Ikuti Blog ini

Kesalahan Serius: PM Sepatutnya Bercuti Jika Mahu Berkempen Untuk UMNO BN

PM sepatutnya bercuti, kata Bersih 2.0

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hari ini menasihatkan Datuk Seri Najib Razak lebih pentingkan masa depan Barisan Nasional (BN) daripada kepentingan kerajaan ekoran tindakan Perdana Menteri memberikan tumpuan ke atas pilihan raya negeri Sarawak.

Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, sebagai seorang perdana menteri, Najib telah menunjukkan teladan yang tidak baik kepada negara kerana sanggup berkempen di Sarawak sehingga mengabaikan tanggungjawab menguruskan pentadbiran, yang sepatutnya menjadi keutamaan.

Najib secara peribadi mengetuai kempen di Sarawak sejak Ahad lalu. Beliau dijangka berada di negeri bumi Kenyalang itu sehingga Jumaat ini.

“Bersih 2.0 mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membatalkan mesyuarat Kabinet kerana mahu membantu kempen BN di Sarawak, sebagai seorang pemimpin kerajaan dan BN, beliau telah menunjukkan teladan yang tidak baik kerana tidak mengimbangi antara kepentingan politik dan juga pentadbiran kerajaan.

“Sepatutnya beliau (Najib) mencontohi perdana menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman yang mengambil cuti selama dua bulan untuk berkempen pada pilihan raya 1959.

“Dalam tempoh itu, timbalan perdana menteri Tunku Abdul Razak akan mengetuai pentadbiran negara, kami amat kecewa apabila kedua-dua perdana menteri dan timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berada di Sarawak untuk berkempen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menegaskan pihaknya menuntut agar pilihan raya negeri Sarawak dijalankan dengan telus dan adil.

Bagaimanapun, kata Ambiga, ia agak sukar dilaksanakan selepas pemimin-pemimpin BN termasuk Muhyiddin meminta agar rakyat dan kakitangan awam di negeri itu agar patuh kepada kerajaan.

“Sebelum ini Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak Wilso Nyabong Ijang meminta anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) agar memastikan kemenangan calon BN pada pilihan raya kali ini.

“Malah timbalan perdana menteri juga mengingatkan guru-guru agar memangkah BN,” katanya.

Justeru beliau menegaskan, mana-mana parti politik sama ada BN atau Pakatan Rakyat tidak mengaitkan antara kepentingan politik dan pentadbiran.

“Bersih 2.0 mahu menekankan parti politik tidak seharusnya mengelirukan rakyat demi kepentingan politik yang berat sebelah.

“Kami mengingatkan pemimpin politik baik BN atau Pakatan Rakyat agar mematuhi prinsip ini,” katanya.

Menurut Ambiga, pihaknya menolak keras amalan “rasuah” termasuk janji-janji pembangunan dengan niat untuk mendapatkan sokongan pengundi di Sarawak.

“Bersih 2.0 mengutuk amalan menawarkan hadiah, wang dan janji-janji pembangunan dengan niat untuk mempengaruhi para pengundi, ini adalah kesalahan-kesalahan pilihan raya.

“Jadi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan-kesalahan ini,” katanya.


AMK desak PM bercuti jika mahu berkempen untuk Umno BN


Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), berasa kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri Najib Tun Razak yang mengelirukan khasnya berkaitan dengan pihak UMNO/BN sukar untuk menyewa dewan di Selangor. Kenyataan tersebut adalah berniat jahat untuk memburukkan prestasi pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor serta menjejaskan imej seorang Perdana Menteri sendiri.

Sebagai Perdana Menteri, Najib Tun Razak bukan sahaja tidak menunjukkan bukti sewa dewan ditolak atau dihalang, malah cuba untuk mengaut simpati daripada pengundi bahawa UMNO/BN dibuli oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor.

Mustahil Perdana Menteri tidak mengetahui bahawa UMNO/BN boleh menganjur sebarang aktiviti di seluruh pelosok Malaysia tanpa sebarang halangan atau mengalami masalah dizalimi mana-mana pihak. Namun demikian, banyak perhimpunan dan ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat telah mengalami kacau ganggu daripada politik samseng yang ganas.

Contohnya kereta Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Anwar Ibrahim yang dilempar batu dan dirosakkan sekumpulan samseng semasa beliau berucap di Johor. Naib Presiden Nurul Izzah juga nyaris-nyaris dipukul semasa berucap di Pahang serta ceramah yang dianjurkan oleh masyarakat sivil juga dicerobohi dan dihentikan sekumpulan samseng.

Sampai hari ini, Perdana Menteri masih mengambil sikap berdiam diri serta tidak membuat sebarang kenyataan untuk mengutuk tindakan yang tidak bertamadun dan samseng tersebut.

AMK berpendapat bahawa walaupun Perdana Menteri cuba sedaya upaya untuk merampas kuasa kerajaan negeri Selangor, beliau mesti memastikan bahawa pilihanraya yang akan datang akan dijalankan dengan bebas, adil dan bersih. Masyarakat umum telah banyak kali mendesak kerajaan melaksanakan lapan tuntutan Bersih 2.0 sebelum mengadakan Pilihanraya Umum ke-13. Sekiranya tidak, prinsip demokrasi sebenar tidak dapat diwujudkan malah kerajaan yang bakal dipilih juga tidak berwibawa dan tidak ada kredibiliti.

Oleh itu, AMK mendesak PM Najib Razak untuk memohon cuti jawatan Perdana Menteri sekiranya ingin berkempen untuk UMNO/BN yang sudah berlaku selama ini. Perdana Menteri telah berkempen dengan menggunakan jentera kerajaan seperti pejabat, bas, kereta dan agensi kerajaan untuk mengadakan aktiviti, memanggil kakitangan awam untuk menyokong UMNO/BN nyata sekali telah bercanggah dengan etika politik serta salahguna kuasa.

Akhir sekali, AMK menegaskan bahawa sistem demokrasi memerlukan media yang bebas untuk membenarkan ahli politik daripada kedua-dua pihak menyalurkan maklumat kepada orang ramai.

Maka Perdana Menteri yang ikhlas, yakin diri serta komited dengan transformasi perlu membuka media arus perdana kepada pembangkang untuk menyebarkan manifesto dan dasar alternatif Pakatan Rakyat serta sekaligus mewujudkan masyarakat yang berlandaskan demokrasi tulen.

LEE KHAI LOON
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Mana-mana penjawat awam termasuk PM dan TPM yang berkempen untuk UMNO BN semasa waktu bekerja sepatutnya dikenakan tindakan undang-undang.

Tetapi kerana agensi penguatkuasaan undang-undang berpihak kepada UMNO BN termasuklah SPR, maka ianya terlepas begitu sahaja.

Kemenangan yang bakal diperolehi UMNO/BN adalah kemenangan haram yang tidak diberkati kerana kesalahan serius yang dilakukan oleh para pemimpin tertingginya.

Apabila PR memerintah pastikan mereka ini dihadapkan ke muka pengadilan. -GB
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .