KUALA LUMPUR 27 Julai: Cubaan Utusan Malaysia membatalkan 
saman yang difailkan Senator, Dr Syed Hussin Ali ternyata gagal apabila 
Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera menolak permohonan 
tersebut, kata peguam N Surendran.
 
“Utusan
 memohon untuk menghentikan perbicaraan dengan alasan teknikal tetapi 
Mahkamah Tinggi tolak dan menetapkan perbicaraan penuh selama dua hari 
pada 29 dan 30 Ogos ini,” kata Surendran yang juga Naib Presiden 
KEADILAN.
“Defendan ketiga iaitu Zulkifli Nordin juga telah menarik balik permohonan yang dibuatnya Mei lalu,” katannya kepada Keadilan Daily.
Pada 27 Januari lalu, Syed Hussin yang juga bekas Timbalan Presiden 
KEADILAN memfail saman berjumlah RM10 juta dengan menamakan Utusan 
Melayu yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia; Ketua Pengarang
 Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Abdul Aziz Ishak, dan Anggota Parlimen 
Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin sebagai defendan.
Surendran memberitahu, Vazeer juga membuat keputusan membenarkan Syed
 Hussin meminda writ saman dan penyata tuntutan serta menetapkan 15 Ogos
 untuk pengurusan kes.
Dalam pernyataan tuntutan, Syed Husin mendakwa Utusan dan Abdul Aziz secara palsu serta berniat jahat mencetak dan menerbitkan perkataan fitnah terhadapnya dalam artikel di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 November tahun lalu, berjudul ‘Zul Noordin Nafi Dakwaan Syed Hussin’.
Zulkifli, dalam laman web peribadinya, menerbitkan semula artikel 
yang sama tetapi atas tajuk yang lain iaitu ‘Anjing-anjing Pencen’.
Syed Husin menuntut ganti rugi berjumlah RM10 juta, ganti rugi 
teladan, faedah, kos dan relif lain serta satu perintah injuksi bagi 
menghalang defendan daripada menerbitkan lebih lanjut perkataan fitnah 
yang sama terhadapnya.



