Mengikut cerita orang tua-tua dahulu setiap Raja ada daulatnya. Ada yang sakit akibat sesuatu perbuatannya terhadap Raja dan hanya boleh disembuhkan oleh Raja itu sendiri. Ada pula cerita apabila Raja tiba di sesuatu majlis, tiba-tiba awan yang mendung beransur hilang diganti cuaca yang cerah. Semuanya berlaku, selain dari kuasa Allah, ia dikaitkan dengan daulat Raja.
Sebab itulah pada zaman dahulu, rakyat sangat hormat kepada Raja. Mereka khuatir jika kurang hormat kepada Raja, akan dimakan sumpah dek daulat Raja. Jika Raja perintah melakukan sesuatu yang tidak masuk akal pun, perintah Raja perlu dijunjung. Sebab itulah di dalam hikayat Hang Tuah, apabila Hang Tuah dititahkan menyelam ke dalam telaga tahi untuk menyelamatkan kuda Sultan, pahlawan terbilang itu melakukannya tanpa was-was bagi menjaga daulat Raja.
Pada zaman dahulu, sesiapa yang melawan Raja dipercayai pasti akan menerima pembalasan setimpal, bukan sahaja kerana kuasa Allah, tetapi juga kononnya kerana daulat Raja itu sendiri. Hang Jebat, Sang Rajuna Tapa dan Laksamana Bentan yang menderhaka Raja adalah antara contoh pahlawan zaman silam yang ditimpa musibah gara-gara menderhaka Raja, walaupun mereka dikatakan berada di pihak yang benar.
Tahun lepas berlaku dua peristiwa yang benar-benar menguji daulat Raja. Di Terengganu baginda Sultan dihina sehingga dipanggil 'binatang' oleh segelintir pemimpin UMNO tempatan, gara-gara ketua mereka Idris Jusoh tidak menerima perkenan Sultan menjadi Menteri Besar.
Di Perlis pula, kem UMNO di bawah Shahidan enggan menerima Md Isa Sabu yang diperkenan Raja sebagai Menteri Besar. Beberapa kain rentang menyindir Raja juga dinaikkan di Perlis dipercayai dilakukan oleh puak pro-Shahidan.
Pada zaman digital ini ramai yang tidak yakin masih ada daulat Raja. Kata mereka jika daulat Raja masih ada sudah tentu UMNO Terengganu dan Perlis yang menderhaka kepad Raja sudah dimakan sumpah seperti Sang Rajuna Tapa, Hang Jebat dan Laksamana Bentan.
Namun apa yang berlaku akhir-akhir ini seperti menunjukkan bahwa daulat Raja bukan metos semata, ia umpama benar-benar wujud. Lihatlah apa yang berlaku kepada UMNO Terengganu dan Perlis akhir-akhir ini. UMNO Terengganu dan Perlis kelihatan berpecah dua antara kem Menteri Besar kini dan bekas Menteri Besar dahulu. Di Terengganu keadaan semakin gawat sehingga ada penyokong Idris Jusoh yang berura-ura untuk membuat usul undi tidak percaya kepada Ahmad Said sebagai Menteri Besar. Hari ini pula 10 orang ADUN UMNO memboikot persidangan DUN. Gawat sungguh!
Di Perlis pula perang mulut antara kem Md Isa dan Shahidan tidak habis-habis. Kelmarin Shahidan menyatakan beliau sebagai Ketua Perhubungan UMNO yang sepatutnya menjadi Menteri Besar, bukannya Md Isa Sabu. Kroni kuatnya Hashim Suboh pula menyatakan Mat Isa adalah produk haram (maksudnya produk haram yang dicipta Raja Perlis). Lepas ini perang saudara pasti makin sengit. Punca sebenar perang ialah perebutan kek kontrak yang semakin mengecil di zaman kemelesetan ekonomi ini.
Apa pun punca UMNO Terengganu dan Perlis bertelagah, pasti ada yang mengaitkannya dengan daulat Raja. UMNO yang merupakan pelopor pelakuan penderhakaan terhadap Raja akhirnya dimakan sumpah gara-gara sering menderhakai Raja. Sekarang mereka telah menerima balasan akibat perbuatan menderhaka Raja hingga hidup tidak tenteram dan parti seperti hampir karam.