
"PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik, maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program," ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) dalam satu kenyataan selepas mesyuarat itu, sebentar tadi.
Berikut kenyataan penuh beliau.
PAS yang mengadakan mesyuarat lajnah politik pada malam ini telah membincangkan isu Himpunan Sejuta Umat (Himpun) Mempertahankan Aqidah yang dijadualkan pada 22hb Oktober 2011 ini. PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik, maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program.

Agenda menyelamatkan aqidah merupakan agenda murni tetapi ianya mesti diurus dengan cara berhemah. PAS menyokong segala usaha memantapkan aqidah oleh badan-badan NGO dan pelbagai pihak bagi memperkasakan aqidah umat Islam.
PAS mengambil pendirian bahawa pengukuhan aqidah umat Islam hendaklah dilaksanakan menerusi jalan dakwah secara damai sebagaimana Islam telah diterima oleh masyarakat rantau ini secara damai.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS