Ikuti Blog ini

Anak kecil tahanan ISA tanya di mana ayah




DALAM keghairahan menjalani ibadah puasa bermula 21 Julai lalu, mungkin suasana yang berbeza dialami keluarga malang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dipisahkan daripada keluarga tersayang.

Tatkala anak-anak lain dijanjikan bapa tersayang, jika berpuasa penuh bakal mendapat ganjaran pelbagai bentuk termasuk wang, baju raya yang lebih dan duit raya, selain memenuhi tuntutan rukun Islam, anak-anak mangsa tahanan ISA setiap tahun terpaksa menjalani ibadah puasa tanpa belaian dan dorongan si ayah.

Jauh sekali untuk menikmati suapan tangan penuh kasih sayang ketua keluarga, malah mungkin makan dan minum mereka sekadar alas perut di kala anak-anak keluarga lain sedang khusyuk menikmati juadah pelbagai aneka di bulan penuh keberkatan.

Begitulah  nasib 13 keluarga tahanan yang menetap di beberapa perkampungan di sekitar Tawau, Sabah. Dan masih ada lagi keluarga yang teraniaya di Kuala Lumpur apabila suami atau ayah tercinta terus dikurung tanpa bicara di Kamunting, Perak.

Penulis dan Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman pernah menyantuni keluarga tahanan yang dizalimi itu di Tawau semasa kembara ISA ke Negeri Bawah Bayu itu.

Beberapa anak dan isteri mangsa tahanan ISA meluahkan keperitan hidup mereka setelah suami mahupun anak ditahan di Semenanjung (di Kem Tahanan di Kamunting, Taiping) yang jaraknya bukan kepalang. Tiada upaya mereka untuk menziarahi dan menatap wajah orang tersayang.

Paling memeritkan, kehidupan yang dilalui dua keluarga Shamsuddin Alip dan Bakar Baba yang ditahan semula sejak November tahun lalu.  Tempoh bersama begitu terhad  sekali sebelum dicekup semula.

Penahanan kali kedua itu membuatkan keluarga mangsa cukup trauma, dan paling menyedihkan anak-anak terus menanggung derita rindu belian, kasih sayang dan prihatin sorang bapa.

Air mata isteri Bakar Baba, Zorhana Abdul Razak tak henti-henti berderai dari kelopak matanya yang sayu, menceritakan nasib yang melanda dirinya dan anak-anak.

Anak-anak masih bersekolah dan ada yang masih kecil, tidak tahu ke mana ayahnya ditempatkan. Mahu menjenguk bapa amatlah jauh, dan alasan kononnya bekerja terpaksa dihidangkan ke telinga anak-anak tatkala sang anak bertanyakan ke mana ayah pergi.

Menceritakan kesengsaraan hidup selepas suami ditahan ISA, Zorhana Abdul Razak (isteri Bakar Baba) yang menetap di Kampung Muhibbah Raya kini terpaksa menggalas tugas seorang ibu, bapa dan pelindung kepada enam anaknya yang masih kecil.

Zorhana hanya menumpang di rumah ibunya yang juga semakin uzur tanpa ada pendapatan yang tetap. Zorhana ketika ditemui dalam kunjungan Harakah pada 26 April lalu berkata, penzaliman ke atas suaminya cukup membakar jiwanya.

Perasaan bimbang dan takut mengenai keselamatan diri dan anak-anak pula sentiasa bermain di benak Zorhana. Jika bertemu masyarakat pastinya khabar si suami jua yang ditanyakan masyarakat sekeliling kepadanya.

Entah apa lagi alasan yang mahu diletakkan ke bibir masyarakat tatkala suami masih terus ditahan di tirai besi yang entah bila akan bebasnya.

Hapusnya ISA tetapi tidak menghapuskan perintah tahanan yang dikenakan ke atas suaminya. Perit sekali perasaan yang berbuku di hati Zorhana tatkala memikirkan soal makan minum, kesihatan dan persekolahan anak-anak juga terus menjadi bebanan fikiran.

Manakala kehadiran anggota polis Cawangan Khas (SB) pula sering mengganggu perasaan. Ada yang berjanji mahu menyelesaikan masalah suaminya, namun tidak kurang yang datang mengugut.

Perkiraan Zorhanan mudah, jika suaminya bersalah, maka ke muka pengadilan harus dihadapkan Bakar Baba agar mahkamah yang 'entah telus atau tidak' itu setidak-tidaknya boleh mengadilinya.

Lebih malang lagi, kata Zorhana, masyarakat persekitaran termasuk teman-teman dan keluarga sendiri yang tidak memahami perkara sebenar seolah-olahnya memandang serong dan tidak mengambil peduli hal ehwal mereka.

Meskipun kental berdepan mehnah hidup, namun titisan airmata menjadi peneman, tatkala anak-anak bertanyakan ayahnya. Kini ketika Ramadan dilalui, suami tercinta masih didera di belakang tirai besi, mengurung segala kasih dan sayang yang selama ini tersisa lagi.

