakan yang tepat, progresif, berwawasan, berpandangan jauh, demi kepentingan bangsa dan macam-macam lagi. Kalau menguap katakan dia keletihan kerana kuat bekerja. Kalau kentut katakan, inilah MB kita sanggup kentut tengah orang ramai walau pun MB. Kalau rembat duit negara katakan, inilah pengorbanannya kepada rakyat. Kalau terkhalwat dengan isteri orang, dikata inilah pemimpin yang prihatin, bela nasib kaum tertindas. Kalau terbuat rumah berbilion di kampong, inilah pemimpin berjiwa rakyat.
Selama 50 tahun lebih Umno / BN perintah negara ini, demikianlah rentak dan iramanya. Selama 18 tahun PAS dan rakannya perintah Kelantan, lagunya masih sama. Selama sembilan bulan Azizan jadi MB Kedah, itulah liriknya. Nizar dan Guan Eng juga menonton drama yang sama. Kita rakyat juga didendangkan dengan dikir yang sama. Blogger juga menambah meriah semua itu dengan jemari mereka, termasuk saya dan siapa-siapa sahaja. Kita semua sama.
Aduh, rupa-rupanya politik kita adalah politik persepsi bukan politik ilmu.
Oh, ya sebelum mundur, perhatikan gambar gajah itu dan jawab soalan ini.
"Which is the biggest elephant?"