MCA dan Gerakan dicabar keluar dari Barisan Nasional (BN) berikutan pembatalan penggantungan bekas Ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang pernah mengeluar kenyataan “Cina adalah kaum pendatang.”
Ahli Parlimen DAP-Ipoh Barat, M Kulasegaran menganggap MCA dan Gerakan sebagai parti tidak berprinsip jika kekal dalam BN walaupun tidak bersetuju dengan kenyataan itu.
“Apa pendirian Gerakan dan MCA dalam hal ini? Adakah mereka berani membuat keputusan meninggalkan BN. Itu yang patut dibuat jika mereka ada prinsip.
“Saya tidak hairan dengan keputusan Umno. Mereka langsung tidak menghiraukan desakan Gerakan dan MCA dulu yang mahu menghukum Ahmad.
“Kini semuanya kabur,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini, sambil mendesak Umno membuat pengumuman rasmi mengenai isu itu.
September tahun lalu, Ahmad digantung keahlian dan dilucut hak-haknya dalam Umno selama tiga tahun kerana menyentuh sensitiviti kaum, tapi dibatal Jumaat lalu.
Pembatalan itu dibuat Umno dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) manakala Ahmad sudah dimaklumkan perkembangan itu tetapi tiada pengumuman rasmi setakat ini.
Pada satu ceramah 23 Ogos 2008 dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, Ahmad didakwa menyebut masyarakat Cina adalah pendatang dan tidak layak menuntut hak yang sama.
Ahli Parlimen DAP-Bukit Bendera, Liew Chin Tong pula berkata, pembatalan itu meningkat imej rasis Umno dan bertentangan dengan semangat 1Malaysia.
Beliau tertanya-tanya pendirian Pengerusi BN Pulau Pinang yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Koh Tsu Koon yang terlibat secara langsung dalam pertelagahan dengan Ahmad Ismail.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam soal perpaduan, apa pendirian Tsu Koon? Dan, apa sebenarnya mesej yang mahu disampai melalui keputusan itu?” katanya.
Ahli Parlimen DAP-Petaling Jaya Utara, Tony Pua pula menyifatkan penggantungan itu ditarik balik bagi mengukuhkan konsep Ketuanan Melayu.