Zorhana terpaksa menyembunyikan perasaan sedih dihadapan anak-anak yang masih tidak mengenal soal kezaliman pemerintah ke atas ayahnya.

Tawa-hilai anak sahajalah kini menjadi bekalan sedikit sebanyak buat Zorhana bersama ibu yang sudah tua untuk menghiburkan hati yang lara setelah suami tercinta terkurung dalam tirai besi.

Satu sahaja harapan Zorhana agar suami tercinta dibebaskan secepat mungkin kerana ISA telahpun dimansuhkan dan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan dan bakal disusuli Syawal.

Dalam kesempatan bertemu Zorhana di rumah ibunya itu, Zorhana tidak henti-henti mengucapkan terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada Harakah atas sumbangan kewangan dan bantuan barang keperluan harian kepadanya.

Sambil menitiskan airmata, beliau turut berpesan kepada penulis agar Harakah terus memperjuangkan isu-isu penzaliman ke atas rakyat seluruhnya, bukan sahaja isu membabitkan suaminya.

Sementara itu, seorang ibu tua, Aminah Dalat (ibu kepada Shamsuddin Alip) pula menyifatkan tindakan kerajaan meneruskan penahanan kali kedua anaknya adalah sangat kejam.

Aminah yang ditemui Harakah selepas majlis sumbangan wang bantuan kepada mangsa tahanan ISA di Pejabat PAS Kawasan Tawau, 25 April lalu cukup tersentuh apabila penulis bertanyakan bagaimana keadaan beliau selepas ketiadaan Shamsuddin.

Beberapa kali beliau menitiskan airmatanya, dan berulang kali Aminah menyebut anaknya seorang yang baik, cukup menjaga solat dan berdisiplin bukan seorang pengganas.

Apalah daya Aminah pada tubuh tuanya itu beliau hanya mampu berdoa dan menanti jika ada pihak yang mahu memperjuangkan nasib beliau dan memberi harapan agar anaknya dibebaskan serta-merta.

Sementara itu, prihatin dengan nasib keluarga tahanan ISA, Harakah telah menyerahkan bantuan kepada 12 keluarga mangsa.

Sumbangan disampaikan Ahmad Lutfi Othman kepada isteri, anak dan ibu mangsa yang rata-ratanya ditahan kononnya terlibat dengan jemaah Darul Islam.

Harakah menghulurkan sumbangan berupa wang tunai RM1,500 dan bantuan bekalan makanan setiap seorang mangsa manakala RM4,000 bantuan tambahan diserahkan kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah, Zaitun Ahmad.

Jumlah bantuan bernilai RM23,000 adalah hasil sumbangan orang ramai kepada Tabung Mansuhkan Isa kendalian Harakah.

Harakah turut merayu seluruh rakyat yang bencikan kezaliman untuk terus menderma kepada Tabung Mangsa Kezaliman ISA untuk Harakah sampaikan sumbangan derma khasnya bagi menyambut Ramadan dan Syawal.

"Mungkin ramai sudah melupai nasib malang keluarga tahanan ISA yang terpinggir ini. Mereka masih memerlukan sokongan khususnya bantuan kewangan. Ramadan yang menjanjikan pahala berganda untuk amalan sedekah adalah masa paling sesuai untuk kita menyalurkan sumbangan ikhlas ini," kata Ahmad Lutfi, yang berpengalaman luas menyantuni keluarga tahanan dan juga bekas tahanan yang masih memerlukan.

"Sejak empat lima tahun lalu, respons pembaca Harakah cukup menakjubkan. Hampir RM700,000 disumbangkan orang ramai. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terim kasih kepada penderma yang baik hati. Hampir setiap hari kami ada pihak yang menyumbang, walaupun sekecil RM5. Ia sungguh bermakna. Ada yang terus menyalurkan ke dalam akaun RM1,000 setiap akali berbakti, semuanya tidak kami kenali siapa mereka," tambah Ahmad Lutfi, yang saban tahun, setiap hujung Ramadan menghulurkan sendiri bantuan ke rumah keluarga tahanan, termasuk di Sabah.

"Kami pernah membantu satu keluarga bekas tahanan ISA, seramai hampir sepuluh orang ke Manila dan menanggung kos hidup mereka selama tiga bulan di Filipina. Bekas tahanan yang dibebaskan daripada Kamunting itu dihantar ke penjara di Manila atas tuduhan lain. Beliau merupakan pejuang Islam Moro. Hingga hari ini keluarganya di Sandakan masih perlu dibantu," ujar Ahmad Lutfi.


SALURKAN SUMBANGAN IKHLAS ANDA KEPADA AKAUN MAYBANK 564070000336 ATAS NAMA HARAKAHDAILY DOT COM.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .