Ikuti Blog ini

Umno-BN Tidak Usah Bermegah Menang PRK Disebalik Demokrasi Tempang


KOTA BHARU 7 MAC : Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pemimpin Umno dan BN, tindakan mereka membelakangkan demokrasi bakal menjadi bom jangka yang akan meletup bila-bila masa.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengingatkan pemimpin tertinggi Umno tidak perlu bermegah dengan kemenangan calon mereka di dua pilihanraya kecil, Merlimau dan Kerdau, kerana perlawanan itu tidak berlandaskan demokrasi lapor Harakah Daily.


"Ia bakal menjadi bom jangka yang dilemparkan oleh golongan ini kemudian hari nanti, jadi beringat-ingatlah, jangan berbuat sesuka hati,"ujarnya.

Sambungnya, sekiranya Hosni Mubarak seorang yang berkuasa besar akhirnya digulingkan oleh rakyat sendiri, apa lagi di Malaysia, ia juga boleh berlaku.

Menurutnya, PAS bukan menentang calon Umno sebaliknya parti kerajaan yang disokong oleh segala gentera kerajaan negeri dan Persekutuan.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas keputusan dua pilihanraya kecil di Dun Merlimau dan Kerdau, selepas mesyuarat Ecer tengahari tadi.

Menurutnya, PAS sebagai sebuah parti telah menentang calon kerajaan pemerintah dan bukannya menentang calon parti Umno atau BN.

"Ini amat tidak adil, ia berdosa dunia akhirat. Kerana itu golongan muda sekarang semakin memahami masalah demokrasi semakin tiada di negara ini sehingga mereka menjadi 'pendendam' akibat membelangkan demokrasi yang mereka pelajari.

Menurutnya, beliau sebagai anggota PAS sekali-kali tidak meredhai dunia akhirat pada mana-mana pemimpin negara terhadap pengkhianatan demokrasi dalam apa juga perkara terutama dalam pilihanraya.

Walaupun akur dengan keputusan pilihanraya terbabit, namun hakikatnya keputusan sebenar tidak sedemikian.

"Tengok semalam sebagai contohnya, bagaimana seorang penyokong Umno yang telah menyertai PAS tiba-tiba mengisytiharkan semula menyertai Umno.

"Kenapa perkara ini berlaku sekiranya tiada tekanan demi tekanan, ini bukan demokrasi,"ujarnya.

Ketika ditanya adakah pengundi Melayu turut menolak PAS pada pilihanraya kecil baru-baru ini di peti undi tertentu apabila didapati kurang sokongan, beliau berkata apa yang dipertikaikannya sekarang ialah soal demokrasi.

Beliau turut mendakwa rakyat masih disogok dengan pembangunan walaupun ianya dibuat apabila tiba waktu pilihanraya sahaja.

"Pembangunan akan muncul hanya bila ada pilihanraya, khususnya pilihanraya kecil,"ujarnya.-TVS
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .