KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Bertindak Rancangan Tebatan Banjir Sungai Muda (RTB) Pakej 2 Hilir dan Pakej 2B Hulu, Kepala Batas semalam menyerahkan memorandum kepada Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar bagi membantah dan memohon semula beberapa perkara penting RTB.
Pengerusinya, Mohd Akhir Che Mat hadir ke Parlimen bersama 40 penduduk terlibat bagi memohon lima perkara pokok untuk perhatian kerajaan.
Antaranya termasuk memohon isu penempatan semula diselesai segera dengan pengesahan yang jelas dari kerajaan.
Selain itu, isu penempatan sementara yang tertangguh juga diminta dipercepatkan atau kembali kepada keputusan asal iaitu mereka diberikan rumah seluas 20 kaki x 60 kaki secara sewa beli.
Mereka turut mendesak pampasan yang diberikan kepada penduduk terlibat diberi dengan nilai sebenar rumah dan bukan secara mutlak RM10 ribu seperti yang dibuat sekarang.
Bagi pengusaha tanah usaha dan tanah tol sejak 50 ke 70 tahun dahulu pula, mereka mendesak agar diberi pampasan sewajarnya.
Turut dituntut bayaran sewaan bernilai RM12 ribu kepada penduduk yang lebih awal keluar dari penempatan mereka seperti yang diberikan kepada mereka yang lewat.
Memorandum sama turut diserahkan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Whip Ahli Parlimen, Salahuddin Ayub. -Hrkh