Ikuti Blog ini

Kaitan dengan Amerika, Anwar cadang saman Syed Hamid

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar.

Tindakan ini dicadangkan Anwar berikutan kenyataan Syed Hamid berhubung isu hubungan Anwar dengan Amerika Syarikat terutama apabila negara itu membuat kenyatan mengenai isu liwat tersebut.

"Kita cadang ambil tindakan undang-undang.Saya secara rasmi tidak pernah ada hubungan dengan pentadbiran Amerika sekarang ini.

"Dalam kes ini (kes liwat) tak ada pernah sekali pun saya beri maklumat dengan kedutaan atau rasmi.

"Memang ada individu-individu dari seluruh dunia yang telefon saya tanya perkembangan saya tetapi yang ituduh olehs yed hamid saya kesal," katanya ketika diwawancara Harakahdaily di Pejabat KeADILan di Mercant Square, Damansara hari ini.

Anwar juga hairan mengapa Syed Hamid membuat kenyataan sedemikian sedangkan beliau tidak pernah ada permusuhan peribadi dengan Menteri Dalam Negeri itu.

Anwar sekali lagi menegaskan bahawa sememangnya beliau tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan pentadbiran Amerika hari ini.

Sementara itu dalam sesi wawancara yang sama Anwar turut menyatakan bahawa isu tuduhan liwat dan serangan kerajaan Bn terhadapnya hanyalah usaha untuk menyekat apa yang telah dirancang Pakatan Rakyat.

Begitupun ujar beliau, rancangan yang telah dibuat berhubung peralihan kuasa pemerintahan tetap difokuskan malah isu-isu kenaikan harga minyak dan barangan tetap diutamakan.

Bagi beliau, walaupun sibuk dengan soal perundangan berhubung dakwaan kes liwat terbaru yang dihadapinya, beliau mahu fokus pakatan tidak lari dari yang dirancangkan.

Dengan nada yang cukup yakin Anwar yang memakai baju putih berseluar cokelat terang memberi penegasan kali ini beliau sedia tanpa rasa gentar terhadap tuduhan itu.

Pada 28 Jun lalu, seorang pembantu di pejabat Anwar, Saiful Bukhari Azlan telah membuat satu laporan polis di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur di bawah seliaan Balai Polis Jalan Travers berhubung dakwaan beliau diliwat Anwar.

Laporan itu mencetus suasana tegang namun Anwar menafikan bahawa beliau terbabit dengan tuduhan yang dikatakan satu konspirasi itu.

Anwar kemudiannya memfailkan saman terhadap pemuda itu di Mahkamah Jalan Duta pada 30 Jun lalu.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .