KLANG, 1 Mei: Mangsa tembakan rambang polis pada 16 April 2009, Shahril Azlan Ahmad Kamil mendapat berita gembira bila mana Kerajaan Selangor bersetuju menghulurkan bantuan guaman terhadap isu dirinya.
Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri kelmarin itu disampaikan sendiri oleh Exco Kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali kepada Shahril Azlan yang menemui beliau di Pejabat Dun Selat Klang, dekat sini petang semalam.
(Gambar: Azlan menceritakan detik cemas beliau terkena tembakan rambang polis pada 16 April tahun lalu kepada Dr Halimah.)
Dr Halimah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri berkata, kerajaan negeri memandang berat kejadian yang berlaku kepada Azlan yang mengakibatkan kecederaan teruk.
“Kerajaan negeri memandang berat dengan apa yang berlaku tentang tembakan rambang ini termasuk yang menimpa pelajar Aminulrasyid Amzah, 15, yang meninggal akibat ditembak polis minggu lepas dan Shahril Azlan setahun lalu.
“Bantuan ini meliputi penyiasatan di mana silapnya dan kesan kejadian yang menurut laporan doktor menyatakan berlaku pendarahan besar dalam dada kiri dan terdapat peluru di tulang 8 dan seterusnya membawa isu ini ke peringkat Parlimen Malaysia,” tegas Dr Halimah.
Lebih lanjut, beliau meminta pihak polis mengkaji semula tahap kebolehgunaan senjata oleh pelatih polis yang muda dan baru tamat latihan kerana difahamkan dalam dua kejadian tersebut melibatkan anggota usia muda.
Ekoran kejadian malang yang menimpa Azlan menyebabkan paru-parunya bocor di mana sebutir peluru masih berada di tulang belakangnya, beliau sehingga kini masih dirundung trauma, sukar tidur malam, tidak boleh bernafas secara normal.
Selain itu, beliau juga sering batuk-batuk dan tidak boleh memandu jauh serta perlu mendapatkan rawatan susulan dan bekalan urat saraf dan tahan sakit.
Shahril Azlan, 25, ditembak di bahu kiri sehingga tembus ke paru-paru dan menerobos ke tulang belakang ketika berhenti 100 meter sebelum sekatan jalan raya yang diadakan di simpang Seksyen 7, Shah Alam kerana keretanya tidak mempunyai cukai jalan.
Tiba-tiba, katanya, datang tiga anggota polis berpakaian biasa dengan memegang kayu tanpa sebarang komunikasi jelas terus menembak badannya dan lebih malang, beliau dibiarkan sekitar dua jam di situ sementara ambulans datang.
Baru-baru ini, selepas mendapat berita tentang kematian pelajar Aminulrasyid yang mengalami peristiwa serupa seperti dirinya, Azlan terus menghubungi suami Dr Halimah, Dr Ahmad yang pernah melihat sejarah kejadian itu sebelum ini.
Beliau berkata, dengan perkembangan ini, jiwanya semakin bertambah kuat untuk ketengahkan kejadian yang menimpa dirinya setelah setahun berlalu tanpa sebarang pembelaan dari mana-mana pihak.
“Saya selama ini terasa lemah untuk ‘berlawan’ kerana siapa kita untuk memfailkan saman dan seumpamanya kepada pihak berkaitan termasuk mengalami masalah kewangan, jadi dengan kesudian kerajaan negeri ini, saya sangat bersyukur.
“Ucapan penghargaan setingginya dari saya dan keluarga kepada Kerajaan Selangor, kepada Exco dan semua yang mengambil berat termasuk kawan-kawan terhadap kejadian yang berlaku ke atas saya ini,” tegasnya.-Hrkh