Ikuti Blog ini

Liwat II : Bekas IGP Enggan Ke Mahkamah

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar) enggan ke mahkamah untuk memberi keterangan dalam kes Liwat II. Perkara itu diberitahu oleh peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sankara Nair di perkarangan mahkamah selepas selesai sebutan kes itu pagi tadi.“Kami dimaklumkan polis (Musa Hassan enggan ditemuramah)” kata Sankara yang mengesahkan perkara itu sewaktu ditanya wartawan. Musa termasuk di antara 25 orang saksi yang diminta pasukan peguambela Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi keterangan apabila peguam bela memulakan penghujahan bela mereka 8 Ogos ini.

Selain Musa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor termasuk dalam senarai saksi yang diminta oleh pasukan peguambela Anwar.

Sankara selanjutnya berkata akan memohon kepada mahkamah untuk mengarahkan saksi-saksi yang disenaraikan untuk hadir memberi keterangan di mahkamah apabila peguam bela membentangkan hujah mereka 8 Ogos ini.

“Kami belum dapat saksi-saksi kami.Jadi kami perlu minta mahkamah untuk berikan saksi-saksi itu. “Kami akan buat permohonan rasmi dalam masa seminggu kepada hakim untuk memohon pendakwa memberikan kami saksi-saksi di mahkamah. Ingat tak kami cuma dapat lima saksi daripada 25 saksi. Kami ada hak untuk temubual.

“Sebab itu kami mohon di mahkamah untuk mohon bawa saksi untuk ditemubual. “Samada mereka mahu ditemubual atau tidak itu cerita lain. Tetapi yang penting mereka perlu dibawa ke mahkamah,” kata Sankara.

Perbicaraan kes Liwat II akan disambung semula pada 8 Ogos sehingga 26 Ogos depan. Tarikh itu ditetapkan Hakim Zabidin Mohd Diah selepas beliau kekal mendengar kes ini walaupun peguambela sudah memohon untuk mengenepikannya daripada terus mendengar kes.

Permohonan itu dibuat kerana peguam bela Anwar berpendapat Hakim Zabidin melakukan pra-penghakiman sewaktu memutuskan wujud kes prima facie dalam kes ini. Anwar yang hadir memakai pemaut leher akibat kecederaan ketika menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 pada Sabtu lalu akan menjadi orang pertama memberi keterangan apabila perbicaraan bermula 8 Ogos ini.

Anwar yang hadir di temani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada prosiding hari ini akan menjadi orang pertama memberi keterangan apabila perbicaraan bermula. Pada 6 Julai lalu, Anwar telah gagal dalam usaha ketiganya menggugurkan hakim Mohd Zabidin Mohd Diah daripada terus mendengar kes liwat beliau dan mahu membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Mohd Zabidin berkata pendakwa raya telah membuktikan kesemua keterangan dan saksi untuk mempertahankan tuduhan ke atas Anwar. Anwar, 63, dituduh meliwat Saiful di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Ini kes liwat kedua melibatkan Anwar selepas yang pertama 13 tahun lalu.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .