Ikuti Blog ini

Guna Dokumen Palsu APCO "Bunuh" Karekter Anwar

Tindakan pentadbiran Najib Razak mendedahkan dua dokumen semata-mata mahu memastikan bukti tersebut "membunuh" karakter Anwar Ibrahim sebagai tokoh politik negara.

Menurut Anwar, tindakan Umno-Barisan Nasional (BN), yang disifatkannya sebagai "hipokrasi" mereka, telah dirancang untuk mendedahkan dua dokumen itu supaya dapat dimainkan oleh media negara ini.

"Tindakan Umno-BN mendedahkan dua dokumen tidak lebih daripada usaha agar media memainkan isu itu bagi memastikan tiada penelitian 'bukti' itu yang ia dakwa milik.

"Sesiapa yang sudah biasa dengan Umno-BN dalam merancang kempen mencemarkan nama baik sering melibatkan pengeluaran 'bukti-bukti palsu', yang secara semula jadi akan jadi percubaan terakhir oleh media.

"Akhirnya, persoalan dasar kembali semula kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kenapa beliau mengelak?" kata beliau dalam satu kenyataan awal pagi ini.

Laporan itu menyebut, APCO Worldwide mempunyai seorang pegawai dalam pejabat Najib sejak dari awal pentadbirannya dan pakar-pakar perhubungan awam dari Amerika Syarikat juga turut membantu Najib merancang strategi 100 hari - ia termasuk konsep 1 Malaysia dan juga platform utama dalam pentadbiran Najib selaku Perdana Menteri.

"Jika ini benar, Perdana Menteri kemudiannya perlu bersedia untuk menjelaskan isu utama yang lain - sikap tidak bertanggungjawab dalam menggunakan wang cukai rakyat untuk mengupah sebuah syarikat untuk partinya, terutama dengan seorang yang dipersoalkan 'track rekod' yang menggadai keselamatan negara," kata Anwar yang minggu lalu digantung selama enam bulan apabila mendakwa APCO Worldwide, yang berperanan dalam kempen gagasan 1 Malaysia, turut dikaitkan dengan One Israel.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mendedahkan dua dokumen bagi membuktikan Anwar berbohong apabila mendakwa APCO Worldwide berperanan dalam kempen gagasan 1 Malaysia, yang turut dikaitkan dengan One Israel.

Dokumen pertama ialah surat daripada APCO yang membawa kepada penggantungan Anwar dari Parlimen selama enam bulan manakala dokumen kedua pula kenyataan notari berkanun oleh Robert Shrum, konsultan politik, yang membantu menggubal konsep One Israel.

Kedua-dua dokumen itu menafikan APCO ada hubungan dengan kempen One Israel Tel Aviv yang diperkenalkan 11 tahun yang lalu.

Surat APCO menyebut bahawa firma konsultan perhubungan awam itu dilantik oleh pentadbiran Najib untuk menyediakan sokongan komunikasi sahaja dan tiada apa-apa kaitan dengan soal kempen.

Malah katanya, APCO hanya menyediakan khidmat kepada kerajaan Israel dua kali iaitu kali pertama untuk menguruskan persidangan perdagangan dua hari di Washington, DC pada 1987 dan sekali lagi pada 1992 apabila ia mengendalikan kerja-kerja perhubungan awam untuk memperkukuhkan perdagangan antara Amerika Syarikat dan Israel.

Selain Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Azmin Ali (PKR-Gombak) dan R. Sivarasa (PKR-Subang) turut digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan hari ini, Anwar juga berkata terdapat banyak aspek yang secara jelas mengesahkan penglibatan APCO Worldwide dalam pentadbiran negara termasuk dalam menyekat hak asasi manusia dan ruang demokrasi yang ada.

"YB Tian Chua (Ahli Parlimen Batu) telah menulis dengan terperinci menerusi dua artikel iaitu 'APCO: Askar Upahan Yang Kami Percaya' dan 'APCO dan Najib: Di bawah Pengaruh PR'. Kedua-kedua artikel ini menunjukkan kerjasama APCO dan rejim-rejim yang dianggap boleh memberikan kesan terhadap demokrasi dan kepentingan awam.

"Maka, isu ini tidak timbul dengan persoalan yang mudah melalui gagasan 1 Malaysia. Ia disebabkan sikap tidak bertanggungjawab kerajaan dalam menguruskan perbelanjaan wang rakyat (bayar RM77 juta setahun untuk kos perkhidmatan) untuk mendapatkan khidmtan sebuah syarikat perunding imej.

"Lebih penting, sikap kurang tanggungjawab Perdana Menteri ini seolah-olah tidak mempedulikan risiko keselamatan yang bakal diterima kemudian," kata beliau yang juga Penasihat PKR.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu juga mendakwa Umno-BN sudah merancang sejak dari awal untuk menggantung Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

"Malangnya, Umno-BN tidak pernah bersedia untuk berhadapan dua isu kritikal ini. Ia dilihat bertindak untuk 'membunuh' sejak dari awal lagi yang mana kemuncaknya adalah penggantungan empat ahli Dewan Rakyat baru-baru ini. Ia bertindak di luar norma biasa dan etika termasuk proses biasa membenarkan mana-mana tertuduh membentangkan atau berhujah sebelum keputusan dibuat.

"Faktanya saya tidak dibenarkan untuk membentangkan bukti-bukti kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang menjelaskan Perdana Menteri akan mengelak daripada bercakap soal isu-isu dasar kebertanggungjawaban dan kecuaian dalam mendapatkan khidmat APCO.

"Akhirnya, Umno-BN buat kali pertama dalam sejarah Dewan Rakyat apabila merancang penggantungan kami tanpa membenarkan kami membuat penjelasan berhubung surat penafian daripad APCO," katanya.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .