Pengakuan saksi utama itu terkandung dalam laporan polis yang salinannya diedarkan kepada media hari ini.
Laporan polis dibuat kira-kira 9.40 malam hari kejadian.
Menceritakan detik-detik yang membawa kepada insiden itu, saksi berkata, dia dan Allahyarham Aminulrasyid memutuskan untuk berjumpa dengan seorang rakan mereka Seksyen 7 Shah Alam kerana tayar motosikalnya pancit kira-kira 12 tengah malam.
“Semasa hendak ke sana, kereta yang dipandu Aminulrasyid telah tergesel dengan sebuah kereta lain menyebabkan arwah menjadi takut dan melarikan diri untuk pulang ke rumah di Seksyen 11.
“Ketika hendak keluar dari kawasan restoran Ali Mamak, kami dikejar oleh beberapa motosikal dipercayai rakan kepada kereta yang kami tergesel.
“Sebaik sahaja sampai di Bulatan Kayangan Seksyen 12, salah sebuah motosikal tadi hendak memotong kami tetapi terlanggar bahagian belakang kereta menyebabkan penungggang itu terjatuh,” kata saksi itu dalam laporannya. Menurutnya, rakannya dikatakan terlalu takut dan terus memandu laju kereta lalu memotong kereta peronda polis menyebabkan kenderaan itu terus mengejar mereka.
“Aminulrasyid bertambah takut dan memandu dengan laju tanpa menghiraukan keselamatan kami dan orang awam.
“Kereta peronda terus mengejar kami sehingga ke Stesen Minyak Caltex Seksyen 11 dan ketika itu saya terdengar bunyi tembakan bertubi-tubi mengenai tayar belakang menyebabkan kereta yang dipandu terhoyong-hayang dan tergelincir tetapi masih dapat dikawal.
“Semasa mendengar tembakan terakhir yang terkena kepala Aminulrasyid menyebabkannya jatuh ke atas riba saya dan saya nampak bahagian kepalanya berlubang dan berdarah,” kata saksi yang juga seorang pelajar.
Saksi yang juga kawan baik mangsa berkata, kereta tidak lagi dapat dikawal lalu melanggar tembok rumah lalu berhenti.
“Saya keluar untuk menyerah diri tetapi salah seorang anggota polis menendang saya dari belakang dan kemudian anggota yang lain turut memukul dan memijak saya beramai-ramai.
“Saya meronta-ronta serta dapat melarikn diri daripada mereka lalu balik ke rumah. Saya cedera di tangan kanan, kaki dan sakit kepala,” katanya dalam laporan polis itu yang diedarkan pada sidang media Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.
Khalid berkata saksi kedua telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini malam tadi.
Laporan itu dibuat oleh Zafrullah Ahmad Zainal Abidin yang merupakan jiran mangsa.
Dalam kejadian awal pagi Isnin lalu, Aminulrasyid mati terkena tembakan polis manakala rakannya, saksi itu didakwa berjaya melarikan diri selepas terserempak dengan kereta peronda polis di kawasan Seksyen 11 Shah Alam.