Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan masyarakat di negara ini tentang tsunami politik 2008 yang menyaksikan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim merampas kembali kerusi DUN Ijok walaupun pada awalnya kalah pada pilihanraya kecil kawasan itu.
" Jangan gusar tentang pilihanraya kecil Merlimau dan Kerdau, biasalah. Kita sekarang ini tumpu kepada pilihanraya umum. Imbas kembali apa yang berlaku di Ijok. Pilihanraya kecil itu berlaku sebelum pilihanraya umum. Kita letak calon hebat ketika itu, Tan Sri Khalid tapi kita kalah. Selang tidak sampai setahun pilihanraya umum, terbalik! Bukan sahaja di Ijok satu Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat," kata Anwar dalam siri jelajahnya di sini, malam tadi.
Beliau berada di Perak dalam siri jelajah Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia di Markas PAS Titi Serong, Parit Buntar malam tadi.
Kira-kira 800 orang hadir bagi mendengar amanat Anwar dan pimpinan Pakatan Rakyat lain dalam siri jelajah itu.
Walaupun ceramah diadakan selepas seluruh rakyat Malaysia mengetahui keputusan PRK Kerdau dan Merlimau tidak menyebelahi calon Pakatan rakyat dari PAS, namun ia tidak sedikit pun menggoyah sokongan rakyat kepada Pakatan.
Buktinya Markas PAS di Titi Serong itu dipenuhi oleh hadirin untuk mendengar ucapan pimpinan Pakatan Rakyat.
Anwar dalam ceramahnya turut menyeru masyarakat di parlimen Parit Buntar mengekalkan momentum yang ada pada hari ini supaya sokongan terus diberikan kepada
gagasan itu demi transformasi menyeluruh di negara ini.