Ikuti Blog ini
Ezam Tersungkur Di Pintu Syurga ,Isnin, Disember 29, 2008 at 29.12.08,
" Masih segar dalam ingatan betapa anak muda ini dahulu begitu menonjol dan menunjukkan daya kepimpinan yang cemerlang sewaktu mengetuai Pemuda Keadilan Malaysia. Dalam usia yang sebegitu muda, Ezam telah menunjukkan bakat kepimpinan yang ada dalam dirinya serta berani menghadapi segala cabaran dan rintangan yang datang.
Laporan polis yang dibuat berhubung dengan salah-laku dan rasuah pimpinan UMNO entah dah berapa laci. Banyak kali ditangkap dan dilokap. Didakwa di mahkamah berpuluh kali atas Akta OSA dan pernah ditahan di bawah ISA bersama rakan-rakan yang lain. Inilah anak muda yang dididik oleh sifunya Anwar Ibrahim sehingga gaya cakapnya dalam ceramah pun mirip Anwar. Betapa hebatnya pengaruh Anwar dalam jiwa anak muda ini.
Malangnya anak muda yang diramal akan terus cemerlang dalam karier politiknya bersama Parti Keadilan Rakyat serta berganding bahu kembali dengan sifunya yang telah dibebaskan dari penjara, tiba-tiba 'tersungkur di pintu syurga'. Pemuda yang menjadi harapan rakyat serta rakan dalam barisan pembangkang akhirnya mengisytiharkan diri kembali ke pangkuan UMNO dengan alasan berpuashati dengan pentadbiran Pak Lah. Dengan erti kata lain, Ezam merasakan segala perjuangannya selama ini telah selesai apabila Mahathir 'retired'. Ditambah pula keyakinannya terhadap Pak Lah yang nampaknya begitu serius dalam memerangi rasuah.
Pada pemerhatian 'dangkal' saya, sebenarnya Ezam kecewa apabila tewas dua kali dalam Pilihanraya Umum 1999 dan 2004. Lebih memedihkan hatinya apabila ada di kalangan rakannya seperti Azmin Ali menang dalam Pilihanraya 1999 bagi kerusi DUN. Ini mungkin satu faktor. Faktor kedua, Ezam pada hakikatnya gopoh dan tidak sabar dalam mengharungi kehidupan sebagai politician. Walaupun ada berita yang bertiup mengatakan Ezam tidak berpuashati dengan Anwar dan barisan kepimpinan PKR, namun ini hanyalah alasan dangkal. Biasalah dalam politik, kadang-kadang kita tidak berpuashati dengan pimpinan dan rakan. Janganlah rasa tidak puashati dijadikan alasan untuk kita meninggalkan perjuangan yang murni.
Ezam juga sebenarnya seorang yang 'high taste'. Pernah berlaku perbalahan antara dia dengan Lokman Nur Adam sehingga menyebabkan Lokman meninggalkan Keadilan. Dari sumber yang boleh dipercayai, Lokman tidak berpuashati dengan tindakan Ezam berpindah ke rumah baru yang berharga ratusan ribu sedangkan dalam waktu yang sama parti memerlukan dana bagi menggerakkan jentera. Tak tahulah berapa juta Najib offer kat Ezam setelah dia "insaf dan bertaubat" untuk kembali kepada UMNO yang dirasakannya parti yang bersih, amanah dan tulus ikhlas membela agama, bangsa dan negara di bawah pimpinan Imam Hadhari, As-Syeikh Abdullah Badawi.
Walau apa pun pandangan yang kita berikan, hakikatnya Ezam melakukan satu tindakan yang "paling bodoh" dalam sejarah hidupnya. Jika kekayaan dunia yang sebenarnya dikejar selama ini, memang patutlah dia duduk dalam UMNO. Namun jangan diharap dia boleh menjawat apa-apa jawatan dalam barisan kepimpinan pemuda UMNO. Tanpa disedarinya, tindakan kembali kepada UMNO umpama menghulurkan leher untuk disembelih. Kita lihat saja hari ini Ezam dijadikan "pecacai" oleh UMNO. Setelah dimalukan di Permatang Pauh, kini Ezam mahu menguji pula kredibilitinya di Kuala Terengganu.
Bagi saya, yang pastinya orang tidak akan mahu dengar dan percaya lagi segala cakap-cakapnya. Orang UMNO sendiri pun sebenarnya tak berapa percaya serta menaruh prasangka terhadapnya.
Saya yakin bahawa jauh di sudut hatinya rasa menyesal dengan tindakan bodoh dan gopoh yang diambil untuk kembali kepada UMNO. Namun apakan daya, nasi dah jadi bubur. Nak berpatah balik sudah tentu merasa aib. Jadi, alang-alang memegang keris, biar sampai berkarat.
Sebenarnya Ezam masih berpeluang untuk membetulkan kesilapannya. Sempena Maal Hijrah ini, saya harap Ezam muhasabahlah diri. Tak perlu malu mengakui kesilapan. Selagi kita bernama manusia, maka selagi itulah kita ada membuat kesilapan.
Pintu PAS sentiasa terbuka untuk mu wahai anak muda.
Salam Maal Hijrah buat Ezam Md.Noor dan keluarga.
Jazakallah.