Menurut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, Umno dan Barisan Nasional (BN) menggunakan kewangan, media dan kuasa mereka untuk menyesatkan umat Islam.
[Gambar - Haji Wahid membakar naskah Utusan Malaysia sebagai simbolik kebencian umat Islam terhadap akhbar milik Umno itu]
"Hari ini orang Islam (Umno) sendiri menghina Islam atas nama Melayu, bukan semua Melayu Islam, ada Melayu Kristian dan ada Melayu tidak ada ugama,
"mereka mempergunakan media mereka, menggunakan kewangan mereka, menggunakan kuasa mereka untuk menyesatkan umat Islam,"tegasnya ketika berucap pada Bantahan Aman terhadap Utusan Malaysia yang menyiarkan karikatur yang menyimpang dan boleh menyesatkan umat Islam
Katanya, kalau dilihat kepada 'kartun karikatur' tersebut, adalah tidak mungkin seorang wanita merelakan dirinya dirogol, malah merakam video, dirinya sedang dirogol.
Menurutnya, ia adalah bukti yang jelas, Utusan menipu rakyat dan sengaja menyiarkan karikatur tersebut untuk menyesatkan rakyat.
Katanya, dengan tindak balas yang dilakukan oleh PAS dan kerajaan Kelantan, beliau meramalkan Utusan akan berkubur pada satu hari nanti.
Oleh itu, beliau menegaskan dan memberi amaran kepada Umno dan Barisan Nasional, agar jangan sekali-sekali Umno cuba memperkotak-katikkan akhlak dan aqidah umat Islam.
"Kita (PAS) menyatakan sikap kita dengan tegas jangan sekali-kali dengan menggunakan media, kuasa dan kewangan mereka (Umno/BN) boleh merosakkan aqidah umat Islam dan memperkotak-katikkan akhlak umat Islam,
"kita akan bangun (dan) bangkit menentang mereka!,"tegasnya pada Bantahan tersebut yang diadakan di Pekan Batu Enam, disini, selepas solat Jumaat, 24 Jun. -BO