1. Negara yang baik, selamat dan bertamaddun ialah sebuah negara yang mempunyai modal insan yang berkualiti sebagai sumber manusia yang akan menjana pertumbuhan ekonomi cerdas serta berkat dan membina iklim sosial yang aman serta tenteram malah sumber manusia berkualiti ini akan membina kestabilan politik serta pentadbiran negara.
2. Namun judi akan merosakkan segalanya. Bukan sahaja ia diharamkan oleh Islam malah ia turut ditolak oleh semua agama justeru judi adalah antara kemungkaran tertua di dunia yang menjadi penghalang utama di sepanjang zaman untuk melahirkan generasi yang sihat minda dan cerdas aqal lalu berkeupayaan tinggi untuk mandiri sekaligus menjadi agent utama membangunkan negara.
3. Judi hanya mengheret pelakunya bergantung pada nasib tanpa rasional dan membunuh nilai usaha ikhtiar yang sepatutnya membangunkan semangat berdikari dalam diri manusia.Akhirnya mereka hanya mempertaruhkan wang ringgit dengan membina istana impian tanpa gigih berusaha. Tambah malang, impian itu tidak pernah kesampaian sehingga ia mati dalam angan - angan yang tidak tergapai dek tangan.
4. Sukar untuk mencari penagih judi yang kaya kecuali segelintir yang sangat terpencil. Kerana mungkin mereka menang besar pada pertaruhan pertama namun ia boleh kalah pula pada pertaruhan kedua lantaran itulah resmi sebuah perjudian. Begitulah judi mempermainkan penagih judi. Kebanyakan yang menimbun kekayaan ialah taukeh judi yang mengambil kesempatan diatas kelekaan penagih judi ini.
5. Sang penagih judi yang kehabisan wang tidak akan berhenti diam begitu sahaja. Sama seperti penagih dadah yang sukar menghentikan ketagihannya lalu terpaksa mencari wang dengan meragut, mencuri, merompak malah membunuh jika hasratnya terhalang. Ekoran jenayah tersebut, hasil pula dendam, kebencian, permusuhan sesama manusia malah keruntuhan rumahtangga. Lalu apa untungnya judi pada pembangunan tamadun manusia dan negara ?
Benarlah apa yang difirmankan oleh Allah sw : [ dari surah al Maaidah ayat : 90 ]
Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) terdiri dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
Dan Taatlah kamu kepada Allah serta Taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa Yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, Bahawa Sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) Dengan jelas nyata.
6. Berapa banyak kes jenayah yang bertelur dari pusat perjudian. Perkara ini tidak boleh dinafikan dan jangan sesiapa yang cuba untuk menafikan. Jerih ahli politik, akademik dan aktivis sosial berseminar mencari formula mengatasi peningkatan indek jenayah sedang pusat penetasan jenayah ini [ industri perjudian ] tidak dipandang serius dan berusaha untuk membenterasnya.
7. Alhamdulillah, Kelantan sejak 20 tahun yang lalu secara rasminya menerusi kuasa pentadbiran yang dimiliki telah menyekat industri judi daripada berleluasa di negeri itu. Menyedari berlakunya penyusutan dana kewangan negeri ekoran tindakan itu, namun yakin betapa judi membawa kerosakan jangka pendek dan jangka panjang kepada rakyat malah negeri, Kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin oleh YAB Dato' Bentara Setia Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat nekad mengambil langkah menghalang dan menyekat judi di Kelantan.
8. Sehingga kini,[ setelah 20 tahun ] Kelantan masih mampu bertahan walaupun tanpa judi. Bahkan jenayah serta kesan sosial yang berpunca dari judi dapat dikurangkan. Bermula dari sini, saya mencadangkan agar judi ini dihapuskan di seluruh negara. Berikan komitmen ke arah itu. Usaha terancang mesti dilakukan biarpun langkah beransur - ansur tetapi tidak menyuburkan judi di negara ini. Penyusutan perbendaharaan hasil negara kelak ekoran penghapusan judi boleh ditangani melalui usaha jimat cermat, elak pembaziran, , elak projek mega yang tidak bermanafaatelak penyelewengan, rasuah dan lainnya.
9. Pakatan Rakyat sewajarnya menjadi contoh kepada semua dalam usaha menempatkan diri sebagai alternatif. Justeru itu saya mencadangkan agar Pakatan Rakyat juga memberi komitmen untuk menghapuskan judi di negeri - negeri yang telah dikuasai. Tidak perlu gopoh dan tidak perlu tergesa - gesa. Apa yang saya tegaskan ialah perlu ada komitmen ke arah itu dan ia boleh dilakukan secara beransur - ansur seperti menyemarakkan pendidikan terancang kepada rakyat mengenai bencana judi dan tidak lagi menambah premis judi buat masa ini.
10. Saya melihat Pakatan Rakyat perlu menjadi contoh yang baik kepada rakyat dan negara sebagai bakal peneraju tampuk pemerintahan akan datang. Tiada ertinya melakukan perkara serupa seperti apa yang kekal dalam pemerintahan Barisan Nasional sedang kita sedar akan keburukan perkara itu seperti judi. Jika kita mahu mengekalkan mungkar yang dilakukan oleh Barisan Nasional maka tiada ertilah kita menentang mereka. Lebih baik kita sokong sahaja mereka. Bukan kah kita menetang mereka kerana kita mahu menawarkan suatu yang lebih baik dari mereka ?
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.