Apa ‘Deal’ Antara Kerajaan UMNO/BN Terengganu Dengan “Kerajaan Langit”?
Kuala Terengganu - Pada 13 November, sehari selepas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Seri Musa Hassan, menyerang Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) tentang isu ketua ajaran sesat, Ayah Pin, beberapa individu telah dilihat berkunjung ke tapak kerajaan langit yang ‘karut’ di Besut
Mereka dikatakan hanya boleh masuk kekawasan tersebut dengan ditemani oleh anggota polis cawangan khas (Special Branch) kerana ‘kerajaan langit’ itu diberitakan sudah ada ‘pengganti’ kepada ketuanya yang sedang dalam pelarian.
Sebuah akhbar nasional pada akhir tahun lalu melaporkan, seorang Cif Inspektor berasal dari negeri Perak yang turut ditangkap ketika serbuah dibuat ke atas perkampungan itu oleh JHEAT dan polis Julai tahun lalu, kini mengambil alih sebagai ketua yang baru.
Antara individu yang masuk pada ke perkampungan Batu 13 pada 13 November itu adalah beberapa orang wartawan dari akhbar media perdana.
Mereka masuk lebih awal ke kampung itu untuk mendapat pengesahan dari ‘isteri-isteri tuhan’ yang ditinggalkan, adakah suami mereka pernah balik, sebagaimana didakwa oleh KPN.
“’Ayah’ tak pernah balik,”jawab isteri kedua, Zaharah, ketika diajukan soalan oleh paa wartawan.
“Dulu menteri pun datang jumpa ayah, tapi bila jadi begini, semuanya tak nampak,”ujarnya lagi sebagai komen lanjut beliau, tentang apa yang telah berlaku kepada ketua ajaran sesat itu.
Kenyataan isteri-isteri ketua ajaran sesat Rifin A/L Mamat berhubung kehadiran Menteri kerjaan UMNO/BN ke perkampungan ‘kerajaan langit’ itu bukan sekali dua, malah ia pernah dicatatkan oleh para wartawan berkali-kali sebelum ini.
Ayah Pin juga melalui satu temu bual yang disiarkan oleh sebuah stesyen TV, pernah mendakwa secara terus-terang bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Mohd Zin pernah menemui beliau pada tahun 2004 lalu.
Dr. Abdullah yang pada sewaktu itu kali pertama menjadi calon ‘Islam Hadhari’ UMNO/ BN Terengganu bertanding untuk kerusi parlimen Besut didakwa meminta tolong Ayah Pin dan pengikutnya suapaya memangkah dan memberikan undi kepada beliau.
Abdullah juga bagi pihak UMNO/BN dikatakan meminta kerjasama Ayah Pin mengarahkan para pengikutnya, supaya memberikan undi kepada calon-calon UMNO/BN yang lain termasuk bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Jerteh.
Sebuah akhbar portal internet juga mengulas tentang hubungan antara pemimpin UMNO/BN dengan Ayah Pin sebagai “memang tidak dapat disembunyikan lagi” bahawa wujudnya kerjasama antara UMNO/BN dengan ketua dan pengikut ajaran sesat Ayah Pin sebagaimana yang telah difatwakan.
Syak wasangka orang ramai tentang wujudnya hubungan dua hala antara kerajaan UMNO/BN Terengganu dengan ‘kerajaan langit’ menjadi semakin menebal apabila tiba-tiba Idris Jusoh jadi begitu bangga memecahkan replika di perkampungan tersebut seolah-olah ‘Khalid Al-Walid memecahkan berhala-berhala di sekeliling’ Ka’abah.
Lalu Idris menggunakan kesempatan hubungan dua halanya dengan kerajaan langit itu menghentam PAS, kononnya kerajaan PAS Terengganu yang membiarkan replika-replika gergasi teko dan payung ala Litar-F1 dibangunkan.
Sedang fakta sebenarnya tidak boleh disembunyikan bahawa semasa PAS memerintah Terengganu (1999-2004), tindakan serius telah diambil dalam menangani isu ini.