Ikuti Blog ini

PKR teruskan laporan polis terhadap Najib



KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di Balai Polis Dang Wangi di sini berhubung akuan bersumpah P. Balasubramaniam yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri itu dengan Altantuya Shariibuu.

Shamsul berkata, beliau meneruskan laporan polis terhadap Najib walaupun Balasubramaniam menarik balik seluruh isi kandungan akuan bersumpah itu hari ini kerana penarikbalikan akuan bersumpah yang kurang daripada 24 jam itu sebenarnya membangkitkan lebih banyak tanda tanya daripada jawapan berhubung kesahihan penafian Najib semalam.

"Penarikbalikan akuan bersumpah yang dikatakan berlaku hari ini dalam masa kurang 24 jam telah membangkitkan lebih banyak tanda tanya daripada jawapan mengenai kesahihan penafian (Datuk Seri) Najib Razak bahawa beliau tidak kenal Altantuya.

"Keengganan isteri Najib, (Datin Seri) Rosmah Mansor untuk mengheret Raja Petra Kamaruddin ke mahkamah atas akuan bersumpah Raja Petra mengenai penglibatan Rosmah juga mewujudkan spekulasi yang sangat serius," katanya selepas membuat laporan polis pada pukul 3 petang tadi.

Menurutnya, laporan polis yang sama turut dibuat oleh Ketua Angkatan Muda setiap negeri mengikut daerah masing-masing.

Beliau berkata, pengakuan Najib semalam yang mendakwa beliau turut bertemu Mohd. Saiful Bukhari Azlan beberapa hari sebelum laporan polis bekas pembantu khas Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga membenarkan dakwaan Angkatan Muda sebelum ini bahawa wujud konspirasi untuk menghancurkan karier politik Pensihat Parti Keadilan Rakyat.

Ketika ditanya sama ada akuan bersumpah Balasubramaniam masih boleh dijadikan bukti memandangkan beliau telah menarik balik seluruh kandungannya, Shamsul yang juga seorang peguam berkata, dalam konteks undang-undang, akuan bersumpah itu tetap sah.

"Dalam konteks undang-undang, bila sudah wujud satu pengakuan bersumpah dan keterangan telah melalui proses yang sempurna, dibuat sendiri oleh Balasubramaniam setelah mendapat nasihat peguam dan ditandatangani di depan Pesuruhjaya Sumpah yang berdaftar, ia adalah sah.

"Justeru, jika wujud satu lagi pengakuan bersumpah yang mendakwa sebaliknya, pihak polis harus melakukan siasatan sepenuhnya kerana ini bukan kes sivil, ini kes jenayah yang melibatkan nyawa orang lain," katanya.

Shamsul berkata, beliau percaya penarikbalikan akuan bersumpah yang dilakukan Balasubramaniam itu dilakukan atas dasar paksaan.

Dalam pada itu, Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) juga menggesa Najib meletak jawatan kerana integriti dan kewibawaan beliau kini dipertikaikan berikutan kenyataan akuan bersumpah Balasubramaniam.

Jelas Shamsul, pihaknya turut mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggantung tugas Najib sebagai timbalannya dan Menteri Pertahanan agar beliau boleh disiasat dan didakwa jika terbukti bersalah.

“Selain itu, ketika saya berjumpa dengan Setiusaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Yaakob, di Putrajaya semalam, saya sudah nyatakan kepada beliau meminta Perdana Menteri menggantung tugas (Tan Sri) Musa Hassan dan (Tan Sri) Abdul Gani Patail.

“Kita ada precedent. Di Selangor, ada laporan terhadap pegawai khas Menteri Besar, kita minta pegawai itu digantung daripada tugas. Itu (perkara) biasa.

“Dalam kes ini, Musa dan Gani terlibat, justeru ini sewajarnya membuka mata Perdana Menteri untuk menggantung (tugas) mereka daripada memberi arahan dan melaksanakan tugas kerana mereka adalah subjek dalam pertuduhan,” katanya.

Shamsul berkata, pihaknya mendesak supaya tindakan itu diambil segera agar imej negara tidak terus terpalit dengan pelbagai masalah kerana kepimpinan yang lemah dan bankrap moral.

“Hal ini juga akan memberi implikasi negatif kepada imej negara di mata dunia dan pelabur-pelabur asing,” katanya.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .