Ikuti Blog ini

SMS ugutan: Dr Ramzi diberi tiga hari hubungi polis



KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu memberi tempoh tiga hari mulai semalam kepada Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir (gambar), bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh, untuk tampil membantu siasatan berhubung kes penghantaran SMS berbentuk ugutan kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional Terengganu bulan lepas.


Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC II Hamzah Mohd Jamil, berkata jika Ahmad Ramzi gagal berbuat demikian, polis akan mendapatkan waran tangkap terhadap beliau.


Beliau memberitahu pemberita di sini semalam bahawa polis telah cuba mengesan Ahmad Ramzi, yang juga bekas calon BN bagi kerusi Parlimen Marang pada pilihan raya umum lepas, di kediaman beliau di sini dan Kuala Lumpur tetapi gagal.


Ahmad Ramzi diminta menemui atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Terengganu, ASP Mohd Hadzwan Zulkefle di talian 096246222.


Pada 13 April lepas, Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid; Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh dan Adun Paka, Zakaria Abdullah, menerima SMS berbentuk ancaman terhadap keselamatan mereka.


Itu menyebabkan ketiga-tiganya bersama tujuh lagi ADUN daripada BN enggan hadir pada hari kedua persidangan Dewan Undangan Negeri keesokan harinya.


Polis yang menyiasat kes berkenaan telah menahan seorang kerani syarikat swasta berusia 31 tahun dari Seri Kembangan, Selangor, di Bandar Baru Bangi pada 20 April lepas, kerana disyaki menghantar SMS itu.


Lelaki itu dibebaskan setelah ditahan reman selama tujuh hari.


Mengulas lanjut, Hamzah berkata setakat ini, polis telah mengambil keterangan daripada beberapa saksi berhubung kes itu dan hanya menunggu Ahmad Ramzi untuk tampil memberi keterangan.


"Kita mengalukan kerjasama daripada keluarga Dr Ramzi untuk menasihatkan beliau supaya tampil bagi mempercepatkan siasatan berhubung kes tersebut," katanya. BERNAMA

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .